Pada hari ini ada dua program kebajikan yang Adun sertai.
Pertama mulai pagi Sabtu, jam 9.30 pagi ke Bangi Golf Resort. Tempat kediaman elit dari kalangan mereka yang berada di sini – Antaranya Tan Sri Dr. Yusof Nor dan Mawi. Ini bukan bererti penduduk di kawasan yang mempunyai 20 banglo dan 70 link houses di atas bukit di sini menerima bantuan kebajikan, tetapi AJK Surau di sini – Surau Al-Munawwarah yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Ali dan Biro Kebajikan diketuai Tuan Haji Khazar (Penasihat Tan Sri Dr. Yusof Nor) bekerjasama dengan Pejabat Adun Bangi – Bahagian Kebajikan, mendapatkan maklumat mengenai penduduk miskin di Dun Bangi. 20 orang dapat datang ke Surau di sini bagi menerima bantuan. Hadir bagi meraikan penerima-penerima bantuan pagi ini selain dari Adun ialah Tuan Haji Ali Pengerusi Surau, Tuan Haji Khazar (Kebajikan) Tuan Haji Hashim (Bekas Pengerusi), Tuan Haji Mazwan Ahli MPKj, Tuan Haji Rushdi (Ketua Lajnah Kebajikan Adun), AJK Kebajikan Adun, para kaum ibu setempat dan para penerima bantuan yang diraikan.
Bercakap sebagai alu-aluan, Tuan Haji Ali berterima kasih kepada Adun kerana memberi kerjasama dengan Surau Al-Munawwarah bagi menjayakan Majlis Ringkas pada pagi ini. Menurut Tuan Haji Ali, "Pihak surau dapat memungut sejumlah RM8,200 untuk sumbangan kebajikan. Untuk hari ini dibelanjakan sebanyak RM6,000." Pihak Surau menurutnya lagi, "Akan menyampaikan derma kepada beberapa pihak lain seperti Bantuan Rohingya, Badan Dakwah Sabah, Kompleks Islam BBB dan Derma Palestin."
Adun Bangi mengucap terima kasih di atas keprihatinan AJK Surau Al-Munawwarah membantu penduduk Dun Bangi yang miskin. Menurut Adun, "Ini bukan kali pertama Majlis Penyampaian Derma Kebajikan, tetapi dilakukan sejak beberapa tahun lepas yang Adun sendiri berkesempatan hadir. Adun berharap dengan bantuan ini akan meringankan bebenan yang ditanggung oleh mereka yang menerima bantuan pada hari ini di dalam menghadapi puasa dan menyambut Hari Raya."
Adun difahamkan setiap penerima mendapat RM250 dengan tambahan barangan.
Sebahagian bantuan disampaikan oleh Adun dan diteruskan oleh Tuan Haji Ali – kerana Adun mempunyai program di tempat lain.
Selain dari itu pada petang Sabtu ini juga Pejabat Adun melalui Lajnah Kebajikan memperuntukkan bantuan kepada 30 orang warga emas dan mereka yang uzur di Seksyen 16 BBB. Bantuan disampaikan secara menziarah warga emas dan mereka yang uzur dari rumah ke rumah. Oleh kerana tempat ziarah ialah di rumah pangsa dan terpaksa naik turun bangunan lima tingkat, maka pasukan yang menziarah dibahagikan kepada 3 pasukan. Satu Pasukan di Ketuai oleh Adun, Pasukan kedua diketuai oleh Ustaz Shafie Ngah dan pasukan ketiga diketuai oleh saudara Adram Musa. Agak mencabar dan banyak memerlukan tenaga turun naik tangga hingga ke tingkat lima bagi empat lima bloks yang dilawat. Bantuan yang disampaikan ialah bantuan kewangan dan barangan. Mereka yang diziarah bukan saja warga emas, tetapi sakit dan uzur.
Sementara itu, selepas bersama turun padang menyampaikan bantuan pada hari ini, pada tengahari keesokan hari (Ahad) Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Adun mengalami kemalangan luka-luka dibahagian tubuh yang diziarahi Adun pada pagi ini di rumahnya di Seri Kembangan. Tuan Haji Rushdi menyatakan,
"Pada tengahari Ahad saya keluar ke bengkel kereta untuk servis kereta, ketika keluar dari kereta saya diserang dua ekor anjing. Saya cuba menyelamatkan diri dan dua kali terjatuh, menyebabkan, pergelangan tangan, lengan, dua lutut dan kaki luka akibat terjatuh – bukan kerana digigit anjing. Saya telah ke klinik dan diberi ubat."
Tuan Haji Rushdi yang tidak begitu selesa bergerak memaklumkan kepada kami – turut menzirah saudara Amir Osman, saudara Azizi, saudara Harun dan Puan Noraini bersama suaminya, bahawa beliau berkemungkinan tidak dapat bekerja selama seminggu. Kita mendoakan kepada Allah semoga beliau dan isterinya yang juga sakit dapat segera sembuh agar kedua-duanya dapat kembali aktif dalam bidang kebajikan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment