October 7, 2019

MARUAH MELAYU - SIKAP


MARUAH MELAYU – SIKAP
(Fikrah Bangi: 368),
BBB: 08 Safar 1441H.= 07 Oktober 2019M. (Isnin):
Kongres Maruah Melayu berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 Oktober. Kita menjangka ianya akan dilancarkan oleh pemimpin NGO atau dari pihak pembangkan yang dapat dimengerti apa yang dikehendaki oleh pihak penganjur dan mengkritik dasar-dasar pemerintah yang tidak menguntungkan bagi maruah Melayu. Sebaliknya ianya dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang menyebabkan suaranya adalah merupakan suara pemerintah dan tentulah menguntungkan pemerintah.
Apa yang disampaikan oleh Tun Mahathir tentang Maruah Melayu adalah berlegar tentang sikap Melayu yang sukar berubah, walaupun berbagai pendekatan dikemukakan kepada mereka. Contoh yang dibawa Tun ialah tentang Wawasan 2020 dan Konsep Pandang ke Timur, Orang Melayu tidak mau merubah nasib mereka sehingga Tun mengakui dasar itu sebagai gagal. Konsep Pandang le Timur masih diteruskan dan diharap konsep itu akan merubahkan sikap orang Melayu, Beliau berharap dengan slogan dan pendekatan baru, iaitu Wawasan Kemakmuran bersama akan merubah sikap orang Melayu ke arah yang positif. Sebagai Orang Melayu, beliau sememangnya mau menolong orang Melayu, tetapi Melayu kurang menunjukkan kesungguhan. Contoh lelaki Melayu kini terkebelakang dari wanita dari segi kemasukan ke universiti yang 60 – 70% adalah terdiri dari wanita.  Demikianlah tanpa kesungguhan, maka kongres demi kongres diadakan tidak merubah nasib Melayu.
Tun mengkritik sikap Melayu yang suka mencari jalan mudah, bila diberi kontrek dan AP, maka mereka lebih suka menjualnya untuk mendapat keuntungan segera dan mudah, bahkan ada kala mereka dibantu dengan memberi modal, tetapi tidak digunakan dengan baik. Menurutnya sekarang antara mereka diberi kursus dan diberi modal, Tun mengharapkan mereka akan  berusaha hingga mencapai kejayaan. Beliau tidak mau sebagaimana di Pasar  di Alor Star, peniaga Melayu tidak berubah. Yang tinggal satu dua kerat Melayu yang  tidak berkembang dari segi perniagaan. Melayu menurut Tun, bersikap cari selamat dengan makan gaji, walaupun tidak seberapa. Manakala setengah menjual aset mereka. Contoh tanah di pinggir bandar dijual untuk mendapat wang yang tidak lama bertahan. Mereka berpindah dan apabila bandar berkembang, tanah naik harga, mereka jual pula aset dan mereka tidak pernah senang.
Melayu juga tidak mengambil kesempatan dari Dasar Ekonomi Baru yang pernah diperjkenalkan lantaran dari sikap lama mereka  tidak berubah. Antara mereka dilatih bagi menguatkan azam  dengan kursus, mendaki gunung, jelajah ke kutub cara berseorangan dan mengelilingi dunia yang berjaya mereka yang dilatih itu, tetapi tidak menjadi inspirasi bagi yang lain. Kejayaan adalah diharap dari generasi baru yang dihantar ke pengajian di luar negera seperti di Jepun, Korea dan sebagainya agar pengalaman dan budaya positif mereka dapat dijadikan contoh bagi anak muda dan generasi akan datang. Mereka adalah kalangan sedikit yang dianggap berjaya.
Tun Mahathir membidas sikap anak muda yang mewarisi sikap malas, terutama lelaki yang sekadar menerima pelajaran asas, tetapi ada peluang bekerja di pasar-pasar raya, tetapi tidak mau bekerja, kerana menganggap pendapatan dengan kerja sedemikian adalah rendah. Mereka mau gaji mahal, tetapi malas belajar dan malas pula bekerja. Akibatnya  pekerjaan yang ada di monopoli oleh pekerja-pekertja asing, sedang anak tempatan merungut tidak ada kerja.
Menurut Tun Mahathir, beliau tidak mempunyai masa yang panjang, apa yang diharapkan apa yang dilakukan, terutama dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, akan menginsafkan, terutama generasi baru. Orang Melayu menurutnya tidak akan dapat  memperbaiki nasib dan maruah mereka selagi mereka tidak mengubah sikap le arah yang bersifat positif.
Sekian.

No comments:

Post a Comment