August 29, 2012

Suramnya Semangat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia: Amaran Kepada BN !

BBB, 11 Syawal 1433 = 29 Ogos 2012 (Rabu):

Apakah masalahnya yang menjadikan suramnya semangat rakyat Malaysia bagi menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 55 pada tahun ini? Sebagai bukti tiadanya keghairahan rakyat untuk mempamerkan bendera Malaysia sama ada di premis perniagaan, pejabat, rumah kediaman dan kenderaan. Banyak pihak membisu daripada memperkatakan tentang kemerdekaan tanahair tercinta selain dari media dikongkong kerajaan.



Kemerdekaan tanahair adalah hak dan milik rakyat semua tanpa mengira kaum, agama dan faham politik. Semangat kemerdekaan juga tidak mengira dari segi kedudukan sama ada berpangkat atau tidak, kaya atau miskin. Kemerdekaan juga memberi hak kepada setiap rakyat mengeluarkan pendapat, mendapat keadilan, ketelusan dan kebebasan maklumat. Masalah yang dihadapi, termasuklah suramnya sambutan rakyat terhadap ulangtahun kemerdekaan kali ke 55, bahawa BN kerajaan yang memerintah tidak menghormati konvensi prinsip, etika dan hak rakyat dalam sebuah Negara Merdeka. Lebih dari itu BN kerajaan yang memerintah dengan kekuasaannya bersifat mengongkong, memaksa, angkuh dan berpihak. Sikap BN ini dapat dilihat dari pemaksaan menggunakan slogan `Satu Malaysia`yang telah jemu jelak didengar tanpa mengira tempat dan masa. Lebih memuak dan memualkan lagi ditambah penggunaan `Janji Ditepati` sebagai tema menyambut ulangtahun kemerdekaan atau Hari Malaysia. Rhetoric klisye yang tidak memberi makna konkrik dan boleh dipersoalkan apakah semua janji dahulu, kini dan akan datang ditunaikan ? Sebagai contoh konvensi prinsip dan etika di atas saja sudah tidak dapat ditunaikan, apa lagi masalah kemiskinan, pengangguran, ancaman kedamaian dan sebagainya. Pihak yang bermain dengan slogan ini, khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan boleh disifatkan syok sendiri dari turun melihat kepada realiti.

Kita berpendapat rakyat hari ini amat celik dan cerdik dengan situasi dan keadaan semasa, biarpun mereka dituba dan dimabukkan dengan berbagai slogan, tetapi tahap sedar rakyat tetap pada tahap tinggi. Mereka menerima maklumat dari berbagai hala. Mereka melihat betapa angkuhnya pihak Kerajaan BN yang sejak pada awalnya membawa slogan politik `Satu Malaysia` dan `Janji Ditepati` ke dalam Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Pembawaan slogan sedemikian dibantah, kerana dianggap mencampuradukkan antara politik dengan semangat menyambut ulangtahun kemerdekaan yang menjadi hak kepada semua. Oleh kerana mereka tidak memberi perhatian terhadap bantahan dan tetap meneruskannya, jadi oleh kerana pendapat, pandangan dan kritikan tidak didengar, maka sebagai reaksi balas terhadap yang berkuasa yang bersifat angkuh dan sombong maka tindakan menentangnya dilakukan dengan secara `Protes Senyap`.

Dalam kata lain apa yang rakyat tidak setuju ialah cara pendekatan dan pemaksaan yang dilakukan oleh BN yang tidak peka terhadap keselesaan hati dan minda rakyat Malaysia.

BN janganlah menuding jari dan menuduh pihak yang tidak menyetujuinya melakukan sabotaj menghalang rakyat dari menghadiri Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia. Pihak Kerajaan dan BN hendaklah memeriksa kesilapan diri dari menuduh pihak lain secara melulu.

Kita melihat kesilapan Kerajaan dan BN yang tidak mempedulikan pandangan rakyat menggagalkan niat Kerajaan BN mencurigakan yang mau menjadikan Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke 55 sebagai platform kempen pilihanraya bagi BN yang dianggap menguntungkannya. Kita melihat protes senyap rakyat dengan tidak menyertai Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan adalah sebagai permukaan atas dari berbagai-bagai lapisan ketidakpuasan hati rakyat terhadap BN. Ini adalah merupakan signal amaran terhadap BN !

Sekian.

No comments:

Post a Comment