October 18, 2019

PANDANGAN WUJUD


PANDANGAN  WUJUD
(Fikrah Bangi: 378),
BBB: 19 Safar 1441H. = 18 Oktober 2019).
Pandangan wujud ini adalah sebagai tempat bertolak atau permulaan yang darinya akan dikembangkan pembicaraan selanjutnya.
Pandangan di sini bukan terhad kepada pandangan fizikal melalui indera mata, tetapi  mempunyai maksud yang luas yang mencakupi erti faham, dapatan,  hasil, natijah dan keyakinan. Manakala wujud dalam makna biasa ialah `Ada` Ia adalah berasal dari istilah `Arab yang kata dasarnya ialah `wajada` - ada. Dan wujud ialah nama terbitan `Wujud` ertinya `Ada`. Wujud adalah istilah falsafah yang berhubung dengan bidang, theologi dan juga theosophy. Dikatakan ia diungkapkan oleh Ibn Sina seorang ahli falsafah Islam bagi memberi makna kepada hakikat wujud. Wujud ialah sesuatu yang difahami, didapati, sesuatu yang merupakan hasil, bahkan natijah, bahkan secara pasti dan yakin akan wujudnya kewujudan sesuatu yang tarafnya adalah kebenaran.
Wujud adalah sesuatu yang diterima wujudnya seperti `Wujudnya Alam. Tiada siapa yang dapat menafikan tentang wujudnya alam ini secara fizikal. Ianya dapat dibuktikan secara fizikal dan inderawi seperti ia dapat dilihat dari segi fizikal, misalnya kewujudan muka bumi yang luas terbentang
luas, di atasnya tegak gunung ganang, tumbuh di atasnya  berbagai jenis pokok dan pohon. Mengalir di  bawahnya sungai dari hulunya di atas tanah tinggi ke kuala hasil dari hujan yang menyuburkan tanaman dan  dapat manfaat darinya berbagai hidupan. Manakala sebahagian besar dari permukaan bumi adalah terdiri dari lautan yang di dalamnya juga berbagai hidupan yang dapat dimanfaatkan. Selain dari indera pandangan atau penglihatan, maka kewujudan muka bumi sebahagian daripada alam ini dapat di  dengar. Misalnya bunyi guruh dan perir yang merupakan fenomena alam. Dapat didengar  kocakan air, kicau burung, ketawa seorang anak dan tangisnya dan berbagai lagi. Kewujudan  bahagian dari bumi misalnya dapat dibukti dengan misalnya wangi bunga ros, busuknya bangkai. Ianya juga dapat dibuktikan dengan sentuhan. Misalnya lembutnya pakaian, kasanya permukaan hamparan dan sebagainya. Manakala melalui kecapan bahawanya manisnya gula, masamnya buah mangga dan masinnya ait laut dan sebagainya. Demikian dapatan, hasil, , natijah dan keyakinan dapat dipastikan dengan elemen-eleman indera yang lima.
Pandangan atau dapatan dan maksud lain yang dibincangkan dapat dicapai dan dibuktikan dengan   akal atau fikiran  membuktikan tentang tingginya bukit atau bangunan melalui ukuran. Jumlah bilangan sesuatu dengan mengira secara campur kali dan sebagainya. Seterusnya melihat fenomena alam. Misalnya jumlah planet dan  pergerakannya. Selain dari pandangan dan dapatan dapat dicapai atau terhasil melalui rohani, bahawa konsep wujud selain dari ianya bersifat zahir nyata, sebenarnya kewujudan wujud bersifat tidak nyata. Antaranya bersifat konsepsi yang masih di bawah akal. Misalnya `Benar` bila dikalikan lima dengan dua, maka jawabnya `Sepuluh` Benarnya `Mati` apabila berakhirnya nyawa seseorang dengan sebab sakit, kemalangan dan sebagainya. Ianya bersifat separa ghaib. Lebih dari itu ada yang benar yang lebih tinggi dari konsepsi, iaitu Ghaib`, keujudannya lebih besar dan utama berbanding dengan apa yang dapat dilihat dan dibuktikan wujudnya melalui indera , bahkan akai. Ianya ruang lingkup rohani yang luasnya tiada watas. Persepsi dari fenomena wujud yang wujud pada manusia sebagaimana wujudnya akal, inderawi dan rohani  ialah elemen qalbu ialah seperti takut kepada hukuman salah, rindu kepada  ibu yang dikasihi, duka di atas kematian seseorang  yang dikasihi dan gembira dengan keputusan dan sebagainya. Semuanya berlaku di bawah lingkungan wujud.
Demikianlah `Pandangan Wujud dicapai kebenarannya  melalui inderawi, akli,, rohani dan qalbu. Ianya melibatkan dua entiti, manusia dan alam. Dari keduantya dapat diperluaskan di dalam membahaskan tentang kewujudan.
Setiap satu daripadanya ada rukun-rukun yang dapat dikembangkan pembicaraan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment