August 26, 2012

Ziarah Ustazah Zubaidah Ketua Muslimat Pas Pertama Berada Dalam Keuzuran

Hospital Tengku Ampuan Rahimah Kelang, 06 Syawal 1433 = 24 Ogos 2012 (Jumaat):

Hajah Zubaidah bt. Ali (83) Ketua Muslimat Pas Pertama (1956-1960) sedang uzur dan beliau dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah sejak tiga hari yang lepas kerana sakit darah tinggi dan mengalami minor stroke. Berita sampai kepada Adun dan isteri bahawa Ustazah (panggilan mesra kami kepada Ustazah Zubaidah) bertanya tentang Adun dan isteri. Lantaran itu kami bercadang menziarahinya pada petang Khamis kelmarin, tetapi oleh kerana ada berlaku kematian di Kg. Sungai Tangkas dan menziarahinya rancangan ditangguhkan kepada hari ini.


Hubungan Adun dengan Ustazah, suami dan anak-anaknya sudah lama, bahkan isteri Adun Ustazah Mu`minah bt. Yusoff adalah murid kepada Ustazah yang pernah mengajarnya di Sekolah Khairiah, Gong Kapas di Kuala Terengganu. Apabila Adun mula berkhidmat sebagai Guru Agama Menengah Al-Ma`arif (sementara) di Kg. Raja Besut (1963), Ustazah Zubaidah adalah Pengetua. Lebih daripada itu seorang dari anak Ustazah Zubaidah Ustaz Fuad Ahmad Azam berkahwin dengan sepupu isteri Adun. Ini menyebabkan hubungan kami rapat dan berkekalan.


Ustazah Zubaidah mendapat pendidikan Islam di Bukit Tinggi, Sumatera, tempat yang banyak melahirkan pejuang-pejuang politik muslimat seperti Aishah Ghani, Ustazah Zubaidah Ali dan beberapa yang lain lagi. Ustazah Zubaidah berkahwin dengan Ustaz Ahmad Azam Hanafiah. Mereka bergiat dalam politik Pas sejak 1950an bermula di Perak. Ustazah Zubaidah memegang jawatan Ketua Muslimat Pas pertama mulai 1956 hingga 1960. Mereka berpindah ke Kuala Terengganu. Ustazah Zubaidah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Agama Khairiah Gong Kapas, Kuala Terengganu. Ustaz Ahmad Azam di samping bergiat dalam politik membuka kedai buku dan menjual akhbar di kedai di pinggir Sekolah Khairiah.


Ustaz Ahmad Azam bertanding dalam pilihanraya 1959 di Kuala Terengganu atas tiket Pas. Pas memenangi pilihanraya dan pertama kali menguasai sebuah negeri, iaitu negeri Terengganu. Beliau dan Daud adalah calon Menteri Besar, tetapi oleh kerana beliau bukan kelahiran Terengganu, Daud Samad dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu dengan beliau menjadi Timbalan Menteri Besar dan Exco (setelah 2 tahun memerintah Kerajaan Pas digulingkan dengan cara membeli undi oleh Umno. Ibrahim Fikri menjadi Menteri Besar). Selepas itu Ustazah Zubaidah dipindahkan ke Kg. Raja Besut dalam mana Adun pernah mengajar di sana dan Ustazah Zubaidah menjadi Pengetua. Selepas itu Ustazah Zubaidah dan suaminya dan keluarganya berpindah ke Kelang Selangor. Semasa menjadi pelajar di UKM dan kemudian menjadi tenaga Pengajar Adun sering pula bertemu dengan Ustazah Zubaidah dan Ustaz Ahmad Azam dalam seminar-seminar dan pertemuan-pertemuan ilmiah baik di universiti atau luar dari universiti yang kami hadiri dan sering pula berkunjung ke rumahnya di Taman Firdaus, Teluk Gadung, Kelang. Ustaz Ahmad Azam suami Ustazah Zubaidah meninggal dunia di Kelang pada tahun 2008. Adun menziarahinya semasa beliau uzur.


Adun bertolak dari Bangi ke Hospital jam 4.30 dan tiba sebelum jam 5.00 dan menziarah Ustazah Zubaidah yang ditempatkan di Tingkat 7. Ustazah Zubaidah dijaga dengan penuh kasih sayang oleh anak perempuannya Dr. Firdaus (Bekas Pensyarah UIAM) dan juga cucunya Fahmi seorang Pelajar Perubatan tahun akhir di Cyber Jaya dan kini buat praktikal di Hospital Serdang. Dr. Firdaus mempunyai anak-anak angkat. Pada masa kehadiran kami dua daripada anak angkatnya juga hadir seorang perempuan dan seorang pelajar Somalia yang sedang menuntut di sini. Dr. Firdaus sedang membuka perusahaannya sendiri. Kini beliau juga melindungi dua pelarian suami isteri dari Syria. Lelaki bekas businessman di Syria dan isterinya Bekas Pramugari Kuwait Airline yang kini baru melahirkan anak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.


Ustazah Zubaidah berada di dalam keadaan berbaring dan tidak dapat bangun. Menurut cucunya beliau juga di dalam keadaan demam. Beliau sedar kehadiran kami, walaupun tidak bercakap. Kami lebih bercakap dengan anaknya Dr. Firdaus dan cucunya Fahmi mengenai keadaan Ustazah. Bahkan bercakap juga cerita-cerita kami yang lepas, sejarah yang berhubung dengan Ustazah Zubaidah dan Ustaz Ahmad Azam. Tidak berapa lama dari ketibaan kami pihak nurse memberitahu untuk memindah Ustazah ke Bilik yang lebih selesa ke tingkat 6 (Tingkat 7 aircod. rosak dan bergilir kipas dengan pesakit yang lain.), bila ada kekosongan. Kami mengikuti perpindahan dan turut membawa barang-barang ke bawah. Sementara urusan pengemasan dibuat oleh nurse kami menunaikan solat Asar dan datang semula ke bilik perpindahan yang baru. Jam 7.00 petang kami memohon diri dengan dihantar oleh Fahmi cucu Ustazah Zubaidah. Kami diminta oleh anak menantu di Bukit Jelutung singgah berbuka puasa dan anak bungsu suami isteri dari Pantai Hill Bungsar yang baru pulang dari Kuala Terengganu datang sama membawa makanan yang dikirim dari Kuala Terengganu untuk kami. Tiba di Bangi jam 10.30 malam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment