October 23, 2009

Merasmikan Pembukaan Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah

Sri Muda, Shah Alam 29 Syawal = 18 Oktober (Ahad):

(perasmian Oleh ; YB Dr. Shafie Abu Bakar)

Atas kapasiti ADUN Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, ADUN dijemput oleh Nazir Masjid Proton, Shah Alam Tuan Haji Ghazali bagi merasmikan Madrasah selepas sembahyang Isyak di masjid berkenaan. Turut hadir sama YB Tuan Mat Shuhaimi Bin Haji Shafiei ADUN Sri Muda, Shah Alam.


Bangunan Madrasah bagi Tahfiz sudah ada, iaitu bangunan sekolah agama yang berpindah kerana mempunyai bangunan baru tiga tingkat juga tidak jauh dari masjid. Bangunan satu tingkat ini telah dilengkapi dengan dua bilik darjah, dua bilik tidur dan kantin. Bangunan ini terletak di atas sebidang tanah yang agak luas berhampiran masjid. Pelajar yang akan diambil sejumlah lebih kurang 30 orang, tetapi setakat ini belum ada pelajar yang mendaftar bagi sesi pengajian terdekat. Pengajian adalah sepenuh masa dan pelajar tinggal di dalam (asrama). Buat masa ini terdapat dua orang guru yang bakal berkhidmat.


ADUN Sri Muda YB Tuan Mat Shuhaimi bila dijemput turut melahirkan sokongan terhadap usaha pihak AJK Madrasah, walaubagaimanapun menurut beliau sebagai respon terhadap harapan Nazir agar mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri, menurutnya rancangan pembukaan sekolah seharusnya dimaklumkan terlebih awal kepada beliau. Menurutnya bajet kerajaan negeri telah dibincangkan, cadangan untuk memohon peruntukan 2010 agak terlambat untuk dimasukkan. Walau bagaimana beliau memberi tempoh tiga hari untuk AJK mengemukakan proposal bagi kemungkinan item peruntukan dapat dijadikan sebahagian dari peruntukan 2010.


Bila ADUN Bangi dijemput bercakap bagi perasmian, ADUN berharap pihak AJK pentadbiran membuat pilihan dan keputusan yang tepat bagi kepentingan anak-anak dan kemampuan pihak pentadbir, terutama dari segi kewangan. Menurut ADUN Bangi, ma`had tahfiz sekarang agak popular di negeri Selangor. Jumlahnya menghampiri 80 buah. Namun hampir semuanya adalah bersifat swasta. Belum ada kurikulum mantap. Berbagai pendekatan pengajaran dilakukan. Ada yang menumpukan pengajaran kepada hafalan semata-mata, ada yang menghafal dan menambah dengan mata-mata pelajaran pilihan tanpa mengambil peperiksaan yang diktiraf dan ada yang bersifat integrasi, iaitu mengambil sijil-sijil yang dianjur kerajaan dengan menintegrasikannya dengan kurikulum tahfiz.


ADUN membangkitkan hasrat Jawatankuasa menjadikan madrasah menekankan kurikulum tahfiz semata-mata mempunyai implikasi tersendiri. Anak-anak yang dari semuda usia tidak mengambil sebarang peperiksaan yang diiktiraf memasalahkan masa depan mereka. Ibu bapa juga memikirkan berkali-kali untuk menghantar anak-anak mereka. Ternyata sekarang sekolah belum menerima permohonan pendaftaran. Yang terbaik ialah mengambil pendekatan integrasi sebagaimana banyak digunakan oleh ma`had tahfiz, contoh Darul Qur`an Kerajaan Persekutuan dan tahfiz-tahfiz Kerajaan Negeri Selangor dan Kelantan. Tetapi pendekatan ini memerlukan kos yang tinggi. Ia melibatkan kos-kos guru-guru bagi semua mata pelajaran akademik dan tahfiz, kos pentadbiran, juga kos bagi menjaga pelajar yang tinggal di asrama sepenuh masa.


Pendekatan yang lebih menyelamatkan kos dan lebih terjamin dari segi kualiti ialah pelajar diurus belajar pelajaran akademik di sekolah-sekolah kerajaan atau sekolah agama integrasi kerajaan negeri dengan menguruskan pengangkutan bagi mereka pergi balik ke sekolah dan madrasah tahfiz dan menambahkan pengajian tahfiz secara berasrama di sebelah petang atau sebaliknya dan disebelah malam.


Walau bagaimana terpulang kepada pihak pentadbiran untuk memilih pendekatan yang difikirkan terbaik. Pihak kerajaan atau Lembaga Zakat mungkin dapat menimbangkan bantuan yang sesuaian. Madrasah dirasmikan dengan pembacaan basmalah. Sekian.

No comments:

Post a Comment