Dalam ucapannya selepas selesai menunaikan Solat Tarawih, Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT) yang diminta Pengerusi Sambutan saudara Adnan agar memberi sedikit Tazkirah berkata,
``Di dalam bulan Ramadhan, kita dituntut oleh agama Islam banyak membuat kebajikan. Konsep kebajikan adalah luas, ianya bukan setakat memberi bantuan material kepada orang-orang miskin dan susah, tetapi berusaha menggali ilmu bagi faedah masyarakat dapat dikategorikan dibawah kebajikan. Kerja-kerja saudara-saudari di PADAT mencari maklumat dan mengangkatkannya ke tahap ilmu yang dapat dipelajari dan menyingkapkan pandangan yang lebih luas dari segi peradaban dan tamadun adalah juga termasuk di bawah ruang lingkup kebajikan.`` Tambah Pengerusi PADAT itu, ``Kita menerbitkan buku mengenai dapatan-dapatan dari kajian-kajian yang memanfaatkan adalah kebajikan, bahkan termasuk di bawah kategori ibadat.``
Dr. Shafie menambah,``Sebagai contoh pada hari ini, pagi tadi kita membuat sidang akhbar tentang penemuan kita hasil dari ekskavasi dijalankan sejak 18 Jun 2012 lepas di tapak bangunan di Bukit Jugra Lama, terdiri dari seramik botol dan logam bagi mengukuhkan binaan yang dikenalpasti sebagai bangunan Pejabat Daerah pada abad ke 19 pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad (1859-1898). Ini dapat menyingkap maklumat tentang pensejarahan pemerintahan dan pentadbiran negeri Selangor.`` Seterusnya katanya, ``Ianya merupakan sumbangan bidang ilmu yang memanfaatkan yang dapat menjelaskan lagi tentang sejarah negeri Selangor secara khusus dan sejarah Malaysia secara lebih luas.``
Pada hari ini PADAT mengadakan program berbuka puasa di kalangan tenaga-tenaga kerja PADAT. Adat murni dari masyarakat yang menekankan amalan secara bekerjasama yang dikenali sebagai `gotong royong` yang dipepatahkan, ``Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni – budaya murni yang sesuai dengan tuntutan Islam yang menekankan, ``Hendaklah kamu bertolong-tolongan di atas perkara kebajikan dan jangan bertolong-tolongan di atas perkara dosa dan perseteruan (Al-Ma`idah: 2).
Hari ini, sejak pagi-pagi lagi warga PADAT bergotong royong di ruang legar di hadapan Dewan Raja Lumu bangunan Muzium Sultan Alam Shah menyediakan bahan-bahan masakan bagi bubur lambuk, roti jala dengan kuah perencah durian, masakan sup, bubur kacang dan beberapa kuih yang lain (nasi dan lauk-lauk dimasak dari luar). Adun Bangi yang datang ke PADAT bagi sidang akhbar sempat meninjau gotong royong bagi persediaan bagi masakan-masakan di atas.
Adalah dimaklumkan bagi menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa dan Tarawih Mahasiswa/I yang terlibat dengan ekskavasi di Bukit Jugra seramai 21 orang datang sama bergotong royong, pelajar dari Kolej Islam Kelang dan pelajar-pelajar dari Yayasan Selangor, guru-guru dan pengiring-pengiring mereka dijemput sama hadir. Jumlah mereka lelaki dan perempuan lebih kurang 70 orang. Adun dan isteri (Hajjah Mu`minah bt. Yusoff), Puan Hjh Azlinda Azman CEO Padat, En. Adnan Pegawai Tadbir, En Aris Kuritor, pegawai-pegawai dan kakitangan Padat dan keluarga turut Hadir. Bagi Pada tengaharinya Majlis Khatam Quran juga diadakan. Bagi mengimami solat Maghrib, Isyak dan Tarawih seorang Tamu Khusus, iaitu Ustaz Latif Ibrahim dari Jabatan Mufti Negeri Selangor dijemput hadir. Majlis berbuka, solat fardu dan tarawih berjalan lancar.
Dr. Shafie menyampaikan tazkirah ringkas sebelum moreh terakhir dan bersurai.
Sekian.
No comments:
Post a Comment