October 31, 2019

DERITA ADAM


DERITA ADAM
(Fikrah Bangi: 388),
BBB: 03 Rabi`ul-Awwal 1441H. = 30 Oktober 2019M. (Khamis).
Banyak episod  yang dialami Adam merupakan tamsil ibarat dan tauladan bagi  panduan keturunanya. Pada awal kehidupan Adam dengan Hawa mereka didedahkan dengan pengalaman hidup nikmat kesyurgaan.  Tetapi nikmat dan rahmat tidak semudah didapat tanpa melalui  ujian dan amalan. Nikmat dan rahmat adalah balasan bagi amalan baik yang telah dilakukan. Dalam kata lain nikmat dan rahmat tidak datang bergolek tanpa usaha dan amalan. Bahkan adalah bersifat kurniaan  dari Yang Tertinggi.
Adam dan Hawa diuji dengan musuh Adam dan keturunannya dengan  tipu daya iblis-syaitan yang tidak senang dengan kenikmatan yang bakal didapati manusia sebagai balasan bagi amalan. Iblis telah  memperdayakan Adam dan Hawa dengan memakan buah larangan yang bermaksud simbolik sifatnya. Adam dan Hawa terpedaya dan terjebak oleh tipu daya iblis. Dengan memakan buah larangan (khuldi), maka Adam dan Hawa tersingkir keluar dari kehidupan kesyurgaan dan  jatuh menjalani ujian kehidupan keduniaan.
Adam dan Hawa mengalami siri ujian sebagai episod duka yang terpaksa ditanggung.
Adam menderita dengan perubahan suasana kehidupan kesyurgaan kepada kehidupan dunia. Kalau di dalam syurga segala keperluan semuanya didapati dengan mudah, maka berlainan dengan kehidupan di dunia, Adam mesti bekerja dengan daya tenaga menjalankan pekerjaan bagi mendapat keperluan bagi melangsungkan hayat kehidupan.
Sebelum daripada itu Adam menghadapi derita ujian terpisah. Selepas diturunkan ke dunia Adam terpisah dari Hawa yang juga diturunkan berlainan tempat. Kerinduan Adam terhadao Hawa menambahkan kerisauan dirinya. Adam terpaksa bergerak mencari Hawa. Berbagai andaian di mana Adam dan Hawa diturunkan. Ada yang mengatakan Adam diturunkan di tanah Arafah dan Hawa di Jeddah. Mereka bertemu di `Arafah. Lantaran itu tempat pertemuan mereka dinamakan `Arafah.
Bagi peringkat permulaan kehidupan di dunia, bayangkan betapa ujian yang dihadapi Adam dan Hawa bagi memulakan penghidupan. Mereka perlu kepada tempat lindungan yang bernama rumah sebagai tempat berteduh dari panas dan hujan. Juga bagi menjamin keselamatan dari ancaman keliling seperti binatang buas dan sebagainya. Mereka perlu menjalankan pekerjaan sama ada memungut bahan-bahan buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan bagi dijadikan bahan makanan. Mereka perlu tahu bagi menangkap binatang-binatang yang dapat dimakan.
Selain daripada itu mereka memerlukan kepada pakaian bagi melindungi tubuh mereka dari sejuk dan panas dan juga bagi menutup aurat mereka.
Satu hikmat yang besar diturunkan Adam dan Hawa ke dunia, ialah bagi membolehkan  Adam dan Hawa melahirkan zuriat mereka bagi memakmurkan muka bumi ini.  Pada peringkat permulaan ini sebelum melahirkan zuriat, tiada tugas dakwah kepada yang lain. Adam memulakan model kehidupan suami isteri bagi contoh kepada keturunan merekla. Mereka hidup secara kasih sayang yang  seharusnya menjadi contoh berterusan kepada keturunan mereka akan datang.
Asam dan Hawa benar-benar menjalani ujian dalam kerinduan mereka terhadap hidup kesturgaan yang telah pernah mereka alami. Pengajaran yang dilalui bahawa, nikmat dan rahmat tidak dapat dicapai begitu sahaja, tanpa lulus ujian di dalam kehidupan, iaitu dengan menjalani hidup yang baik sebagaimana diatur dalam syari`at.. Tanpa melalui ujian dan kejayaan, maka apa yang dinamai nikmat dan rahmat tidak dapat dicapai. Adam dan Hawa melalui proses ujian bagi kembali mendapat nikmat dan rahmat yang pada hakikatnya kurniaan Allah kepada hamba yang dikehendakinya.
Sekian.

October 30, 2019

ASAL USUL MANUSIA


ASAL USUL MANUSIA
(Fikrah Bangi: 387),
BBB: 2 Rabi`u-Awwal 1441H. – 30 Oktober 2019M. (Rabu).
Tiada siapa yang dapat menafikan, bahawa perubahan, kemajuan bahkan kemusnahan yang berlaku pada permukaan muka bumi ini adalah diakibatkan oleh manusia. Manusia yang dalam tempoh yang panjang melalui proses kemajuan dan masih melakukan perubahan ke arah kemajuan, tetapi dalam masa yang sama melakukan kerosakan. Dengan kesedaran mereka  tidak mau kemusnahan dan berusaha memperbaiki kelemahan bagi menuju kemajuan. Sedangkan segala yang lain dapat dikatakan tidak mengalami perubahan – tidak maju, melainkan sebagai instument yang digunakan manusia bagi memajukan mereka.
Siapakah bangsa manusia yang telah begitu ramai memenuhi permukaan muka bumi, berlumba antara mereka untuk lebih maju, dan antara mereka memusnahkan antara satu sama lain agar musuh tidak lebih maju dari mereka.
Bangsa manusia yang pada umumnya baik, tetapi sebahagian dari mereka  tidak baik ini. Dari mana mereka ? Dari mana asal usul mereka , ke mana mereka ? Apakah yang sedang dituju oleh mereka apakah pengakhiran mereka ?
Mistri tentang mereka tidak kurang dari mistri kejadian alam,khususnya dunia. Dan manusia adalah sebahagian dari mereka. Wujud mereka tidak dapat dinafikan, lantaran mereka berdepan dengan mata kepala kita, dan mereka dengan berbagai tabiat sedang bergerak di depan kita. Sebagaimana bumi dan alam ada asal usulnya. Demikian dengan manusia. Ada berbagai legenda dan metos tentang manusia, tetapi pengakuan yang diterima umum, khususnya dari maklumat keagamaan seperti Yahudi, Kristian dan agama Islam, bahkan bagi yang lain dari keagamaan menerima bahawa manusia awal adalah Adam.
Adam sebagaimana disebutkan di dalam Al-Qur`an adalah berasal dari tanah. Satu kenyataan yang logik bahawa seperti Adam dan lanjutan turunan juga hidup berasaskan sumber dari tanah. Bermaksud bahan makan minum mereka adalah berasal dari tanah. Tanah dari tempat mana  Adam itu ? Tidak jelas, tetapi ada pendapat, bahawa manusia pertama ini adalah berlaku di kawasan pertemuan antara tiga benua terpenting, iaitu antara Afrika, Asia dan Eropah. Perkembangan manusia melalui Adam bersama pasangannya yang dikenali dengan Hawa. Bagaimana boleh pasangan Adam terjadi dari dirinya ? Disebutkan terjadi dari tulang rusuk Adam. Menurut kajian Dr. Mauririce Bucaille, di dalam bukunya `The Origin of Man`,  komsep kejadian Adam dan ditamsikan Hawa dari dirinya, adalah seperti pecahan kejadian antaranya seperti tumbuhan yang memecahkan bahagian dirinya bagi melangsungkan perkembangan. Dikatakan demikianlah dengan Hawa berlaku pemecahan dari Adam pada peringkat awal.  Ertinya benih Hawa berasal dari Adam. Lantaran itu cinta Adam terhadap Hawa sebagai cuinta terhadap bahagian dari dirinya. Kecintaan ini berterusan berlaku di kalangan anak Adam. Tanpa kecintaan sudah pasti tidak berkembang zuriat dan keturunan Adam.
Bila berlakui  kejadian Adam dan Hawa ? Jika dilihat dari kajian antropologi antara turunan manusia awal digolongkan sebagai zaman Batu (lama) adalah melebihi dari 10,000 tahun yang lalu, tetapi usia keturunan manusia jauh lebih lama dari itu, lantaran tamadun Babyliom sudaj diketahui lebih dari 10,000 tahun yang lepas. Untuk sampai kepada proses tamadun mungkin manusia telah hidup lebih dari ratus  ribuan tahun yang lepas.
Adam sebagai manusia pertama dengan pasangannya Hawa diberi penghormatan  dengan kesyurgaan. Ertinya berada pada tahap kenikmatan, tetapi berlaku episod yang mempunyai hikmah bagi menguji Adam-Hawa dan turunan, bahawa nikmat dan rahmat tidak semudah itu didapati, sebaliknya ianya perlu melalui ujian, kesungguhan dan ketaatan. Lebih dari iiu mesti berusaha berbuat baik, dan berbakti dengan kebaikan untuk mendapat nikmat, rahmat dan kebahagiaan.
Adam dan Hawa diuji dengan  gugatan elemen jahat yang dikenali dengan iblis dan syaitan yang menyebabkan Adam dan Hawa tergelincir dari kesyurgaam dan jatuh ke dunia. Episod ini mencerminkan bahawa Adam dan Hawa serta turunan akan terus mendepani ujian baik dan buruk. Kejayaan mengatasi keburukan dengan kebaikan akan dibalas dengan nikmat, rahmat dan kebahagiaan. Sebaliknya gagal mengalahkan kejahatan akan menerima keseksaan.
Proses rindu untuk kembali kepada kesyurgaan terus berlaku pada keturunan Adam. Mereka teruji di dalam kehidupan agar melakukan kebaikan agar mendapat nikmat dan rahmat. Moralnya manusia hendaklah senantiasa meningkatkan kualiti diri dengan kebaikan bagi mencapai  kemakmuran dan kebahagian.
Sekian.

October 29, 2019

KONSEP ISLAM SEJAK CIPTAAN


KONSEP ISLAM SEJAK CIPTAAN
(Fikrah Bangi: 386).
BBB: 01 Rabi`ul- Awwal 1441H. = 29 Oktober 2019M. (Selasa).
Konsep Islam sebenarnya adalah menjadi falsafah dan prinsip ciptaan alam, khususnya bumi yang menjadi  rumah kediaman insan. Islam yang dapat ditafsirkan kepada berbagai-bagai maksud dengan ciptaan Allah yang Mengetahui, Berkehendak dan Berkuasa di dalam ciptaan.
Islam adalah bermaksud selamat sejahtera. Sebagaimana dibicarakan Allah mempastikan bahawa makhluk alam dan dunia yang diciptakanNya adal;ah bersesuaian dengan makhluk utama yang diciptakannya, iaitu insan atau manusia itu sendiri. Proses ciptaan mengambil tempoh yang lama dan melalui enam tahap penciptaan sehingga mantap ke tahap yang disaksikan. Alam dan bumi adalah selamat bagi dihuni insan yang menjadi pilihan kejadian. Maha Suci Tuhan yang Maha Sempurna menyediakan tempat sempurna bagi kejadian makhluk yang paling sempurna antara kejadian. Dia menyatakan, sesungguhnya cara dan jalan selamat diikuti tidak lain dari Islam. Dengan menurut pola-pola Islam yang disediakan, maka sesungguhnya keselamatan dan kesejahteraan akan dicapai.
Dalam konsep Islam ini antara maksudnya ialah patuh pada aturan yang disedia dan ditentukan oleh Allah. Di dalam konsep patuh ini Maududi dalam bukunya `Understanding Islam` membicarakan secara menarik, bahawa segala kejadian ciptaan Tuhan semuanya patuh kepada aturan yang diatur oleh Allah. Kepatuhan diikuti oleh kejadian yang paling besar, umpamanya cakerawala,  bintang-bintang dan planet-planet patuh pada aturan Allah seperti tiap planet, termasuk bumi dan matahari berada pada paksinya. Planet misalnya bergerak di atas orbitnya dengan teratur mengikut gerakan dan masa yang ditentukan yang menghasilklan kaedah dan keperluan alam. Misalnya berlaku pertukaran malam dan siang, berlaku pertukaran musim. Berlaku pergerakan angin dan awan, turunnya hujan yang menyuburkan tumbuh-tumbuhan, mengalirnya air hujan dari gunung-ganag dan bukit bukau melalui sungai-sungai yang menghidupkan tumbuhan dan sampai ke laut yang sentiasa bergerak dan menghidupkan. Kepatuahan juga dapat dilihat berlaku pada hewan, , bahkan pada perkara-perkara kecil tetapi penting. Misalnya hewan dan manusia perlu patuh dengan peraturan untuk selamat. Misalnya perlu makan minum untuk hidup. Perlu rehat dan tidur untuk kembali bergiat. Dengan kepatuahan semua, maka terhasilnya keselamatan yang dimaksudkan dengan Islam.
Kosep Islam juga bermaksud , khudhu` atau merendah diri, bermaksud patuh pada yang tertinggi. Bererti pengakuan kepada Yang Maha Kuasa yang mengatur segala sesuatu dengan selamat. Dengan  khudhu` dan kepatuhan, tiada keangkuhan dan tiada penentangan terahadap aturan Islam, sebarang penentangan mengundang kerosakan. Khudhu` dan kepatuhan  menjamin keselamatan.
Islam juga mempunyai hubungan yang rapat dengan aman. Bermaksud dengan mengetahui hakikat ciptaan Yang Maha Berkuasa dan aturan-aturan yang diciptakan dan manusia serta  segala kejadian patuh pada aturan yang ditentukan dan tidak menentang, maka dengan sendirinya terhasilnya keamanan. Jadi dengan Islam dan patuh pada peraturan dan memahami hakikat kejadian, maka diri yang memahami aman dari segi pengertian sebagaimana amannya kejadian yang menurut aturan Tuhan.
Dasar keamanan pada diri manusia, mempunyai hubungan rapat dengan kafahaman yang berkait rapat pula  dengan ilmu dan maklumat yang diketahui. Sebenarnya lebih mendalam dari segi ilmu dan kefahaman meletakkan manusia pada tahap yang lebih utama dari kejadian-kejadian yang lain, bahkan faktor ini yang melayakkan manusia memimpin alam ini yang dikenali dengan istilah Khalifah itu.
Selamat sejahtera atau dalam istilah yang agung dan unggul `Islam` adalah menjadi falsafah, prinsip dan dasar  ciptaan dan atas dasar Islam ini kewujudan diadakan secara selamat dan memberi keselamatan dan rahmat  pada kejadian yang dicipta Tuhan.
Salam atau selamat sejahtera adalah menjadi falsafah, prinsip, dasar dan motto bagi Islam. Sebab itu Islam diucapkan di dalam salam baik di dalam doa`a, pertemuan, ucapan, zikir dan tabhil. Keselamatan menjadi inti do`a kehambaan kepada Allah agar `Hidup selamat dunia dan akhirat`.
Sekian.

October 28, 2019

PERSEDIAAN BUMI RUMAH MANUSIA


PERSEDIAAN BUMI  RUMAH  MANUSIA
(Fikrah Bangi: 385).
BBB: 28 Safar 1441H. = 27 Oktober 2019M. (Isnin).
Allah menyempurnakan kejadian bumi dan yang lain dalam tempoh enam tahap. Penyempurnaan ini perlu bagi menjamin keselamatan bumi,  planet,  cakrawala dan kaitan antara satu sama lain. Dengan keselamatan ini akan menjamin keselamatan kandungan dan penghuni,khususnya di bumi itu sendiri. Dalam tempoh ini bumi yang asalnya sebagai benda yang kemudian dikenali dengan tanah dan laut yang asalnya dalam keadaan panas mulai menyejuk. Dalam tempoh ribuan milion tahun terbentuk daratan dan lautan, Pada muka bumi mulai tumbuh tumbuhan awal dan berkembang dengan berbagai tumbuhan. Setenaghnya bersifat sementara dan diganti dengan tumbuhan yang lebih baharu yang lebih tahan dan lebih sesuai. Di permukaan bumi ini juga mulai wujud binatang-binatang kecil dan besar saiznya yang antaranya bersaifat sementara dan lahir binatang yang lebih kekal yang hidup dengan memakan tumbuh-tumbuhan yang mulai hidup dan berkembang. Laut yang menjadi sebahagian besar dari permukaan bumi mulai bergelombang dan di dalamnya mulai wujudnya hidupan yang terdiri  dari ikan-ikan dan sebagainya.
Ada dua elemen penting yang membantu bagi penghidupan, bahawa pada permukaan bumi disediakan udara atau angin yang menjadi bekalan  oksijen bagi hidup-hidupan dan tumbuh-tumbuhan. Udara dan angin yang setebal 100 batu tinggi ini yang makin ke atas makin menipis merupakan agen yang merubahkan permukaan bumi dan laut. Dengan bergerak atau bertiupnya angin  dia menggerakkan laut dan tumbuhan. Dia menyerapkan air dari laut dan membawanya jauh ke perbatasan gunung ganang dan pecah menjadi hujan yang menyuburkan pokok-pokok dan mengalirkan air ke sungai-sungai yang  menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan jua membantu hewan-hewan untuk meneruskan hidup.
Satu elemen yang penting yang disediakan oleh Maha Pencipta, ialah cahaya yang menghangatkan suasana di permukaan bumi – sama ada dipermukaan tanah  atau laut ialah cahaya. Cahaya dan kehangatan  adalah dari kewujudan planet matahari yang jauhnya bersesuaian dengan keperluan bumi dan lain-lain sehingga untuk keperluan bumi dan laut tidak terlampau hangat dan tidak pula terlampau sejuk, sesuai pula untuk kehidupan.
Sebagai kejadian yang dinamik, ciptaan Yang Maha Kuasa ini diberi  mekanisme bergerak di dalam orbit masing-masing di atas garis-garis yang ditentukan.  Dengan pergerakan ini menghasilkan tenaga gerak yang dinamik. Misalnya gerakan secara keliling (bulatan) mendedahkan bumi  kepada perubahan yang dikenali dengan malam dan siang yang memberi masa untuk bergiat dab rehat pada waktu malam. Dari gerakan  berlaku perubahan pancaran cahaya matahari ke permukaan bumi yang menghasilkan musim-musim seperti musim panas, sejuk, musim bunga dan musim gugur. Proses ini memberi kesempatan bagi menghasilkan bahan tumbuhan dan ternakan sebagai persediaan bahan makanan baik dari tumbuhan atau binatang  bagi penghidupan manusia dan juga hidup-hidupan yang lain.
Bumi sebagai ruang kediaman dan perumahan – tempat tinggal, terutama bakal bagi kehadiran manusia telah disediakan bagi mereka iaitu dari persediaan tapak yang paling sesuai dengan diiring kelilingnya jiran-jiran planet, bahkan gugusan bintang-bintang adalah bagi persediaan sekitaran yang sesuai bagi penghidupan.
Dipermukaan bumi disediakan dengan tumbuh-tumbuhan dan hidupan. Demikian juga di laut. Permukaan dilengkapkan dengan udara sebagai sumber kehidupan. Proses penyesuaian penghidupan ini memakan masa jutaan tahun.  Masa yang begitu pendek nisbah bagi Pencipta yang tidak berada dalam ruang masa.
Persediaan yang begitu lengkap dan sempurna ialah sebagai  persediaan kawasan `Selamat` bagi kehadiran manusia.
Sekian.

October 27, 2019

PEMANTAPAN BUMI


PEMANTAPAN  BUMI
(Fikrah Bangi: 384),
BBB: 28 Safar 1441H. = 27 Oktober 2019M. (Ahad).
Sebagaimana disebut bahawa bagi membina sebuah rumah memerlukan masa mungkin dalam tempoh  enam bulan, demikianlah dengan kejadian alam disempurnakan dalam enam tahap. Tahap-tahap ini diandaikan melalui proses  seperti  berikut.
1)      Melalui tahap awal yang merupakan bentukan gumpalan wap yang terhimpun dan membeku dalam tempoh tertentu.
2)      Tahap berlakunya  letupan yang memecahkan bekuan ini dalam skala yang kuat sehingga partikal dari pecahan dari letupan ini bertebar dalam  ruang angkasa yang luas hingga terbentuk seperti objek planet yang sembilan – termasuk bumi, matahari dan bulan dan juga partikal yang lebih kecil yang membentuk gugusan bintang-bintang yang tak terpermanai banyak dan luas.
3)      Bahan-bahan pada tahap ini masih merupakan bahan-bahan yang masih panas dan cair.
4)      Proses penyejukan yang menjadikan objek yang panas  dan cair itu menjadi beku dan berobjek.
5)      Tahap  pergerakan objek-objek berkenaan , iaitu secara berpusing dari kiri ke kanan, sebagaimana pergerakan jarum jam. Wujudnya pergerakan dapat dikatakan bermulanya pergerakan masa bagi objek-onjek berkenaan. Kerana mulai berlaku pertukaran masa dari siang dan malam dan seterusnya.
6)      Bagi kejadian khususnya bumi, dari pergerakan dan kandungannya yang lebih merupakan cecair yang masih panas, menyebabkan terbentuk  bahan-bahan  yang berobjek, iaitu elemen tanah bergerak dan dari pergerakan ini menjadikan bahagian tanah lebih naik ke atas iaitu ke kutub utara dan tanah-tanah di bawahnya yang lebar dan luas, manakala dari pusingan menjadikan sebahagian tanah berkenaan terpecah pada bahagian bawah yang membentuk seperti benua Amerika Selatan kini, benua Afrika dan dari pecahan bahagian selatan mewujudkan bahagian pecahan tanah-tanah kepada pulau-pulau yang bertaburan, iaitu Kepulauan Alam Melayu, bahagian besar seperti  dataran Sunda tenmggelam. Bahagian yang l;ebih bnesar terpisah dan terlempar ke selatan seperi Australia dan New Zealand.
Pergerakan bumi dan cakrawala terus berlaku dalam tempoh ratusan, bahkan jutaan tahun. Dalam tempoh ini suhu mulai menurun. Namun semuanya adalah dalam bentuk objek yang masih kosong dari tumbuhan dan hidupan.
Dalam tempoh berkenaan lautan yang luas yang berjumlah tujuh lautan itu bergelombang yang dari peroses gerakan ini menyejukkan kandngan air laut. Demikian juga dengan daratan yang terbentuk juga menjadi dataran tanah yang masih lembut dan panas, maka melalui pergerakan mulai menyejuk. Dari penyejukan membentuk puncak-puncak tanah yang dikenali dengan gunung ganang dan bukit bukau. Dari rekahan pada muka bumi membentuk saluran sungai. Dari wap kepanasan mulai adanya udara yang menggerakkan wap dan awan menurunkan hujan. Ini adalah juga merupakan proses penyejukan permkaan muka bumi.
Proses yang berlaku di atas adalah merupakan proses pemantapan bagi bumi – termasuk juga bagi objek-objek yang lain di ruang wujud ini.  Ia tidak lain dari proses pemantapan menuju ke arah keselamatan dan kesesuaian untuk dijadikan ruang yang sesuai dihuni oleh makhlauk ciptaan Tuhan setelah melalui tempoh yang panjang  agar bersesuaian dengan keperluan kehidupan.
·         Catatan
 Apa yang ditulis di atas adalah merupakan andaian yang disesuaikan dari maklumat terhad. Ianya tidak semestinya betul, tetapi lebih untuk merangsang minda memikirklan tentang wujud, khususnya bumi yang menjadi rumah bersama  manusia.
Sekian.

October 26, 2019

CIPTAAN ATAS DASAR KASIH SAYANG


CIPTAAN ATAS DASAR KASIH SAYANG
(Fikrah Bangi: 383),
BBB:  25 Safar 1441H. = 26 Oktober 2019M. (Sabtu).
Seorang ketua keluarga seperti bapa berusaha bagi menyediakan kediaman bagi isteri dan anak-anak selesa yang mungkin berdasarkan kemampuan. Jika dapat dipilih tapak biarlah tapak yang luas di pinggir bukit yang dapat dibangunkan bangunan banglo yang sederhana besar, lengkap dengan bilik-bilik bagi setiap ahli keluarga. Di dalamnya lengkap dengan keperluan-keperluan selain dari bilik-bilik peribadi, mempunyai bilik study, bilik ibadat, ruang tamu yang selesa dan mempunyai perabut yang lengkap dihiasi.
Pada bahagian luar mempunyai ruang yang luas untuk taman dan ruang untuk bercucuk tanam dan menanam pokok-pokok buah-buahan. Ruang di laman cukup untuk parkir bagi keluarga dan tamu-tanu yang berkunjung. Idealnya rumah biarlah tidak jauh dari kawasan masjid untuk kemudahan berulang alik untuk beribadat. Rumah juga sebaiknya berdekatan dengan sekolah-sekolah bagi memudahkan anak-anak cuci untuk bersekolah. Kelilingan pula sedapatnya di kelilingi keluarga yang mempuynyai hubungan kejiranan yang baik. Ianya merupakan faktor keselamatan dan hubungan sosial yang baik.
Bagi mendirikan rumah idaman sedemikian tentulah memerlukan peruntukan yang besar dan memakan masa. Bagi membina bangunan memakan masa antara setahun atau lebih sehingga  ianya layak diduduki. Binaan yang sedemikian rupa dibangunkan adalah sebagai  pertanda kasih sayang seorang bapa terhadap keluarganya, agar mereka dapat hidup di dalam keadaan yang selamat sejahtera dan aman damai.
Bumi adalah rumah  bagi kediaman umat manusia. Sebagaimana disebut bahawa ianya dicipta bukan secara main-main, bukan secara kebetulan  atau bukan paksaan. Tetapi adalah atas dasar Kasih Sayang Pencipta terhadap terutama manusia yang diunggulkan sebagai Khalifah di bumi ini. Ia juga adalah manifestasi Kekuasaan Allah menurut ilmu dan iradatNya.
Beranalogi kepada pembinaan rumah di atas,  walaupun Allah berkuasa untuk mewujudkan bumi dan cakerawala  dalam masa sesingkat yang dikehendakinya, tetapi bagi kesesuaian, keselesaan dan keselamatan manusia pengwujudan bumi dan sekalian alam buana ini adalah bertahap dan memakan masa. Di dalam Al-Qur`an difirmankan bahawa  Allah mencipta langit-langit dan bumi dalam tempoh enam hari. Konsep hari yang disebutkan adalah berlainan dari konsep hari dalam kehidupan manusia di dunia. Setiap harinya mungkin melibatkan jutaan tahun dalam kiraan hari biasa. Ini semua bagi menyediakan kese suaian tempat bagi manusia menghuninya.
Adalah dijangka sebagaimana diisyaratkan oleh Al-Qur`an, bahawa kejadian bumi dan cakerawala adalah bernula dari air dan himpunan ges. Pada permulaan dari himpunan ges ini berlaku letupan yang diibaratkan sebagai `Big bang !` Darinya terhambur partikal-partikal ke ruang yang luas yang setiap satunya membeku dan membentuk ruang yang antaranya membentuk bumi, planet-planet dan segala gugusan-gugusan bintang dan segala kandungan di dalam cakerawala ini. Proses membentuk ruang seperti bumi dan lain-lain memakan masa yang lama. Ianya pada peringkat permulaan sebagai objek yang panas dan memakan masa untuk sejuk yang melayakkannya untuk ditumbuhi berbagai-bagai tumbuhan dan hidupan awal yang bersesuaian. Ianya memakan masa ratusan juta tahun. Semua objek ini adalah terapung dalam ruang angkasa yang tak terpermenai luas dan jauh batasanya.
Allah jua yang mengetahui tentang hakikat setiap kejadian dan keluasan serta tempoh masa yang diambil.
Ini semua adalah merupakan peringkat permulaan bagi menyediakan tapak permulaan bagi bumi . Diibaratkan bagi membina rumah di atas. Ianya adalah merupakan peringkat permulaan menyediakan tapak dalam mana permukaan tapak perumahan dirataklan dan dibiarkan supaya mantap sebelum tindakan pengkuran bagi binaan dilakukan.
Ciptaan bumi dan sekalian alam sebagaimana penyediaan tapak bagi rumah kediaman adalah dari rasa cinta dan kasih sayang, manakala segala keperluan yang disediakan adalah bagi Keselamatan,terutama bagi penghuninya – manusia sebagai Khalifah  di bumi..
Sekian.

October 25, 2019

KEWUJUDAN REALITI - BUKAN KESIA-SIAAN


KEWUJUDAN REALITI – BUKAN KESIA-SIAAN
(Fikrah Bangi: 382),
BBB: 26 Safar 1441H. – 25 Oktober 201`9M. (Juma`at).
Tidak ada siapa yang mampu melarang untuk berimaginasi, misalnya dengan melihat diri dan alam dan terbetik pertanyaan-pertanyaan. Misalnya mengapa mesti adanya alam dan diri yang terpaksa mendepani penghidupan. Mesti  bekerja untuk penerusan penghidupan lantas timbul pandangan, `Hidup adalah absurd !`. Lantas timbul penentangan. Pandangan ini  adalah semacam `Myth of Sisiphus` yang memandang hidup sebagai paksaan. Rutin hidup sebagai menggolek batu ke puncak gunung, sebaik hampir tiba ke kemuncak batu bergoleh turun kemabli dan penolakan dilalukan berulang-ulamh dan menjemukan !
Falsafah Absurdisme adalah timbul dari jiwa yang keciwa yang tiada pedoman pegangan. Jika rakyat dan negara berpegang dengan falsafah ini, maka alamat negara akan mundur, kerana rakyat dipenuhi dengan orang-orang bersikap skeptis dan kecewa. Hilang cita-cita dan tiada masa depan. Pandangan falsafah sedemikian pernah timbul di dalam Islam yang dikenali dengan Jabariyyah. Ia adalah falsafah yang ditolak dan bukan faksafah pegangan umat.
Mungkin tercetus di dalam minda jangkaan, kemungkinan segala kewujudan ini semuanya adalah secara kebetulan. Pemikiran seperti ini memang dibincangkan, terutama di dalam keilmuan akidah Islam. Bahawa untuk mengatakan  semua kejadian adalah kebetulan adalah bercanggah dengan logik dan rasional akal. Tidak mungkin misalnya berlaku  pertukaran malam siang, pergeraka planet dan cakrawala secara teratur dan tidak berlaku kesilapan dan perlanggaran dan berbagai-bagai kejadian dapat dikatakan sebagai kebetulan. Ia adalah sesuatu yang mustahil. Segala yang teratur ini mempunyai Pengaturnya !
Mungkin timbul di dalam minda bahawa kewujudan ini sebagai mainan-mainan dan kesia-siaan semata-mata yang akhirnya dibubar begitu sahaja. Pandangan sedemikian tidak jauh dari pandangan Jabariyyah yang melihat hidup sebagai paksaan dan tiada daya mengatasinya. Bahkan ianya lebih teruk dari Jabariyyah.
Kewujudan adalah realiti dan bukan ilusi dan bukan pula mimpi. Ia adalah kemahuan Tertinggi dengan penuh ilmu dan kudrat. Kewujudan adalah realiti yang diistilah sebagai makhluk – yang kena jadi dan ada Penciptanya. Fenomena kena cipta ini dapat disaksikan dengan mata kepala dan minda yang setiap saat berlaku perubahan, kejadian dan kerosakan. Awalan terjadi dan akhiran musnah. Awal hidup dan akhiran mati
Kewujudan adalah Kebenaran !  Kebenaran juga adalah hakikat Tertinggi. Kebenaran adalah nikmat bagi yang mencapainya.
Dalam kata lain kewujudan adalah khazanah kebenaran.  Kita wujud adalah dari kebenaran. Wujud kita adalah ketentuan pilihan dan merupakan peluang yang amat berharga diberi Yang Maha Benar untuk kita menikmati Kenenaran. Dalam kata lain tiap kita adalah mereka yang terpilih untuk berpeluang menikmati kebenaran. Bayangkan betapa nikmat bila kita mendapat peluang `Tahu` tentang sesuatu.  Dengan tahu meningkatkan diri kepada realiti. Dalam kata lain seharusnya kita memperbaiki diri dengan tahu – ilmu. Dengan berilmu kita lebih tahu  di mana kedudukan diri dan seharusnya kita beada dan berfungsi dengan ilmu yang diberi.
Kewujudan adalah manifestasi kebenaran dan memberi peluang kita mengenali dimana seharusnya kita  berada dan selayaknya berfungsi.
Sekian.

October 24, 2019

KEHIDUPAN ADALAH KERISAUAN


WUJUD ADALAH KERISAUAN
(Fikrah Bangi: 381).
BBB: 25 Safar 1441H. = 24 Oktober 2019M. (Khamis).
Selain dari wujud menimbulkan pertanyaan. Wqujud juga menimbulkan kerisauan. Kerisauan timbul oleh kerana kehidupan mendepani berbagai-bagai masalah.
Masalah utama, bahawa kehidupan menuntut berbagai tindakan yang perlu dilakukan.. Misalnya tanpa bergerak mencari bahan-bahan makanan bererti membiarkan diri dan anak isteri di dalam kelaparan. Lantaran itu individu berkenaan terpaksa bergerak misalnya mendapatkan tumbuh-tumbuhan yang dapat dimaklan atau berburu untuk mendapat makanan dari hewan atau menangkap ikan dan hidupan di dalam sungai untuk menjadii bahan makanan.. Dengan perkembangan minda dan pengalaman mengajar individu atau kelompok manusia awal menyedari tentang konsep menanam bahan-bahan keperluan bagi makanan di tanam berhampiran kediaman. Dengan ini melahirkan konsep bertanam sebagai bahan sara hidup. Makanan berkenaan seperti ubi, keledek, padi dan berbagai-bagai buah-buahan dan sayur-sayuran. Dari perkembangan minda, pengalaman mengajar individu dan kelompok memelihara binatang-binatang buruan agar jinak dan menjadi bahan makanan. Binatang-binatang berkenaan seperti ayam, itik, kambing, lembu dan sebagainya. Kelompok berkenaan mendekati sebagai masyarakat tani.
Wujud adalah kerisauan bukan setakat menuntut menghasilkan bahan-bahan makanan, tetapi di dalam kehidupan, individu dan kelompok menghadapi ancaman-ancaman. Ia adalah bersifat musuh dari alam sekitar seperti ancaman binatang buas seperti harimau,  beruang, ular, buaya dan sebagainya. Ancaman dihadapi terutama dalam masa mereka berusaha mendapat bahan makanan. Ini menggerak mereka mencari cara selamat seperti  hidup berkelompok. Dengan cara hidup berkelompok mereka dapat membantu antara satu sama lain di dala mendapat bahan bagi makanan dan bertani bagi mendapat hasil tanaman. Selain dari menghadapi ancaman binatang buas, ancaman yang paling utama dan kerap dihadapi ialah ancaman penyakit. Pengalaman menghadapi berbagai penyakit seperti demam, batuk, akit perut,penyakit kulit dan sebagainya memberi mereka pengalaman dan mengenal pasti bahan-bahan tumbuhan bagi digunakan sebagai ubatan. Dari kemahiran mengenali bahan-bahan ubatan melahirkan di kalangan mereka `dukun` yang mengenali ubatan dan kaedah merawat. Dukun dipandang tinggi dalam masyarakat sebagai ketua  kampung di dalam  kelompok. Sama lahir sebagai keperluan ialah bidan yang merawat ibu-ibu yang melahirkan anak.
 Selain dari kerisauan terhadap ancaman binatang buas dan penyakit, mereka juga berdepan dengan bencana alam. Antara bencana alam ialah banjir bila tiba musim hujan, di samping  banjir ancaman juga dihadapi dari keruntuhan seperti tumbangnya pohon-pohon yang berdekatan dengan kediaman mereka. Selain dari tumbangnya pokok yang mungkin menimpa kediaman mereka juga berlaku tanah runtuh dan batu mengelonsur dari tanah tinggi merosakkan kediaman dan tempat tinggal,  Dalam hal ini pengalaman mengajar mereka memilih tempat kediaman yang selamat, seperti  di gua, di tanah yang lebih tinggi di tepi sungai yang memudahkan mereka mendapat air dan sumber mnakanan dari darat dan sungai atau laut. Lantaran itu perkembangan kependudukan biasanya terdapat di tepi sungai atau di kuala dan muara sungai.
Kerisauan yang paling puncak ialah ancaman `kematian`. Kematian disebabkan oleh penyakit, kemalangan dan ancaman binatang buas dan alam..  Kematian mendekatkan mereka dengan mistri dan alam dalaman.. Ini  menimbulkan berbagai-bagai kepercayaan yang merupakan kepercayaan pada peringkat awal. Bagi menguruskan kematian ada timbul konsep ketua pengurusan kematian dan timbul kaeadah-kaedah mensemadikan mayat berdasarkan kepercayaan yang merupakan antara aspek budaya di dalam masyarakat berkenaan.
Kewujudan sebagai kerisauan menimbulkan harapan terhadap Yang Berkuasa - harapan agar  kehidupan di dalam selamat sejahtera. Ia adalah dambaan yang mendekatkan  diri dengan Yang Berkuasa.
Sekian.

October 23, 2019

KEWUJUDAN ADALAH PERTANYAAN


KEWUJUDAN ADALAH PERTANYAAN
(Fikrah Bangi: 380),
BBB: 24 Safar 1441H. = 23 Oktober  2019M. (Rabu).
Bagi yang mempunyai akal, walaupun tidak tinggi dari segi pemikiran – sebagai manusia biasa, bayangkan dengan berada di atas permukaan bumi, di kelilingi pokok-pokok yang menghijau berada di tepi sungai yang merupakan sumber air, berdepan dengan bukit bukau, langit tinggi, siang bermentahari dan malam kegelapan, mustahil tidak terbetik dalam minda watak manusia biasa pertanyaan tentang keberadaannya di dalam suasana alam digambarkan atau dalam suasana yang lain pun. Pertanyaan yang memerlukan jawaban.
Jika pun persoalan yang begitu besar dan berat, gerak daya individu dan keberadaannya bersama dengan komunitinya menggerak dirinya oleh tuntutan fizikalnya misalnya memerlukan kepada makanan untuk survival merupakan jawapan asas bagi mengatasai keperluan makanan yang menggerak diri dan kelompokke arah berusaha bagi mendapati makanan dan l;ain-lain keperluan.
Persoalan adalah daya gerak diri awal  sebagai dinamika ke arah ikhtiar, biarpun istilah sedemikian belum lahir sebagai kesedaran, tetapi ia merupakan  cetusan ke arah pergerakan yang membawa diri berusaha dan seterusnya menyelesaikan problem yang dihadapi.
Problem yang awal ialah mengatasi keperluanb fizikal sebagai menyelamatkan diri. Misalnya berusaha mendapat sumber makanan, berusaha mendapat perlindungan dan berusaha mendaatkan keselamatan.  Pendek kata pertanyaan adalah kesedaran tentang keberadaan dan pertanyaan juga adalah peringkat permulaan kesedaran tentang problem-prpblem yang dihadapi dan minta diselesaikan.
Pertanyaan adalah dinamika permulaan ke arah kesedaran dan tindakan. Ia bermula dari perkara asas dan berkembang kepada yang makin besar. Pertanyaan menggerakkan daya ke arah percubaan-percubaan. Bayangkan pada peringkat permulaan, manusia memerlukan pergerakan dari peringkat permulaan. Misalnya memerlukan kesampaian pada suatu tempat, pada peringkat perlulaan dengan berjalan kaki, maka terhasillah denai bagi berjalan kaki. Pertanyaan meminta jawaban bagi menyeberangi katakan sungai yang menghasilkan relacipta perahu, bukan saja bagi menyeberang, tetapi menjadi alat bagi mendapat sumber rezeki dari sungai. Pertanyaan juga mencabar minda  mereka cipta bagi menghasilkan alat misalnya dari kayu, batu dan besi untuk mengerat dan memotong dan sebagainya. Darinya dapat dipotong pokok dan kayu bagi  digunakan untuk binaan tempat tinggal yang dikenali dengan rumah dan sebagainya.
Dengan pertanyaan dan peralatan yang dihasilkan mampu bagi mereka mengusahakan  pertanian bagi menghasilkan dapatan yang lebih banyak. Misalnya dengan menanam padi, menanam pokok-pokok buah-buahan, memburu dan menangkap hasil ikan dari sungai dan laut.
Dari pertanyaan asas menghasilkan jawapan-jawapan kepada keperluan kehidupan, walaupun dapat diistilahkan sebagai pada tahap primitif, tetapi dapat dikatakan dari pertanyaan dan jawapan, menghasilkan kaedah dan cara hidup yang membentuk masyarakat permulaan.
Dalam masyarakat berkenaan mula disedari akan peraturan-peraturan dalam membina satu keluarga yang disedari lelaki memerlukan pasangan perempuan dan anak-anak. Jadi terbentuk pasangan-pasangan dan masyarakat dan berlaku perkahwinan antara keluarga dengan keluarga yang lain. Dari kehidupam kekeluargaan masyarakat memerlukan ada kepimpinan antara mereka. Kepimpinan bukan setakat menjaga kepentingan antara keluarga, tetapi juga untuk mempertahankan wilayah dan kehidupan mayarakat dan keturunan. Jadi mulai lahir konsep kaum dan lebih besar konsep bangsa dan wilayah tanah air yang memerlukan kepada kepimpinan bagi kawasan yang luas. Memerlukan peraturan dan ketua pemerintahan yang dikenali dengan raja. Darinya disedari perlu ada pertahanan dan berbagai-bagai peraturan dan undang-undang.
Dapatlah difahami pertanyaan menghasilkan jawaban-jawaban bagi pertanyaan bagi keperluan dari individu, keluarga, masyarakat dengan aturan dan adat yang membentuk pemerintahan yang pada peringkat awal bersifat tradisional sebelum berkembang kepada tahap yang dikenali dengan moden.
Sekian.

October 19, 2019

KONSEP ALAM DAN ILMU


KONSEP ALAM DAN ILMU
(Fikrah Bangi: 379),
BBB: 20 Safar 1441H. = 19 Oktober 2019M. (Sabtu).
Membuka pandangan tentang wujud secara jelas dan nyata, ialah konsep alam dan ilmu. Ianya kontra kepada sesuatu yang tidak jelas yang  dengan tidak jelas boleh meletakkan diri pada kekaburan yang mungkin meletakkan diri pada tahap jahi dan dengan kejahilan boleh membawa kepada kesilapan.
Istilah alam dan istilah-istilah yang merupakan pecahan daripadanya amat significant dari segi pembicaraan. Alam adalah satu subjek dan objek yang menjadi ruang lingkup bagi ilmu atau tahu. Ianya menjadi subjek dan objek bagi ilmu yang benar, sesuatu yang bukan salah yang meletakkan diri pada kejahilan. Alam adalah objek bagi ilmu atau tahu. Alam adalah sesuatu yang nyata (syahadah) dan alam yang tidak dapat disaksi dengan inderawi yang dinamakan akam ghaib.
Alam nyata adalah sesuatu yang dapat dilihat dengan mata, seperti manusia, dapat didengar misalnya percakapannya, dapat dirasa dan sebagainya.  Banyak objekyang menjadi ilmu dengan mendapatinya, bermula dari kewujudan fizikal dari yang terbesarnya seperti langit, bumi, planet, bulan bintang dan kandungan cakrawalanya, membawalah kepada yang lebih kecil yang dapat disaksikan di muka bumi dari laut dan sungai, gunung dan bukit,  pokok dan bangunan, kambing dan kucing dan sebagainya. Mengetahui apa lagi mendalaminya menjadi bidang ilmu.
Haruslah diakui apa yang kita saksikan dengan mata kepala kita, sebenarnya merupakan satu bahagian kecil dari kewujudan  Ada lagi wujud yang tidak terhad kepada alat inderawi yang amat kecil dan terhad, tetapi ia adalah merupakan satu daripada jendela-jendela bagi menanggapi wujud yang bersifat nyata. Di sana ada perkara-perkara yang tidak nyata yang merupakan bahagian penting dari kewujudan. Apa yang tidak dapat disaksi secara nyata seperti kebenaran sesuatu yang betul dari ilmu yang ditanggapi secara konsepsi, kebenaran hakikat mati dan selepasnya, kebenaran tentang alam barzakh, kiamat, akhirat, syurga dan neraka.
Manusia yang disifatkan berada di dalam zaman kemajuan, pada hakikatnya masih tidak melangkah maju selain dari memahami tabi`at wujud, terutama apa yang bersifat nyata. Kemajuan mereka sebenarnya masih amat terhad,misalnya dalam menghasil dan mendapatkan makanan untuk diri dan manusia dapat terus hidup, berusaha mendapatkan pakaian,,berusaha mendapat perlindungan yang lebih selesa, berusaha untuk bergerak dan berkomunikasi lebih cepat dan selesa. Mereka masih dalam perjuangan antara usaha  untuk mendapat kesenangan. Bagi yang lebih maju mereka dalam proses mencari rahsia-rahsia dan tabi`at alam untukmemahami dan menggunakannya untuk penghidupan.
Alam dan ilmu menjadi dinamika yang menggerak manusia mencari rahsia alam dan menggunakannya untuk kehidupan yang lebih selesa yang disifatkannya sebagai lebih sejahtera. Dalam konteks kehidupan fizikal mereka lebih menekankan kepada penyelidikan terhadap alam nyata.. Mereka kurang memberi perhatian kepada yang bersifat subjektif dan ghaib yang mencetuskan kerisauan sebagaimana risaunya mereka yang tidak berjaya memenuhi keperluan fizikal.  Kerisauan dari segi  yang bersifat subjektif dan ghaib sebenarnya tidak kurang mengancam kehidupan mereka. Misalnya risau dalam mengejar kebahagiaan dan keselamatan, risau terhadap apa yang  akan dihadapi selepas mati, , risau terhadap balasan perkara jahat yang dilakukan. Di dalam agama Islam perkara yang berhubung dengan kematian, akhirat, balasan baik dan buruk, seksa neraka dan nikmat syurga adalah dibicarakan secara teratur mengikut prinsip Islam.
Semua perkara di atas yang berkait dengan alam – alam syahadah dan ghaib ytang menjadi wadah keilmuan yang menjadikan orang yang mendalaminya dikenali sebagai alim dengan maklumat yang diketahui. Dari pengkajian dan kemajuan menghasilkan tamadun, tetapi lebih dari itu keilmuan menjadikan manusia sebagai kejadian yang mempunyai peraturan, menjadikan mereka sejahtera dan tinggi dengan nilai-nilai kemanusiaan dan menjadikan manusia sebagai berperadaban.
Sekian.
Makluman: 
Beberapa hari selepas ini Penulis bercuti dan tidak menulis di dalam Blog ini.
Sekian

October 18, 2019

PANDANGAN WUJUD


PANDANGAN  WUJUD
(Fikrah Bangi: 378),
BBB: 19 Safar 1441H. = 18 Oktober 2019).
Pandangan wujud ini adalah sebagai tempat bertolak atau permulaan yang darinya akan dikembangkan pembicaraan selanjutnya.
Pandangan di sini bukan terhad kepada pandangan fizikal melalui indera mata, tetapi  mempunyai maksud yang luas yang mencakupi erti faham, dapatan,  hasil, natijah dan keyakinan. Manakala wujud dalam makna biasa ialah `Ada` Ia adalah berasal dari istilah `Arab yang kata dasarnya ialah `wajada` - ada. Dan wujud ialah nama terbitan `Wujud` ertinya `Ada`. Wujud adalah istilah falsafah yang berhubung dengan bidang, theologi dan juga theosophy. Dikatakan ia diungkapkan oleh Ibn Sina seorang ahli falsafah Islam bagi memberi makna kepada hakikat wujud. Wujud ialah sesuatu yang difahami, didapati, sesuatu yang merupakan hasil, bahkan natijah, bahkan secara pasti dan yakin akan wujudnya kewujudan sesuatu yang tarafnya adalah kebenaran.
Wujud adalah sesuatu yang diterima wujudnya seperti `Wujudnya Alam. Tiada siapa yang dapat menafikan tentang wujudnya alam ini secara fizikal. Ianya dapat dibuktikan secara fizikal dan inderawi seperti ia dapat dilihat dari segi fizikal, misalnya kewujudan muka bumi yang luas terbentang
luas, di atasnya tegak gunung ganang, tumbuh di atasnya  berbagai jenis pokok dan pohon. Mengalir di  bawahnya sungai dari hulunya di atas tanah tinggi ke kuala hasil dari hujan yang menyuburkan tanaman dan  dapat manfaat darinya berbagai hidupan. Manakala sebahagian besar dari permukaan bumi adalah terdiri dari lautan yang di dalamnya juga berbagai hidupan yang dapat dimanfaatkan. Selain dari indera pandangan atau penglihatan, maka kewujudan muka bumi sebahagian daripada alam ini dapat di  dengar. Misalnya bunyi guruh dan perir yang merupakan fenomena alam. Dapat didengar  kocakan air, kicau burung, ketawa seorang anak dan tangisnya dan berbagai lagi. Kewujudan  bahagian dari bumi misalnya dapat dibukti dengan misalnya wangi bunga ros, busuknya bangkai. Ianya juga dapat dibuktikan dengan sentuhan. Misalnya lembutnya pakaian, kasanya permukaan hamparan dan sebagainya. Manakala melalui kecapan bahawanya manisnya gula, masamnya buah mangga dan masinnya ait laut dan sebagainya. Demikian dapatan, hasil, , natijah dan keyakinan dapat dipastikan dengan elemen-eleman indera yang lima.
Pandangan atau dapatan dan maksud lain yang dibincangkan dapat dicapai dan dibuktikan dengan   akal atau fikiran  membuktikan tentang tingginya bukit atau bangunan melalui ukuran. Jumlah bilangan sesuatu dengan mengira secara campur kali dan sebagainya. Seterusnya melihat fenomena alam. Misalnya jumlah planet dan  pergerakannya. Selain dari pandangan dan dapatan dapat dicapai atau terhasil melalui rohani, bahawa konsep wujud selain dari ianya bersifat zahir nyata, sebenarnya kewujudan wujud bersifat tidak nyata. Antaranya bersifat konsepsi yang masih di bawah akal. Misalnya `Benar` bila dikalikan lima dengan dua, maka jawabnya `Sepuluh` Benarnya `Mati` apabila berakhirnya nyawa seseorang dengan sebab sakit, kemalangan dan sebagainya. Ianya bersifat separa ghaib. Lebih dari itu ada yang benar yang lebih tinggi dari konsepsi, iaitu Ghaib`, keujudannya lebih besar dan utama berbanding dengan apa yang dapat dilihat dan dibuktikan wujudnya melalui indera , bahkan akai. Ianya ruang lingkup rohani yang luasnya tiada watas. Persepsi dari fenomena wujud yang wujud pada manusia sebagaimana wujudnya akal, inderawi dan rohani  ialah elemen qalbu ialah seperti takut kepada hukuman salah, rindu kepada  ibu yang dikasihi, duka di atas kematian seseorang  yang dikasihi dan gembira dengan keputusan dan sebagainya. Semuanya berlaku di bawah lingkungan wujud.
Demikianlah `Pandangan Wujud dicapai kebenarannya  melalui inderawi, akli,, rohani dan qalbu. Ianya melibatkan dua entiti, manusia dan alam. Dari keduantya dapat diperluaskan di dalam membahaskan tentang kewujudan.
Setiap satu daripadanya ada rukun-rukun yang dapat dikembangkan pembicaraan.
Sekian.

October 17, 2019

PERLU DASAR DAN MEGA PLAN ISLAM DI MALAYSIA


PERLU DASAR DAN MEGA PLAN  ISLAM DI MALAYSIA
(Fikrah Bangi: 377),
BBB: 18 Safar 1441H. = 17 Oktober 2019M. (Khamis).
Perkara yang timbul di dalam Islam di negara ini seperti ajaran sesat, amalan salah, khurafat  dan sebagainya tidaklah boleh disalahkan kepada yang terjebat dengan amalan yang tidak betul berkenaan. Kesalahan sebahagiannya kepada pemerintah dan masyarakat umat yang tidak berjaya mengesan dari awal dan membasmikannya. Mereka yang terjebak adalah jahil dan sepatutnya dari awal mereka dididik dan dibimbing dengan ajaran-ajaran yang betul.
 Islam telah bertapak dan berkembang di negara ini dan di kepulauan Melayu, bahkan di Asia Tenggara sejak lapan abad yang lepas. Pada dasrnya ulama telah memainkan peranan yang penting dari segi dakwah memperluas dan membimbing masyarakat menurut ajaran Islam yang betul. Memang tidak dapat dinafikan dalam tempoh berkenaan ada ajaran-ajaran yang dianggap menyeleweng seperti tarikat-tarikat yang salah, faham yang bercanggah dengan akidah murni. Kewujudan elemen-elemen negatif berkenaan sentiasa diperbaiki dan dibetulkan oleh para ulama` Kini kita warisi sanad Islam dari Rasulullah bertalian dari segi pegangan Islam membawalah kepada generasi kita kini. Cuma kita bertanya, ``Adakah Islam yang kita terima ini adakah sebagai warisan penerusan sahaja. Generasi cuma menambah pendekatan pengajaran dan mengimarahkannya di tengah masyarakat melalui institusi-institusi formal seperti persekolahan dari peringkat rendah hingga ke universiti, melalui amalan formal seperti masjid, surau dan keluarga. Kita menurut misalnya sistem keluarga Islam melalui imstitusi perkahwinan yang ditadbir oleh jabatan agama dan pendidikan keluarga.
Apakah yang kita amalkan kini dan ditadbir oleh pihak yang dipertanggungjawab sebagai meneruskan rutin biasa bagi meneruskan kehidupan dan budaya ummah. Dalam masa yang sama ada berlaku kelonggaran-kelonggaran dan pembaikan, tetapi pada dasarnya meneruskan kebiasaan yang ada.
Dalam kata lain tidak ada kesengajaan bagi memperbaiki dan meningkat kualiti Islam dan umat kepada tahap kualiti yang tinggi baik dari segi pendidikan, keilmuan, teknologi, ekonomi, industri, politik, pentadbiran,  kemasyarakatan, dakwah dan kebajikan sehingga dipandang, bahawa Umat Islam adala umat yang unggul dan dikagumi oleh bulan Idlam. Dengan kedudukan in berpotensi dari  segi dakwah secara manual biasa dan secara lisan al-hal.
Apa yang kita dapati sekarang bahawa walaupun umat Islam adalah majoriti dari segi kependudukan, tetapi masih lemah dari segi pelajaran, lemah dari segi ekonomi, keilmuan, politik kepimpinan dan sebagainya, sehingga mereka tidak dijadikan sebagai contoh ikutan.
Dalam keadaan umat Islam di negara ini yang dapat disifatkan sebagai ketnggalan, sedang umat Islam dari segi global berada di dalam perpecahan dan kehancuran, maka dengan keadaan sedemikian umat Islam tidak disegani dan sukar untuk dijadikan ikutan..
Pendekatan yang terbaik, bagi umat Islam di negera ini sebelum melibatkan peringkat global ialah memperbaiki dan memulihkan umat Islam di negara ini di dalam berbagai-bagai lapangan.
Umat Islam di negara ini perlu mempunyai agenda dan mega plan bagi meningkatkan kualiti umat di dalam berbaga-bagai bidang. Ianya tidak sebagai rhetorik politik sebagaimana  berlaku selama ini. Agenda dan plan dasar ini hendaklah bersifat menyeluruh. Ianya melibatkan pembangunan umat  dan meningkatkan kesedaran  unggul dan jati diri yang menggerak ke arah peningkatan ilmu dan peradaban umat di negara ini, dikagumi hingga menjadi tarikan dan ikutan yang lain.
Sekian.

October 16, 2019

AJARAN SESAT DI NEGARA KITA


AJARAN SESAT DI NEGARA KITA
(Fikrah Bangi: 376),
BBB:  12 Safar 1441H. = 16 Oktober 2019M. (Rabu).
Ajaran sesat terdapat juga berlaku di negara kita. Kita tahu sebelum ini ada yang mengaku sebagai nabi baru di Hulu Langat, terdapat juga ajaran  sesat  (Qadyani) berlaku di Kg. Nakhoda, Batu Caves dan juga Taslim yang diketuai Haji Mat Matahari di Pulau Pinang.
Menurut Tuan Haji Mohd Nor Khalid Pegawai Penyelidik di PAID yang berucap sebelum forum bermula, antara ajaran sesat di Hulu Langat ialah melalui tarikat songsang  . Merteka dikatakan pengikut Tarikat Ahmadiahdi di Hulu Langat. Mereka berhimpunpada waktu malam di sebuah bangunan berpagar dan melakukan amalan wirid dan ratib hingga tengah malam. Mereka ini bukan orang tempatan, tetapi datang dari luar pada malam tertentu. Kegiatan mereka mencemarkan nama penduduk setempat yang tidak bersetuju dengan amalan mereka. Mereka ini tidak bersolat Juma`at, kerana berpendapat mereka uzur dan bukan bermukim.
Selain daripada itu menurut Tuan Haji Mohd Nor, terdapat pengajaran sesat di  Sungai Serai Hulu Langat. Mereka dikatakan pengikut Ahmadiah. Mereka berhimpun pada sebuah bangunan  dan menjalankan wirid pada malam Juma`at hingga pada peringkat tertentu mereka melompat-lompat dalam keadaan transend dan tidak sedarkan diri.
Satu kumpulan lagi, ialah kumpulan berjubah putih yang merupakanm pengikut kumpulan Ismailiah dan pimpinan mendakwa menerima  tauliah sebagai Nabi.
Kumpulan ajaran sesat yang telah lama berlaku dan berterusan ialah ajaran syi`ah yang berbagai pecahan. Pokoknya mereka adalah menyesali terhadap pembunuhan Saiduna Hussein cucu Rasulullah oleh pengikut Yazid. Tragedi ini amat dikesali dan  pembelaan terhadap peristiwa ini dilakukan oleh pengikut Syiah yang pendukung utama ialah di Iran. Pada setiap sambutan yang berlaku pada Muharram, pengikut akan berhimpun dan menyiksa diri hingga luka-luka dan berdarah sebagai lambang duka dan pembelaan terhadap Sayyiduna Hussein ini.
Terdapat perbedaan ketara antara Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang tidak selari dengan pegangan Syiah. Mereka menolak khalifah-khalifah ,kecuali Ali yang diagungkan mereka –Sayyidima Ali. Kekhalifahan sepatutnya bermula dengan Ali.. Berbagai pegangan dan amalan Syiah  yang bercanggah  dengan pegangan Ahlu al-Sunnah yang tidak dapat diterima Ahlu al-Sunnah. Adalah dikatakan Syi`ah ini  secara senyap-senyap berkembang di negera ini, Jika tidak dicegah ianya boleh membawa perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.
Selain daripada itu ada gerakan yang sengaja ditaja oleh pihak luar dan merosakkan kesatuan umat dan pegangan akidah. Antara yang ditaja dari luar ialah Hizbu al-Tahrir. Kumpulan ini pernah menerbitkan risalah mingguan yang diedarkan terutama di masjid-masjid. Tetapi selepas dikesan dari segi penyelewengan dan  tajaam pihak luar, maka ianya disekat, tapi masih bergerak secara senyaop-senyap.
Demikianlah berbagai jenis kegiatan dan ajaran sesat di negara ini yang jumlah besar kecilnya sehingga 30 jenis. Bayangkan jika pengajaran sesat dibiarkan berlaku dan tidak disekat akan berlaku berbagai penyelewengan dan kesesatan. Akhirnya berlaku perpecahan di kalangan umat dan melemahkan umat Islam sendiuri
Usaha pencegahan perlu dilakukanterhadap penyelewengan. Antaranya sebagaimana dilakukan oleh JAIS-MAIS di negeri Selangor. Seminar ini untuk dikenalpasti dan perlu dibasmi untuk menjaga kemurnian Islam dan mencegah dari penyelewengan.
Sekian.

October 15, 2019

ELAK ALIRAN SESAT PEGANG SUMBER ISLAM


ELAK AJARAN SESAT, PEGANG SUMBER ISLAM
(Fikrah Bangi: 375),
BBB:  16 Safar 1441H. = 15 Oktober 2019).
Ustaz Zarifi selaku moderator memulakan forum dengan membandingkan sebuah motokar perlu diservice dari masa ke masa, jika tidak diberi perhatian, maka lambat laun dia akan rosak. Demikian diri kita  dari masa ke masa  perlu dipastikan pegangan kita tidak rosak kerana terabai dari mengikuti keilmuan yang dapat memperbaiki diri dan pegangan kita menurut landasan yang betul. Menurut pengajian seperti mengikuti forum oleh tokoh wibaya pada malam ini dapat kita `check`  pegangan kita. Kiranya ada yang kurang jelas dapat kita memperbaiki pegangan dan akidah kita.
Forum malam ini yang panelnya terdiri dari Dr. Abdul Rahman Mahmud dari UKM dan Dr.Muhammad  Ayman Al-Akiti dari UIAM bertolak membicarakan persoalan akidah menurut perspektif tradisional dan ancaman semasa di zaman moden.
Soal ajaran salah telah wujud sejak dari awal zaman Islam seperti lahir Nabi Palsu yang dikenali Musailamah al-Kazzab pada zaman Nabi dan kelahiran golongan yang enggan membayar zakat pada zaman Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Mereka diperangi oleh Khalifah Abu Bakar.
Selepas perkembangan negara Islam lahir penyelewengan-penyeleweng yang dikenali dengan Khawarij, Mu`tazilah, Jabariyyah, Shi`ah dan sebagainya. Penentangan dilakukan oleh ulama`-ulama` Sunni yang dari segi akidahnya seperti Ash`ari-Maturidi dan Al-Tahawi, manakala dari segi fiqh atau shari`atnya seperti imam mazhab empat iaitu, Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali dan tasawuf menurut Imam Al-Ghazali. Kita Al-hamdulillah teguh berpegang dengan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, walaupun ada cabaran dari penyeleweng seperti akidah songsang, amalan khurafat dan tariqat-tariqat menyeleweng. Keadaan adalah terkawal.
Kekuatan kta kerana terus berpegang kepada sanad keilmuan yang benar dari segi akidah, wujudnya institusi yang terus memperkembangkan keilmuan yang benar baik dari madrasah, pondok, sekolah dan pengajian tinggi. Ianya diperkukuhkan dengan sanad amalan yang terus diwarisi terutama melalui amalan berjamaah seperti di masjid, surau dan berbagai tempat ibadat.  Demikian sanad bertasawuf murni yang menggilat hati rohani yang menjadikan umat berakhlak dan berbudi tinggi.
Manakala Dr. Muhammad Ayman yang lebih menumpulkan pembicaraan pada ancaman akidah pada zaman moden. Menurutnya generasi muda kini lebih terpengaruh dengan gaya hidup moden yang bersifat individualis dan kurang berinteraksi secara berjamaah. Lantaran itu antara mereka tertarik dengan fikiran dan faham semasa yang bersifat sekular yang memisahkan pandangan hidup dari kepercayaan agama dan akhirat. Mereka tertarik misalnya dengan konsep liberal dari segi pemikiran dan tidak mau diikat dengan kepercayaan agama secara tradisional. Nilai ethik mereka bukan secara tradisi yang memisahkan antara baik dan buruk, tetapi lebih bersifat pragmatis. Mereka juga terdedah dengan pandangan yang bersifat pluralisme yang melihat kebenaran bukan bersifat mutlak dan satu, tetapi datang dari sumber-sumber berbagai, termasuk kebenaran beragama yang menerima apa yang disifatkan semua benar. Kedua-dua pemikiran ini amat berbahaya. Penghujahan terhadap kedua aliran ini memerlukan tokoh yang amat berwibawa seperti misalnya Yusof al-Qaradhawi dan Zakir Naik. Inilah cabaran terhadap para intelektual kita terutama dari pengajian tinggi yang perlu melahirkan pemikir-pemikir Islam bertahaf tinggi yang mampu berdialog dan menjawab cabaran-cabaran akidah pada zaman moden.
Dalam pusingan kedua kedua panel bersetuju bagi memurnikan akidah tidak lain dari kembali kepada sumber asas Islam, iaitu Al-Qur`an dan Al-Hadith dan kepada turath yang telah dihasilkan oleh ulama yang selama ini menjadi panduan bagi umat Islam sejak berzaman.
Walau bagaimana ancaman semasa dari segi akidah terutama sekularisme, liberalisme dan pluralisme semacam tidak berjawab.
Sekian.

October 14, 2019

KERJASAMA ANTARA PAID DAN MASJID AL-UMM ANJUR FORUM AJARAN SESAT


KERJASAMA ANTARA PAID DAN MASJID AL-UMM ANJUR FORUM – AJARAN SESAT
(Fikrah Bangi: 374),
BBB: 15 Safar 1441H. = 14 Oktober 2019M. (Isnin).
Padsa malam tadi (13 Oktober) pihak Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Masjid Al-Umm telah menganjurkan Forum mengenali Ajaran Sesat bertempat di Dewan Serbaguna tingkat bawah Masjid Al-Umm. Forum ini sebenarnya telah dirancang sejak setahun lepas, tetapi oleh kerana Masjid Al-Umm pada masa itu belum menerima tauliah penggunaan Masjid Al-Umm dari Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), maka rancangan tersebut ditangguhkan sehingga hari ini (13 Oktober 2019), baru dapat dilaksanakan. Waktunya selepas solat Maghrib dan berterusan sehingga jam 9.00 malam. Forum ini bertujuan untuk menyedarkan orang Islam, bahawa di dalam kita  berusaha mengamalkan ajaran Islam, kita perlu waspadsa  terhadap gejala ajaran sesat yang  berlaku di kalangan umayt Islam, termasuk golongan muda  di kalangan umat Islam.
Forum ini dirasmikan oleh Tuan Pegawai Tadbir PAID al-Fadhil Ustaz Haji Mahayuddin bin Haji Abu Bakar yang mewakili Pengarah JAIS. Beliau menyampaikan amanat dan kata-kata aluan kepada para jama`ah Masjid Al-Umm dan wakil-wakil dari seluruh surau di bawah Masjid Al-Umm yang berjumlah 23 surau itu. Para jama`ah dan hadirin adalah berjumlah lebih kurang 500 orang – lelaki perempuan yang memenuhi ruang solat utama Masjid Al-Umm.
Hadir bersama ahli-ahli forum yang dijemput khas ialah Dr. Abdul Rahman Mahmud, Pengarah Pusat Islam, UKM, Dr Muhammad Ayman al-Akiti dari Universiti Islam Antyarabangsa Malaysia. Moderator yang dijemput ialah Ustaz Mohamad Zarifi dari Jabatan  Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Ustaz Mahayuddin dalam kata-kata alu-aluannya, bahawa pihak  JAIS dan PAID, ambil perhatian di samping berusaha memperkembangkan Islam di Selangor, terutama melalui masjid-masjid dan surau, pihak JAIS-PAID peka dan memberi perhatianterhadap gejala ajaran sesat yang berlaku di kalangan umat Islam di negeri ini. Timbulnya ajaran sesat, oleh kerana kejahilan terhadap ajaran yang sebenar dan terpengaruh dengan ajaran salah, kerana tidak mempunyai asas pengajaran Islam yang sebenar yang boleh dikuti ajaran benar melalui pengajaran-pengajaran di masjid-masjid dan surau-surau
 Tuan Haji Mahayuddin melahirkan kerisauan terhadap masalah akhlak di kalangan generasi muda, khususnya di kalangan remaja Islam yang tidak mendapat bimbingan keislaman dari ibu bapa dan tidak menyertai jamaah di masjid-masjid dan surau-surau. Anak-anak muda sekarang menurutnya lebih terpengaruh dengan  kalangan  mereka yang  rosak akhlak akibat gejala sosial yang dilibatinya. Beliau menyebut kegiatan gay yang berlaku seperti   di bangunan IVO berdekatan dengan bangunan PKNS, Bandar Baru Bagi. Kegiatan mereka ini dapat disusupi pegawai PAID dan didapati yang menyertainya adalah  sebahagian besar dari anak muda Islam. Gejala sedemikian berlaku di beberapa tempat yang lain.
Sebelum daripada itu Dr. Haji Shafie bin Abu Bakar selaku Nazir Masjid al-Umm  di dalam ucapan alu-aluan sebagai tuan rumah mengucapkan terima kasih kepada pihak PAID yang menawarkan kerjasama dengan Masjid Al-Umm  menganjurkan Forum Ajaran Sesat. Beliau juga mengucapkan terima kasih keada ahli panel yang sudi menyertai forum dan kepada semua wakil-wakil dari surau-surau di bawah Masjid al-Umm. Menurutnya pihak masjid memang mengajarkan pengajian-pengajian seperti akidah  dan pengajian di dalam bidang yang lain bagi panduan akidah dan amalan yang benar. Menurutnya dengan berjamaah di masjud dan mengikuti pengajian yang diajarkan insya dapat menghendar dari ajaran sesat. Bsgi anak muda, jika menyertai jamaah masjid insya Allah dapat menghendar diri dari gejala sesat,  liberalisme, pluralisme, etheis dan kerosakan akhlak.
Pihak Setiausaha masjid saudara Ah Feisal menjemput Ustaz Mohd Nor bin Khalid Pegawai Penelidik PAID menerangkan ajaran salah d Hulu Langat sebelum menyerahkan pengendalian forum kepada moderator Ustaz Mohamad Zarifi bagi mengendalikan forum.
Sekian.

October 13, 2019

BAHAGIAN TAK DIBICARAKAN


BAHAGIAN YANG TIDAK DIBICARAKAN
(Fikrah Bangi: 373),
BBB: 14 Safar 1441H. = 13 Oktober 2019M. (Ahad).
Di sebalik keceriaan kebanyakan  rakyat menerima Belanjawan 2020 yang hampir melibatkan semua mereka, ada bahagian yang tidak diperkatakan dan yang ingin diketahui kedudukan yang menjadi tandatanya itu. Bagi mengagihkan peruntukan kepada berbagai sektor, khususnya berhubung dengan peruntukan yang melibatka rakyat, pertanyaan timbul. Bagaimana kerajaan menghadapi dan mengatasi kedudukan hutang dan bagaimana pula boleh didapati jumlah peruntukan yang diberi kepada rakyat. Kerajaan sarat dengan hutang dan rakyat cemas dengan kenaikan kos hidup.
Sebagaimana diketahui kerajaan terpaksa menanggung hutang sebanyak RM1.1 trilion yang perlu dilunaskan dan dalam masa yang sama perlu menyediakan sejumlah RM297 billion bagi Belanjawan 2020. Dari manakah sumber didapati ?
 Sebagai rakyat biasa kita ingin mengetahui bagaimana  hutang yang begitu besar jumlah itu dilunaskan ? Adakah ia belum atau dalam proses melunaskan. Dari mana sumbernya dan sejumlah manakah mampu dilunaskan secara berdikit-dikit. Adakah hutang ini akan meningkat jika tempoh yang diambil lebih lama dari kemampuan dibayar. Kepada siapakah jumlah hutang utama yang terpaksa dilunaskan. Bagaimanakah unjuran yang sepatutnya.
Sebagaimana dimaklum sumber peruntukan Belanjawan ialah didapati dari cukai yang dikenakan oleh kerajaan terhadap mereka dan barangan yang dikenakan cukai. Dari maklumat yang didapati bahawa  cukai secara GST hanya terhasil RM23 bilion berbanding dengan GST RM45 bilion setahun, menyebabkan pakar ekonomi seperti Profesor Kamal Saleh mencadangkan agar digunakan sistem GST kembali. Walaupun ada cadangan kemungkinan digunakan kembali, tapi atas marush, GST ditolak dan pembaikan akan dilakukan menerusi kaedah SST, yang akhirnya dapat menyamai atau mengatasi kaedah GST. Yang kita ingin mengetahui, apakah mekanisme yang bakal digunakan bagi meningkat jumlah cukai yang akan dapat menampung kekurangan hasil yang dihadapi. Jika kaedah sama  atau hampir sama dengan GST, maka ianya sekadar menukar nama dan beban sebagaimana GST yang dulu menjadi isu terpenting menyebabkan BN kalah itu hampir sama juga.
Sebagaimana janji dibuat, bahawa SST tidak akan membebankan rakyat, maka diharap pendekatan dan kaedah yang dioambil tidak membebankan rakyat.
Ada dua sumber utama yang meningkatkan pendapatan negara. Antaranya melalui tol yang dijanjikan oleh PH untuk menghapuskan, tetapi ternyata sumber kewangan hasil dari tol tidak mungkin dihapuskan, sekurang-kurangnya buat masa ini. Bagi melonakkan hati rakyat, janji  menghapusan tol ini dilonakkan dengan pemotongan 18% yang dikira sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban rakyat.
Sumber  biasa yang menjadi tunjang kekukuhan ekonomi negara ialah hasil rl dari bayaran royalti  Petronas yang kebiasaannya tidak kurang dari RM32 bilion dan dengan suasana politik dunia dalam mana sumber minyak Saudi diserang dan perang perniagaan antara Amerika dan China – termasuk sekatan dagangan terhadap Iran oleh Amerika dijangkan melonjak harga minyak. Dengan ini dijangka akan menaikkan harga minyak Malaysia  dengan sendiri  dapat menambahkan hasil kerajaan dari harga minyak.
Walau bagaimana dengan cukai SST, tol, hasil dari Petronas adalah dikira masih belum dapat memenuhi jumlah peruntukan bagi Belanjawan 2020 yang berjumlah 297 bilion itu .  Adakah menggunakan kaedah berhutang, sedangkan hutang lama jauh dari langsai > Bagaimanakah ?
Sekian.

October 12, 2019

BELANJAWAN MAKIN MATANG


BELANJAWAN MAKIN MATANG
(Fikrah Bangi: 372),
BBB: 13 Safar 1441H. = 12 Oktober 2019M. (Sabtu).
Kalau kita ingat pada permulaan PH berkuasa (9.5.2018) ada semacam kecelaruan dari segi pemerintahan. Dengan keghairahan ada antara menteri-menteri yang membuat kenyataan yang melukakan perasaan kaum tertentu yang antara kaum berkenaan menyesal memberi kepercayaan, tetapi kemudian dari teguran seperti dari Tun Daim Zainuddin yang menyebut antara mereka kurang pengalaman. Akibatnya berlaku perubahan ke arah yang lebih positif. Mereka pula berhati-hati membuat kenyataan agar tidak bercanggah dan menyukarkan untuk diperbaiki. Belanjawan yang dibentangkan pertama kali pada Oktober tahun lepas, setengah pihak menyifatkannya bukan belanjawan, tetapi semacam kenyataan yang bukan bersifat bajet dan banyak kekurangan. Namun kekurangan dan kesilapan pada peringkat awal adalah lebih baik dari kesilapan pada peringkat akhir. Pembentangan Belanjawan 2020 adalah semakin baik dan semakin matang berbanding denganBelanjawan pada 2019.
Belanjawan 2020 datang selepas Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama (2020-2030) memperlihatkan  kaitan Belanjawan dengan wawasan berkenaan. Bahkan boleh dikatakan ianya adalah mukadimah bagi wawasan berkenaan yang akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang. Belanjawan 2020 adalah lebih baik dari Belanjawan 2019 dan menunjukkan kematangan dari segi pendekatan dan kandungan.
Belanjawan ini hampir melibatkan semua pihak. Induk  Bandingan bagi satu keluarga, bapa merancang perbelanjaan bagi keluarganya untuk satu tahun dari segi misalnya kos makan minum, pelajaran anak-anak, pakaian, perumahan, kenderaan, kesihatan, kebajikan dan berbagai lagi. Dalam setahun sudah tentu akan berbangkit kekurangan-kekurangan yang perlu dibaiki.
Belanjawan Negara bagi 2020 bertolak dari jumlah peruntukan sebanyak RM 297 bilion.
Daripada peruntukan ini nampaknya sebagaimana biasa belanja pengurusan jauh lebih besar iaitu sebanyak RM241 bilion berbanding dengan peruntukan pembangunan hanya RM56 bilion. Iaitu kira-kira satu perlima dari keseluruhan peruntukan.
Banyak Belanjawan ditujukan kepada rakyat biasa yang selama ini terdesak di dalam kesempitan hidup, kekurangan pendapatan, bahkan ketiadaan pekerjaan. Misalnya bagi mengatasi pengangguran yang mencecah satu juta orang itu,  Belanjawan memberi peluang bagi pengemnbangan sektor perusahaan dan pertanian dijangka akan memberi peluang pekerjaan sebanyak 350,000 pekerjaan yang dijangka mengekang  jumlah pengangguran tidak melebihi 3.3 peratus. Jika pada tahun lepas kerajaan disifatkan terlepas pandang kepada petani dan nelayan, maka pada kali ini diperuntukkan sebanyak  RM4.9 bilion bagi  agro makanan. Para petani dan nelayan mungkin akan menarik nafas lega, kerana kedudukan mereka lebih terbela. Peruntukan juga diberi kepada peneroka Felda sebanyak RM810 juta bagi meningkatkan pendapatan 11,800 peneroka.
Belanjawan pada kali ini meningkatkan gaji minimum kepada RM1,200. Walau bagaimana janji dalam manifesto PH yang mau menghapuskan tol tidak mungkin dilaksanakan pada peringkat ini sebaliknya kadar tol dipotong atau dikurangkan 18% yang dijangka sedikit meringankan beban perjalanan terutama bagi mereka yang menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja.
Berbagai insentif lagi diperuntukkan kepada rakyat seperti elaun sara hidup nelayan diberi RM250 sebulan, manakala elaun bagi guru kafa ditambah RM100/=. Bantuan khas RM500 kepada kakitangan kerajaan, manakala bagi yang berpencen adalah Rm250/=. Semua pendekatan di atas yang dituju kepada rakyat biasa adalah bertujuan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara golongan miskin dan yang kaya. Antaranya meningkatkan 2% cukai terhadap golomgan berada yang jumlah mereka dikatakan 2,000 orang.
Adalah dijangka KDNK meningkat dari 4.7 pada tahun 2019 kepada 4.6 pada tahun 2020.
Melihat belanjawan secara pembentangan dan terakam di atas kertas semuanya baik, tetapi dari segi implementasi tentu akan ketara kekurangan dan kelemahan yang menuntut kepada pembaikan.
Sekian.

October 11, 2019

BAJET 2020 LIBATKAN SEMUA


BAJET 2020 LIBATKAN SEMUA
(Fikrah Bangi: 371),
BBB: 12 Safar 1441H. = 11 Oktober 2019M. (Juma`at).
Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada petang ini di Parlimen pada hakikatnya melibatkan semua. Ibrata dalam keluarga perbelanjaan yang diatur untuk keluarga bagi tempoh sebulan melibatkan semua. Ia bergantung pada jumlah sumber pendapatan dan prioriti yang diberi menurut kepentingan dan kemampuan. Demikian ibarat bajet negara yang akan dibentangkan. Ini adalah merupakan pembentangan kedua bajet selepas kerajaan PH memerintah. Dalam bajet pertama ada kekurangan-kekurangan umpamanya kurang tumpuan (tertinggal ?) peruntukan kepada golomgan petani dan nelayan.
Kali ini bajet dipengaruhi beberapa konsep baru yang diperkenalkan iaitu  Wawasan Kemakmuran Bersama (2020-2030) yang dilancarkan pada 5 Oktober yang lepas. WKB dikatakan akan merapatkan jurang pendapatan antara negeri seperti antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung, juga perbezaan antara yang berpendapatan tinggi dengan yang rendah. Peruntukan yang dijangka kurang dari RM100 bilion itu akan diagih berdasarkan keperluan. Misalnya peruntukan untuk Kementerian Pendidikan biasanya antara peruntukan tertinggi Kementerian. Pada tahun lepas melebihi RM30 bilion dan memerlukan tambahan sebelum akhir tahun. Peruntukan pengurusan biasanya dianggap tinggi berbanding dengan pembangunan, diharap dapat dikurangkan berbanding dengan pembangunan yang melibatkan  rakyat banyak. Hutang negara yang melebihi RM Satu trilion itu setakat manakah  dapat dikurangkan. Umum mengetahui Kerajaan mengalami kekurangan peruntukan menyebabkan dilakukan pemotongan bagi peruntukan perbelanjaan. Misalnya disebut bagi sektor pendidikan timbul ura-ura mau menutup maktab perguruan yang berjumlah lebih dari 20 buah itu, Universiti Malaysia Terengganu dicadangkan untuk disatukan dengan Universiti Sultan Zainal Abidin. Sementara itu guru-guru yang sudah dilatih terpaksa menunggu panggilan untuk berkhidmat setelah begitu lama menamatkan latihan. Kerajaan nampaknya memberi perhatian untuk menyediakan makanan pagi bagi pelajar-pelajar.
Bagi rakyat mereka lebih melihat kepada apa yang akan memberi kesan langsung kepada mereka. Misalnya Kos taraf hidup yang semakin menghimpit mereka akibat kenaikan harga barang yang terus menerus berlaku. Kemiskinan bandar lebih ketara dari kemiskinan desa, peluang memiliki rumah yang bagi kebanyakan mereka makin jauh dari kemampuan. Beban menyara anak-anak  mendapat pelajaran  meningkat dari segi kos. Jauh bagi mereka untuk anak-anak  mendapat peluang bagi mendapat pendidikan yang lebih berkualiti, misalnya ke asrama penuh dan sebagainya. Seterusnya bagaimanakah dengan peruntukan bagi petani dan nelayan yang pada tahun lepas tidak diberi perhatian itu ?
Bagi rakyat biasa, berita tentang cukai terpaksa  dinaikkan membimbangkan mereka. GST yang ditakuti dahulu itu (cukai GST 6%) dipuji kembali dan dianggap lebih efektif. Cukai SST yang menggantikannya tidak berjaya menampung kekurangan cukai. GST dulu dapat m,emungutRM44 bilion, sedang dengan SST hanya sebanyak RM23 bilion sahaja. Ada cadangan supaya dilaksanakan GST kembali. Sedangkan bagi Kerajaan PH tidak mau maruah tercalar – Jangan sampai apa yang diludah dulu ditelan kembali. Lantas biarpun pihak kementerian Kewangan mengaku GST lebih berjaya, tetapi cadangan terpaksa ditolak dan usaha menambah baik cukai SST akan dilakukan, ini termasuk menaikkan lagi kadar cukai. Apa saja nama cukai, jika ditambah akan membebankan rakyat Dalam kata lain SST akan menyamai GST, walaupu tanpa penukaran nama.
Apa yang diharapkan oleh rakyat, walaupun kerajaan di dalam kesempitan wang, diharapkan rakyat dapat menikmati  kehidupan yang lebih baik sesuai dengan slogan baru `Wawasan Kemakmuran Bersama` menggantikan slogan lama yang dianggap tidak berjaya itu.
Sekian.

October 10, 2019

SEDIH UTUSAN MELAYU HENTI PENERBITAN


SEDIH UTUSAN MELAYU HENTI PENERBITAN
(Fikrah Bangi: 370.
BBB: 11 Safar 1441H. = 10 Oktober 2019M. (Khamis).
Dalam penerbitan terakhir Utusan Malaysia semalam (Rabu 9 Oktober 2019) tidak ada sebarang berita bahawa akhbar itu akan menghentikan operasinya pada hari ini. Format dan kandungannya masih biasa dengan tajuk utama pada halaman pertama `Ganjaran Pemandu Berhemah` yang menjadi berita utama juga bagi akhbar-akhbar lain.
 Berita tentang akan berakhirnya operasi Utusan Melayu sama ada semalam atau pada hari ini dilaporkan oleh TV  Saluran 501. Ternyata pengakhiran operasinya berlaku sejak semalam. Penulis dan mungkin pembaca-pembaca Utusan dan orang ramai turut merasa sedih di atas penutupan Utusan Melayu termasuk Kosmo. Sidang akhbar rasmi terakhir dilakukan oleh Pengarah Urusan terakhirnya  Datuk Abd. Aziz bin Sheikh Fadzir.
Akhbar Utusan Melayu adalah akhbar Melayu tertua diterbitkan sejak 1939 yang syarikatnya ditubuhkan sejak 1938. Pengarah pertamanya ialah Yusuf Ishak yang menjadi Presiden Singapura pertama.
Menurut Datuk Abd. Aziz, Syarikat berusaha menyelamatkan operasi Utusan, antaranya dengan menjual aset-aset, menaikkan harga akhbar, tetapi pendapatan yang disasarkan tidak dapat mengatasi kos operasi. Tidak ada jalan lain daripada menghentikan operasi dengan keptusan dipersetujui bahawa pemiutang  dari pekerja-pekerja dengan sukarela menghapuskan tuntutan bayaran gaji yang sebelumnya tidak dapat dibayar menurut tarikh sebenarnya. Seramai 862 kakitangan hilang punca pendapatan. Menurut Tan Sri Johan Ja`far Bekas Ketua Pengarang Utusan, kebajikan pekerja patut diberi perhatian. Namun menurut Datuk Abd. Aziz bahawa Utusan selepas ini akan menghadapi  tindakan mahkamah dari berbagai pihak yang mempunyai hutang yang bakal dituntut. Pihak Utusan telah melantik Firma KHY Advisory. Kuala Lumpur bagi urusan.
Menurut Datuk Abdul Aziz Utusan mulai menghadapi masalah bermula dari bulan Mei 2018. Kalau kita ingat bahawa pada 9 Mei 2018 inilah Kerajaan Barisan Nasional  mulai tumbang dikalahkan oleh Pakatan Harapan. Utusan adalah pendukng bagi kerajaan BN dan suara sokongan ini dapat dihayati ddukung Utusan sehingga ke akhir operasinya. Jelaslah bahawa akhbar yang menyuarakan pendapat pemerintah BN, khussusnya Umno, tidak dapat bertahan dengan kekalahan BN. Dalam kata lain Utusan hilang pendukung utamanya dari kerajaan yang memerintah sebelum PH. Dengan kekalahan BN Utusan hilang punca  pendapatan, terutama dari iklan-iklan  dari pengiklan-pengiklan yang berpihak kepada kerajaan. Umno dan BN kini hilang pendukung dan lidah utamanya. Atasan episod yang berlaku kita sama merasa dukacita.
Utusan pada hakikatnya adalah pembawa ubur hati nurani Melayu – namanya sendiri membawa nama Melayu – Utusan Melayu. Sudah tentulah ini merupakan pukulan bagi yang memperjuangkan `Maruah Melayu`, bahkan  tlisan Jawi, yang penerbitan Utusan sehingga  tahun 1980an terutama Utusan Zaman adalah di dalam tulisan Jawi.
Dilihat dari satu segi nama Melayu makin terhakis dari Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia, akhbar Utusan Melayu bertukar Utusan Malaysia, tulisan Melayu (Jawi) kepada rumi (1966) dan beberapa istilah Melayu lagi terhakis.
Dari pembicaraan di atas memperlihatkan betapa rapuhnya Melayu, dari kuasa yang memerintah yang Melayu sebagai majoriti, tumbang dalam pilihanbraya yang membawa sama terkuburnya Utusan Melayu.  Adalah diharapkan dengan berakhirnya Utusan Melayu semangatnya tidak terhapus, sebaliknya akan bangkit pendukung-pendukung yang mau mempertahankan Maruah Melayu memberi suntikan dan pendekatan yang terus memperkasakan  imej dan maruah Melayu.
Sekian.