October 9, 2009

FOKUS PILIHANRAYA KECIL BAGAN PINANG, PORT DICKSON

Memberi Undi Kepada Isa Menyuburkan Kuman JE Rasuah Negara

Teluk Kemang, 17 Syawal=06 Oktober (Selasa):

(gambar ; hari penamaan calon)

Masihkah anda ingat dengan tragedi JE Virus Nipah yang menyerang Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan semasa Isa Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan ? Tragedi ini berlaku akibat dari kerakusan pimpinan dan mereka yang berpengaruh di negeri Sembilan mempunyai kaitan dengan penternak-penternak dan membiarkan ternakan babi secara besar-besaran melibatkan lebih empat puluh ribu babi, tanpa sistematik, kotor dan di luar kawalan. Akibat dari kekotoran melampau mencetus kelahiran kuman JE yang kemudian dikenali dengan `Nipah Virus`.Jenama Virus ini menyerang mangsa dengan mengalami demam mengejut yang membawa maut. Seramai 136 kematian dahsyat berlaku di Bukit Pelanduk ! Akibat ketakutan, tempat ini ditinggalkan dan beberapa lama sepi dari penghuni.

Rasuah adalah lebih dahsyat dari Virus Nipah ! Isa telah disabitkan dengan Rasuah Politik Wang oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO yang diketuai oleh Veteran UMNO Tengku Ahmad Ridhauddin. Akibatnya beliau digantung dari UMNO selama sepenggal dan terpaksa berundur dari menjadi Menteri Wilayah Persekutuan. Cakap-cakap berlaku rasuah di dalam masa Isa berkuasa memang menjadi `Rahsia Umum`. Kita dimaklumkan banyak bangunan yang terbengkalai, antaranya akibat dari amalan rasuah. Misalnya seorang bekas setiusaha di sebuah koperasi memaklumkan, pada masa dia berkhidmat, koperasi bercadang mendirikan sebuah hotel sebanyak 16 tingkat di atas sebidang tanah di Port Dickson, apabila permohonan dan proposal dikemukakan. pihak berkenaan dicadang tambah empat tingkat lagi untuk pihak tertentu menjadi 20 tingkat. Plan terpaksa diubahsuai dan perbelanjaan bertambah mengakibatkan bangunan terbengkalai. Cakap-cakap mengenai Mr. 10% memang popular dan menjadi budaya politik dan pimpinan UMNO-BN. Ini bermakna pimpinan politik UMNO-BN yang boleh dikaitkan dengan Isa yang disabitkan dengan rasuah bukan saja dijangkiti, tetapi memiliki dan pembawa Virus JE Nipah Rasuah Negara. Mengundi Isa pada pilihanraya Bagan Pinang, Port Dickson pada 11 Oktober nanti bererti menyubur dan membiakkan Virus JE Nipah Rasuah yang memberi implikasi berikut:

a) Mengesah, menyubur dan meningkatkan indeks kedudukan rasuah Negara yang pada tahun 2007 berkedudukan pada tahap ke 43 indeks rasuah Negara-negara di dunia, kini pada tahun 2008 meningkat kepada kedudukan pada tahap ke 47. Dengan adanya isu-isu besar rasuah di dalam Negara seperti Rasuah PKFZ yang pada asalnya berjumlah 2.8 bilion dan berganda meningkat hingga hampir 10 bilion, tuduhan rasuah terhadap pemimpin komponen utama BN yang melibatkan sepuluh juta, pendedahan melalui SELCAT dan sebagainya dipercayai indeks rasuah Negara akan bertambah meningkat pada tahun mendatang.

b) Meletakkan kepimpinan di dalam BN selaku pemerintah Negara pada masa ini berada di dalam dilemma dan kontradiksi. Pada satu waktu, pihak pemerintah beria-ria memerangi rasuah. Misalnya dengan menukar dan meningkatkan peranan dan kuasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) serta usaha-usaha meyeret mereka yang terlibat dengan rasuah ke muka pengadilan, tetapi di dalam masa yang sama rasuah terus berlaku, lebih-lebih lagi melibatkan kepimpinan dari pihak pemerintah.

c) Merencatkan pertumbuhan ekonomi Negara, kerana urusan ekonomi melibatkan rasuah. Dengan ini menjauhkan pelabur untuk menanam modal dan berurusan dengan Negara.

d) Rakyat tidak bermotivasi, konflik psykologi mengakibatkan rendahnya daya keluaran Negara, kerana rakyat,pekerja, pengusaha dan pelabur merasa tertekan. Mereka tidak mendapat pulangan sebenarnya. Sebahagian daripada hasil bertalian dengan persoalan rasuah. Tidak ada insentif bagi mereka untuk bekerja keras. Secara langsung atau tidak langsung mereka terjerat dengan persoalan rasuah.

e) Menggadaikan maruah Negara dan bangsa di mata dunia. Negara dan kepimpinan dipandang rendah dan tidak dihormati. Dengan demikian meletakkan Negara dikategorikan sebagai Negara mundur dan berada di tahap Dunia Ketiga.

Bagi mempertahankan keadilan, ketelusan, kejujuran, maruah diri dan mengelak dari konflik psikologi agar dihormati undilah calon yang bersih dan berintegriti – Calon PAS

Saudara Zulkefly Mohamad bin Omar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment