KONSEP ISLAM SEJAK CIPTAAN
(Fikrah Bangi: 386).
BBB: 01 Rabi`ul- Awwal 1441H. = 29 Oktober
2019M. (Selasa).
Konsep Islam sebenarnya adalah menjadi falsafah
dan prinsip ciptaan alam, khususnya bumi yang menjadi rumah kediaman insan. Islam yang dapat
ditafsirkan kepada berbagai-bagai maksud dengan ciptaan Allah yang Mengetahui,
Berkehendak dan Berkuasa di dalam ciptaan.
Islam adalah bermaksud selamat sejahtera.
Sebagaimana dibicarakan Allah mempastikan bahawa makhluk alam dan dunia yang
diciptakanNya adal;ah bersesuaian dengan makhluk utama yang diciptakannya,
iaitu insan atau manusia itu sendiri. Proses ciptaan mengambil tempoh yang lama
dan melalui enam tahap penciptaan sehingga mantap ke tahap yang disaksikan. Alam
dan bumi adalah selamat bagi dihuni insan yang menjadi pilihan kejadian. Maha
Suci Tuhan yang Maha Sempurna menyediakan tempat sempurna bagi kejadian makhluk
yang paling sempurna antara kejadian. Dia menyatakan, sesungguhnya cara dan
jalan selamat diikuti tidak lain dari Islam. Dengan menurut pola-pola Islam
yang disediakan, maka sesungguhnya keselamatan dan kesejahteraan akan dicapai.
Dalam konsep Islam ini antara maksudnya ialah
patuh pada aturan yang disedia dan ditentukan oleh Allah. Di dalam konsep patuh
ini Maududi dalam bukunya `Understanding Islam` membicarakan secara menarik,
bahawa segala kejadian ciptaan Tuhan semuanya patuh kepada aturan yang diatur
oleh Allah. Kepatuhan diikuti oleh kejadian yang paling besar, umpamanya cakerawala, bintang-bintang dan planet-planet patuh pada
aturan Allah seperti tiap planet, termasuk bumi dan matahari berada pada
paksinya. Planet misalnya bergerak di atas orbitnya dengan teratur mengikut
gerakan dan masa yang ditentukan yang menghasilklan kaedah dan keperluan alam.
Misalnya berlaku pertukaran malam dan siang, berlaku pertukaran musim. Berlaku
pergerakan angin dan awan, turunnya hujan yang menyuburkan tumbuh-tumbuhan,
mengalirnya air hujan dari gunung-ganag dan bukit bukau melalui sungai-sungai
yang menghidupkan tumbuhan dan sampai ke laut yang sentiasa bergerak dan
menghidupkan. Kepatuahan juga dapat dilihat berlaku pada hewan, , bahkan pada
perkara-perkara kecil tetapi penting. Misalnya hewan dan manusia perlu patuh
dengan peraturan untuk selamat. Misalnya perlu makan minum untuk hidup. Perlu
rehat dan tidur untuk kembali bergiat. Dengan kepatuahan semua, maka
terhasilnya keselamatan yang dimaksudkan dengan Islam.
Kosep Islam juga bermaksud , khudhu` atau
merendah diri, bermaksud patuh pada yang tertinggi. Bererti pengakuan kepada
Yang Maha Kuasa yang mengatur segala sesuatu dengan selamat. Dengan khudhu` dan kepatuhan, tiada keangkuhan dan
tiada penentangan terahadap aturan Islam, sebarang penentangan mengundang kerosakan.
Khudhu` dan kepatuhan menjamin keselamatan.
Islam juga mempunyai hubungan yang rapat
dengan aman. Bermaksud dengan mengetahui hakikat ciptaan Yang Maha Berkuasa dan
aturan-aturan yang diciptakan dan manusia serta segala kejadian patuh pada aturan yang
ditentukan dan tidak menentang, maka dengan sendirinya terhasilnya keamanan. Jadi
dengan Islam dan patuh pada peraturan dan memahami hakikat kejadian, maka diri
yang memahami aman dari segi pengertian sebagaimana amannya kejadian yang
menurut aturan Tuhan.
Dasar keamanan pada diri manusia, mempunyai
hubungan rapat dengan kafahaman yang berkait rapat pula dengan ilmu dan maklumat yang diketahui.
Sebenarnya lebih mendalam dari segi ilmu dan kefahaman meletakkan manusia pada
tahap yang lebih utama dari kejadian-kejadian yang lain, bahkan faktor ini yang
melayakkan manusia memimpin alam ini yang dikenali dengan istilah Khalifah itu.
Selamat sejahtera atau dalam istilah yang
agung dan unggul `Islam` adalah menjadi falsafah, prinsip dan dasar ciptaan dan atas dasar Islam ini kewujudan
diadakan secara selamat dan memberi keselamatan dan rahmat pada kejadian yang dicipta Tuhan.
Salam atau selamat sejahtera adalah menjadi
falsafah, prinsip, dasar dan motto bagi Islam. Sebab itu Islam diucapkan di
dalam salam baik di dalam doa`a, pertemuan, ucapan, zikir dan tabhil.
Keselamatan menjadi inti do`a kehambaan kepada Allah agar `Hidup selamat dunia
dan akhirat`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment