August 30, 2012

Menunggu Projek-Projek Cadangan Menjadi Kenyataan Di Bangi: Membangunkan Bulatan Ilmu, Bulatan Cempaka, Hutan Bandar Dan Dewan Konvensyen

MPKj, 11 Syawal 1433 = 29 Ogos 2012 (Rabu):

Mesyuarat Penuh MPKj hari ini dimaklumkan beberapa projek yang dirancangkan bagi Bandar Baru Bangi. Bahagian Landskap memaklumkan tentang cadangan membangunkan Bulatan Ilmu (Bulatan Bangi) ke UKM. Cadangan pertama adalah merekabentuk landskap `Bulatan Seribu Bambu`. Ianya berdasarkan konsep `mound dan island` yang dijangka kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM395,500.00. Seingat Adun ini adalah idea YDP MPKj berseorangan. Perlu dibincang dan dikemukakan plan dan proposal susunatur apa yang dikatakan `Bulatan Seribu Bambu` itu, jangan jadi kelak selepas tidak terjaga sebagai `Hutan Buluh` menyakitkan mata. Yang kita cadangkan di Bulatan Ilmu itu didirikan arca `Bangi Bandar Ilmu` yang landscape taman berciri ilmu yang bersifat hijau dengan `Taman Seribu Bunga` berwarna warni yang sentiasa diberi perhatian dan penjagaan berterusan, bukan terbiar seperti bulatan-bulatan yang ada sekarang. Kita tak nampak jika hanya tanam buluh, maka kosnya begitu tinggi hingga RM395,500.00. Yang kita mau tekankan ianya sebagai `Taman Ilmu`. Bukan setakat bulatan, tetapi juga kelilingan. Kita harap cadangan bagi peningkatan taraf bulatan ini dibincangkan terlebih dahulu, agar benar-benar mencapai hasrat `Taman Ilmu` bagi Bangi Bandar Ilmu. Dengan peruntukan secara wajar. Kini sebahagian dari kawasan ini telah dirosakkan oleh bangunan yang tidak wajar didirikan yang sebelumnya kita bantah projek berkenaan, tetapi tidak dipeduli.

Cadangan kedua ialah melibatkan dua bulatan dengan penanaman pokok buluh di Bulatan Bangi di atas dan pembinaan papantanda nama `Bulatan Ilmu` dan bulatan kedua`Bulatan Cempaka` (dari bulatan ini menuju ke Tasik Cempaka) di Bandar Baru Bangi. Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM146,000.00. Bagi bulatan kedua tidak jelas dari segi imej yang mahu ditonjolkan. Sebaiknya bulatan ini memancarkan imej `Bandar Pentadbiran` kerana hampir keseluruhan bangunan pentadbiran, kecuali MPKj & Urusan Air semuanya berpindah dan berada di Bandar Baru Bangi. Jadi selain dari membawa nama Cempaka sebagai imej bunga bagi negeri Selangor, ianya perlu mencirikan imej Bandar Pentadbiran, sesuai dari bulatan ini menuju kepada berbagai-bagai pusat pentadbiran di samping komersil. Bagi mempastikan hasrat di atas dapat dicapai jangan hanya membuat pilihan dan tindakan perseorangan, perlu dibincangkan dengan melibatkan pakar-pakar di dalam landscape dan seni taman. Di dalam soal yang melibatkan seni, biarlah ianya ditangani oleh mereka yang berjiwa seni yang melakukan tugas dengan rasa seni dan penuh kecintaan, bukan sekadar menjalankan kerja `Makan Gaji` biasa.

Cadangan yang lain ialah pembangunan hutan Bandar di kawasan zon penampan Bandar Baru Bangi. Ianya adalah kesinambungan dari pembangunan penanaman pokok hutan (`trees bank`) di kawasan berkenaan yang telah dilaksanakan pada tahun 2007. Anggaran kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM390,000.00. Apa yang dikatakan `Hutan Bandar` ini tidak jelas kedudukan dan di mana lokasinya yang sebenar. Jangan membuat sesuatu secara lebih kurang dengan perbelanjaan besar, tetapi hasilnya dipersoalkan. Kita meminta projek ini juga dibawa kepada perbincangan lebih teliti baik dari segi konsep yang kemudian dapat diterjemahkan kepada realiti serta berfaedah bagi kepentingan alam sekitar dan penggunaan penduduk. Bawa semua cadangan untuk diteliti terlebih dahulu. Ahli Majlis bersetuju untuk dilaksanakan projek ini secara berperingkat bergantung kepada peruntukan kewangan MPKj. Kita berharap cadangan dilaksanakan selepas melalui kajian secara teratur dan teliti yang kelak memberi faedah secara maksimum.

Sementara itu YDP MPKj memaklumkan terdapat perbincangan bersama pihak PKNS berkenaan cadangan pembinaan sebuah Dewan Konvensyen dan sebuah hotel di kawasan Tasik Cempaka. Apabila ditanya tentang kepastian pembinaan dan sama ada dewan tersebut di bawah pengurusan hotel atau sebaliknya.

Dato` YDP MPKj memaklumkan bahawa pembinaan dewan dan hotel adalah bersebelahan, namun laluan keluar masuk ke dewan dan hotel adalah berasingan. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak hotel tidak terlibat dengan pengurusan dewan tersebut. Perlu diingat jumlah hotel di Bandar Baru Bangi dan sekitarnya sudah begitu banyak sebab itu mendirikan hotel sepatutnya tidak menjadi keutamaan dan wajar ditiadakan. Kita berharap cadangan membina Dewan Konvensyen ini tidak berada pada peringkat cadangan begitu amat lama, tetapi tindakan konkrit tidak diambil. Kawasan dtepi Tasik Cempaka pada asalnya begitu luas, tapi telah dimiliki oleh syarikat tertentu untuk dibina bangunan komersil, jangan sampai cadangan membina Dewan Konvensyen tergantung oleh kerana kehilangan tapak di tepi Tasik Cempaka berkenaan.

Berhubung dengan pembinaan Sekolah Agama 4 tingkat di Taman Kajang Raya ditimbulkan kemungkinan boleh mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk selepas bangunan itu mula digunakan. Ditimbulkan adakah kajian dan cadangan serta bersyarat untuk pelebaran jalan lorong Kajang Raya 2 dan jalan masuk daripada lampu isyarat.

Setelah berbincang adalah dicadangkan pihak JKR melebarkan jalan Kajang Raya. Mesyuarat khas akan diadakan di antara JKR, MPKj dan Ahli Majlis untuk cadangan melebarkan jalan di Kajang Raya.

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Tak pasti kalau Dr baca komen di dalam blog ini. Apapun, terima kasih kerana berusaha sampaikan maklumat berterusan tentang DUN Bangi di laman blog ini. Kurang-kurang saya tahu ada aktiviti yg dijalankan utk memperbaiki taraf hidup di kawasan ini.

    Berkenaan topik Bulatan dan Hutan Bandar, kawasan Bangi memang mempunyai jalan masuk (terutamanya dari lebuhraya2 utama) yg perlu diberi perhatian. Kadangkala penanaman pokok sepanjang jalan tidak sekata. Ditambah lagi dengan pihak2 tak bertanggungjawab buka gerai di bawah pokok2, menunjukkan ketidakseragaman dalam perlaksanaan undang2 di DUN Bangi.

    Apapun, saya rasa di sini bukan tempat paling sesuai utk cadangkan apa2. Cuma satu hari saya berharap, kerja2 landskap akan berjalan secara istiqamah di Bangi dan sekurang2nya kelihatan seperti pautan ini http://www.localecology.org/images/seasia09_singapore_41.JPG

    Terima kasih.

    ReplyDelete