August 2, 2012

PJ Pas Selangor & Rombongan Lawat Dato` Dr. Harun Din: Saat-Saat Cemas !

BBB, 12 Ramadhan 1433 = 01 Ogos 2012 (Rabu):
Maklumat tentang kunjungan PJ Pas Negeri Selangor Y.B. Dr. Abdul Rani bin Osman dan rombongan ke rumah Dato` Dr. Harun Din pada pagi ini baru diketahui Adun Bangi pada pagi ini. Sebagai Tuan Rumah, Adun Bangi menunggu ketibaan rombongan yang akan singgah di Pejabat Adun Bangi yang tidak berapa jauh dari rumah Dato` Dr. Harun Din.

Rombongan tiba ke Pejabat lebih kurang jam 10.30 pagi diketuai Y.B.Dr. Abdul Rani Othman PJ Pas Selangor, saudara Khairuddin Othman Setiausaha Pas Negeri, Ustaz Salihin Ketua Pemuda Pas Selangor, Ustazah Mariam Ketua Lajnah Kebajikan Pas Selangor, saudara Azman Setiausaha Kerja Pas Selangor, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Timbalan YDP Pas Serdang, Sdr. Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang dan beberapa yang lain.Rombongan tiba 11.00 pagi ke rumah Dato` Dr. Harun Din Timbalan Murshidul Am Pas. Beliau kelihatan sihat ketika menerima tamu yang tiba ke rumahnya. Tujuan rombongan adalah sebagai kunjungan ziarah selepas kembalinya Dato` Dr. Harun Din dari rawatan jantungnya di California menjelang Ramadhan. Topik utama yang menjadi percakapan ialah berhubung dengan kesihatan beliau. Menurut Dato` Dr. Harun Din, ``Ini adalah merupakan pembedahan kali kelima.`` Beliau menyifatkan bahawa, ``Pembedahan kali ini amat kritikal.``Tambah beliau, ``Pembedahan yang lebih dahulu, jika tidak sedar hanya memakan masa lima enam jam, tapi kali ini memakan masa seminggu untuk sedar.``

Kata Dato` Dr. Harun Din, ``Pembedahan kali ini melibatkan pemotongan bahagian yang telah mati dari bahagian hujung jantung untuk disambung dengan bahagian penyambungan yang hidup.`` Pembedahan dilakukan oleh Dr. Pakar yang diketuai Dr Robert Robin.Menurut Dato` Dr. Harun Din sekembalinya ke tanahair menjelang Ramadhan sebaik tiba beliau mengalami komplikasi yang mencemaskan yang antaranya oleh jauh perjalanan dan beliau makan bahan-bahan memberi kesan kepada kekosongan perutnya dalam waktu yang panjang – beliau menyebut makan tomyam. Masalah beliau terpaksa dirujuk kepada Dr. Peribadinya di IJN yang memberi nasihat dari segi pengambilan makanan. Walaupun beliau diminta ke IJN, tetapi melalui penggunaan ubat yang sedia ada pada beliau, kesihatan beliau pulih kepada normal. Oleh kerana beliau tidak ke IJN, Dr. peribadinya datang ke rumahnya dan Dr. berpuashati dengan kesihatannya yang telah pulih.

Dalam perbualannya, Dato` Dr. Harun Din menceritakan tentang tindakan segera menghantar beliau ke Hospital Pakar ke Luar Negara, apabila satu hari beliau dalam rangka kunjungan ke Perlis yang seharian bergiat. Pada malamnya beliau begitu letih dan terpaksa membatalkan pertemuan yang diatur. Pada malamnya beliau berihat dan menginap secara berseorangan di rumah penginapannya.Dalam masa beliau berihat di atas kerusi, beliau diserang symptom jantungnya sehingga beliau tidak dapat berdiri untuk mengambil ubat semburan yang ada dalam baju jubahnya yang tersangkut pada tiang sangkutan pakaian. Biar pun akhirnya beliau dapat rebahkan tiang baju dengan kakinya dan dapat ambil ubat semburan dari poket bajunya, malangnya ubat sembur yang dibawa telah kehabisan. Lebih malang lagi bila beliau cuba membuat hubungan dengan telefon bimbitnya, bateri telefonnya telah habis. Dengan usaha dan ikhtiarnya beliau bergerak ke bawah. Tanpa diketahui, kawan yang bimbang tentang kesihatannya tidur dan tunggu di bawah. Menyedari keadaan beliau yang kritikal, sahabat berkenaan berurus untuk mendapatkan tiket kapal terbang untuk ke IJN di Kuala Lumpur. Untuk mendapat tiket secara serta merta tentulah sukar. Penerbangna Mas sudah penuh, begitu juga penerbanga Air Asia. Cubaan juga dibuat untuk mendapatkan tiket Firefly, tetapi juga penuh. Mujur seorang kenalan yang mengetahui masalah yang dihadapi oleh Dato` Dr Harun Din, menarik diri dari terbang dan memberi tempatnya kepada Dato` Dr. Harun Din. Beliau juga menyatakan, ``Tiba beliau ke Lapangan Subang beliau yang turun seketika, tidak dapat berjalan dan jatuh di Padang. Berbetulan ada seorang yang guna kerusi roda, maka daripadanya dipinjam kerusi roda berkenaan. Beliau dikejarkan ke IJN dengan diiringi keluarganya yang menunggu di Lapangan Terbang.

Dato` Dr. Harun Din dirawat di IJN hingga beliau pulih, namun masalah jantung yang dihadapi perlu beliau ke luar Negara. Beliau juga menghadapi masalah bagi mendapat kelulusan dari Paanel UKM (Majikannya semasa berpencen). Namun akhirnya kewangan yang diperlukan itu dapat dikira dan beliau bertolak ke Amerika bagi pembedahan beliau bagi kali kelima.

Dato` Dr.Harun Din kelihatan cergas walaupun bercakap panjang lebar, kerana kami yang hadir lebih banyak bersifat bertanya dan beliaulah yang menerangkan dengan agak panjang. Selain dari soal kesihatan, Y.B. Dr. Rani juga menerangkan tentang keadaan Pas Selangor, persediaan pilihanraya di Selangor, hubungan dengan parti-parti dalam Pakatan dan gugatan-gugatan bakal dihadapi di dalam pilihanraya. Pas Selangor, menurut Dr. Abdul Rani sentiasa bersiap siaga.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment