October 13, 2009

Berbagai Kerenah Penyokong Di Hari Pengundian

Teluk Kemang, Port Dickson, 22 Syawal = 11 Oktober (Ahad):

Di dalam himpunan menyokong calon dan parti masing-masing kelihatan berbagai gelagat penyokong-penyokong dengan gaya pakaian mencerminkan pihak mana mereka menyokong . Imej biasa masing-masing melahirkan sentiment dan sokongan dengan mengebar bendera parti dan ada yang mengarak bendera parti masing-masing dengan kenderaan. Ada yang bertakbir dan ada yang menyanyi. Ada yang mengulang kata-kata sindiran yang ditujukan kepada lawan dan turut diikut oleh pendukung masing-masing. Tak kurang mendapat jawapan balas dan mencetuskan kemarahan dan perbalahan yang melibatkan campurtangan pihak berkuasa. Ini antara budaya penyokong-penyokong dihari pengundian. Sama ada budaya ini baik atau buruk, suasana bersemangat sedemikian yang menghidupkan suasana pilihanraya itu. Ini juga menjadi tarikan dan keterlibatan mereka yang hadir sama ada dari jauh atau dekat. Jika ini dianggap sebagai positif yang menjadi daya tarikan dan menghidupkan suasana pilihanraya, tugas pihak berkuasa adalah mempastikan kawalan agar tidak sampai menjadi perbalahan atau rusuhan. Jika tidak satu cara dan budaya pilihanraya lain perlu dijana secara positif dan menarik.

Dalam banyak karinah penyokong, penulis yang melawat semua pusat mengundi pilihanraya Bagan Pinang secara kebetulan singgah di Teluk Kemang dan semasa bersama penyokong-penyokong parti-parti bertanding melihat seorang penyokong Pakatan Rakyat secara sendiri mengebar-ngebarkan bendera Pas bersaiz kecil ke kanan dan ke kiri sambil meluahkan ungkapan berirama dalam bahasa Melayu agak indah dan menarik. Lebih menarik beliau bukan Melayu, tetapi seorang Cina. Penulis menghampiri, menghayati dan mencatat sebahagian dari ungkapannya antaranya:


Kita rakyat Malaysia * Mahu hidup aman bahagia

Perjuang keadilan * Hapuskan kezaliman

Tegakkan demokrasi * Menjamin generasi

Yang jadi Yang Berhormat * Patut memberi khidmat

Dulu makan beras petani di sini * Kini beras wangi luar negeri

Dulu turun padang * Kini mulai enggan

Calon Pakatan * Jangan buat demikian

Khidmat sepenuh hati * Jangan penting diri

Dan seterusnya …


Penulis sengaja menghampirinya dan mengganggu seketika kelancaran ungkapan beriramanya dan bertanya nama dan asalnya. Beliau menyebut seraya mengeja namanya, iaitu SAW HOCK HIN berasal dari Pulau Pinang. No telefonnya juga turut diberi. Menariknya ialah kemampuan beliau menyusun bahasa Melayu secara berirama dan spontan. Beliau tak kisah suasana sekelilingnya dan tidak berbual dengan khalayak sekelilingnya. Beliau berterusan mendeklamasi ungkapan berirama, berihat seketika dan mengulangi mengungkap bahasa iramanya, Kadang-kadang membuat pendengar tersenyum dan ada kala tertawa bila tema yang dibawanya mencuit hati. Di samping itu sekali sekali beliau juga mengungkapkan di dalam bahasa Manderin. Gelagat istimewanya menghiburkan kita di tengah-tengah kehangatan suasana.

(Gambar; penulis bertanya mengenai latar diri Saw Hock Hin).

No comments:

Post a Comment