August 24, 2012

Sagu Hati Kepada Pemilik Rumah Rosak Dipukul Ribut

Sungai Ramal Luar, 26 Ramadhan 1433 = 15 Ogos 2012 (Rabu):

Kawasan Sungai Ramal Luar, khususnya di Kg. Paya dan Sungai Ramal Baru telah mengalami dua kali rebut yang merosakkan bangunan-bangunan rumah.

Kali pertama berlaku pada 01 Mei 2012. Sebanyak 20 rumah menjadi mangsa ribut dan 6 buah daripadanya dianggap teruk. Pada hari yang sama Adun turun bersama Ketua Kampong Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir dan beberapa yang lain dan memberi bantuan kepada pemilik-pemilik yang rumah mereka rosak teruk. Bantuan mengikut teruk kerosakan bagi 6 buah rumah. Bantuan dari paling teruk RM500/= dan yang paling kurang RM200. Manakala selebihnya yang lain sebanyak 14 buah rumah menunggu ganti rugi dari Pejabat Daerah Hulu Langat.

Ribut kali kedua berlaku pada 18 Julai 2012. Kerosakan berlaku kepada 14 buah rumah. Permohonan juga dibuat terhadap Pejabat Daerah Hulu Langat bagi membayar pampas an kerugian.

Permohonan ganti rugi diluluskan oleh Pejabat Daerah, walaupun tidak sebanyak mana jumlah pampasan. Hari ini pampasan bagi kedua-dua kerosakan disatukan dari segi penyampaian. Lebih kurang 50 orang dijemput hadir ke Majlis penyerahan pampasan dan pada masa yang sama Adun turun dengan bahan-bahan peruntukan dari Lajnah Kebajikan untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa ribut, ibu tunggal dan mereka yang miskin. Turut dalam Majlis Penyampaian pampasan yang lebih bersifat sagu hati itu, selain dari Adun Bangi ialah Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, saudara Fuad Ismail Setiausaha JKK dan Masjid dan beberapa yang lain.

Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir dalam ucapan ringkasnya menerangkan tentang kedua-dua ribut yang merosakkan berpuluh-puluh rumah. Menurut beliau, walaupun jumlah yang diberi tak seberapa, iaiitu sebanyak RM150.00 seorang, tapi Adun menambahkan bantuan yang merupakan beras, keperluan dapur dan makanan.

Adun berucap dengan mengucap syukur kepada Allah, kerana kebanyakan mangsa yang mengalami kerosakan telah memperbaikinya. Bantuan yang tak seberapa diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi mangsa-mangsa. Adun juga menambah bantuan berupa barangan. Ini juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah bagi membantu mangsa-mangsa, Beliau berharap mangsa-mangsa dapat menerima dengan rela. Banyak lagi bantuan dari kerajaan negeri baik bersifat langsung seperti air percuma, Skim Bantuan Warga Emas Skimsel dan Mimbar, dan berbagai kemudahan yang disediakan kepada rakyat negeri Selangor. Bantuan secara tidak langsung seperti pembaikan jalan-jalan, bantuan pendidikan, pinjaman tanpa faedah dan berbagai lagi.

Pada Majlis Penyampaian Sagu Hati bertempat di Baitul Imtiyaz, Sungai Ramal Baru di sini Lebih dari 50 beg plastic barangan dan bantuan kewangan disampaikan kepada mangsa-mangsa ribut dengan tambahan barangan kepada ibu tunggal, anak Yatim dan fakir miskin. Diharap dengan bantuan ini dapat melegakan mereka di dalam menyambut hariraya Eidul Fitri yang akan tiba beberapa hari lagi. Insya Allah. Pada akhirnya Adun mengucapkan ``Selamat Menjalani Ibadat Puasa dan Selamat Hariraya - Maaf Zahir Dan Batin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment