Hadirnya dengan pakej kesempurnaan
Seindah purnama sedang mengambang
Menabur cahaya lembutnya ke persada
Memupuk jiwa dengan sifat taqwa.
Lihatlah Ramadhan yang indah
Anak-anak sedari kecil ditarbiah
Menunaikan Ramadhan dengan tabah
Gembira beriftar dengan keluarga
Walaupun liat ketika bersahur
Di bawah cahaya hidayah
Bersama azan kumandang bersahutan
Berduyung mereka ke tempat ibadah
Masjid surau langgar dan musalla
Ceria penuh dengan jamaah
Dalam saf-saf teratur indah.
Melalui solat Tarawih
Rakaat ke rakaat Imam mentartil Al-Qur`an
Gema takbir dan tasbih kepada Allah
Salawat kepada Junjungan Rasulullah
Pernyataan setia & cinta ditumpah
Ibadat yang unik dan istimewa ini
Menyerlah wahyu dalam ibadah
Melakar sirah Rasulullah
Menyanjung sahabat turut dimadah
Ramadhan madrasah menghimpunkan
Ibadat, sirah dan tarbiah
Cintakan Allah kasihkan Rasulullah
Sayang dan ihsan sesama insan
Tolong menolong berbantu-bantuan
Bulan penuh rahmat dan barakah
Mesra bersamaan
Cinta berlamaan
Rindu berpisahan.
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi.
14 Ramadhan 1433
03 Ogos 2012.
No comments:
Post a Comment