October 12, 2009

MB Rasmi Pecah Tanah Surau Sayidina Umar al-Khattab

Bandar Seri Putra, 21 Syawal = 10 Oktober:


Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor turun mendarat di KLIA setelah 19 jam penerbangan dari New York, hadir ke majlis di atas menepati waktu jam 10.00 pagi. Beliau disambut oleh ADUN Bangi dan Ahli Parlimen Serdang YB Teo Nie Ching selaku Tuan Rumah, Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Haji Zainal Abidin bin A`la, Wakil JAIS, Pengarah UM Land & Bangi Height Encik Zulkifli Gharib dan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan surau Encik Abdul Rani Othman.

Pertambahan pennduduk di Seksyen 7, Seri Putra yang berjumlah lebih kurang 2,500 orang memerlukan sebuah surau tersendiri. Ini merupakan surau keenam di Bandar Seri Putra bila dapat dibangunkan di atas tapak seluas satu ekar. Pun begitu belum ada sebuah masjid didirikan di Bandar ini. Buat masa ini penduduk menumpang bersembahyang Jumaat di Masjid KUIS berdekatan.


YAB Menteri Besar memuji AJK yang melaksanakan tuntutan kifayah bagi penduduk dan bersatu bagi menjayakannya. Menurut beliau "Pemaju seharusnya sama memberi komitmen bagi pembinaan surau ini.". Selain itu, surau penting bagi komuniti masyarakat di sini yang 98% beragama Islam. Beliau berharap ianya digunakan sebaik mungkin bagi kegunaan keagamaan dan kemasyarakatan.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan surau yang dinamakan Surau Sayidina Umar al-Khattab - En. Abdul Rani Othman di dalam ucapan sebelum perasmian oleh YAB Menteri Besar menyatakan, peruntukan diperlukan bagi membina surau ini sebanyak RM500,000. Derma yang telah diterima ditangan setakat ini RM50,000 dan akujanji sebanyak RM50,000. Selain dari itu peruntukan diharap dari derma. En Zulkifli Gharib Pengarah UM land & Bangi Height yang berucap selepas En. Abdul Rani, sebelum perasmian menjanjikan peruntukan sebanyak separuh dari jumlah yang masih kekurangan (RM200,000).


Sebaik selepas berucap YAB Dato` Menteri Besar merasmikan upacara `Pecah Tanah` diikuti dengan penanaman pokok kemboja.

No comments:

Post a Comment