Perkenalkan AQSA Pada Peringkat Menengah
Bandar Baru Bangi, 10 Zulkaedah = 29 Oktober (Khamis)
Cadangan Timbalan Menteri Pelajaran YB Dr Mohd Fuad Zarkashi di Parlimen pada 27 Oktober untuk melanjutkan pengajian J-Qaf dari peringkat sekolah rendah ke peringkat sekolah menengah mendapat respon dari ADUN Bangi yang melihat J-Qaf adalah bersesuaian pada peringkat rendah yang menekankan pembelajaran Jawi, membaca Quran, mempelajari asas bahasa Arab dan Fardu ain. Namun pada peringkat menengah pengajian ini perlu ditingkatkan kepada tahap yang lebih tinggi bersesuaian dengan peringkat menengah. ADUN Bangi mencadangkan bagi peringkat pengajian menengah dikenali dengan AQSA. Aqsa sendiri dari segi bahasa bermaksud lebih jauh, lebih tinggi dan lebih mendalam (Masjid Aqsa bermaksud masjid lebih jauh di Baitul Maqdis).
Pengajian AQSA bermaksud pengajian yang menekankan Aqidah, Qur`an, Syariat dan Arab. Pada peringkat menengah sudah wajar pelajar diperkenalkan dengan ilmu aqidah yang mengukuhkan keyakinan mereka terhadap Islam. Pengajian al-Quran pula hendaklah pada peringkat yang lebih tinggi, selain dari mempertingkatkan kualiti bacaan, mempelajari ilmu tajwid lebih mendalam, pelajar juga mulai diperkenalkan dengan ilmu tafsir, iaitu dengan memilih ayat-ayat Qur`an pilihan bagi kefahaman pelajar dan amalan mereka. Ini menyediakan asas keilmuan tafsir bagi mereka menyambung pengajian berkenaan pada peringkat pengajian tinggi, jika mereka memilih pengajian berkenaan. Pengajian Syariat, ialah lebih tinggi dari fardu ain.
Pada peringkat ini pelajar diperkenalkan selain dari asas-asas ibadat, ialah peningkatan bidang ibadat dan menambah bidang muamalat, munakahat, jinayah dan jihad dan juga mulai diperkenalkan Qawaid Fiqhiyyah secara asas. Ini dapat membekalkan kepada pelajar kefahaman yang lebih mendalam tentang Islam, lebih dari itu menjadi panduan amalan mereka. Terakhir pengajian bahasa Arab yang tentulah lebih mendalam yang membantu melengkapkan mereka memahami aspek akidah, syariat dan Quran itu sendiri dan menguasai bahasa Arab.
Bahan-bahan pengajian akidah, syariat dan tafsir hendaklah ditulis di dalam tulisan jawi sebagaimana tulisan ini seharusnya sudah dikuasai oleh murid-murid pada peringkat rendah lagi. Ini bererti pembelajaran jawi berterusan.
AQSA hendaklah dilihat sebagai sambungan tahap kedua selepas J-Qaf dan AQSA pula sebagai tahap persediaan pelajar untuk menyambung ke peringkat STAM dan pengajian tinggi, khususnya pengajian-pengajian di UIAM, USIM, KUIS, Fakulti-Fakulti Pengajian Islam, Kolej-Kolej Islam dan institusi-institusi yang menyediakan pengajian-pengajian Islam. Bagi melaksanakan AQSA hendaklah dibentuk satu AJK Kurikulum bagi mengolahnya secara lebih detail dan terperinci bagi digunakan pada peringkat maktab, institut dan Universiti Perguruan bagi melatih pengajar-pengajar dan guru-guru. Buku-buku berkenaan hendaklah disusun oleh pakar-pakar terpilih dan diterbitkan oleh penerbit-penerbit berwibawa. Diharap AQSA sebagai lanjutan J-QAF pengajian Islam lebih mantap dan berjaya.Insya Allah. Sekian.
Dr. Shafie Abu Bakar
No comments:
Post a Comment