October 2, 2009

Masalah Pasar Malam dan Pasar Tani

BBB, 12 Syawal = 01 Oktober (Khamis):

Tidak dapat dinafikan dengan adanya pasar malam dan pasar tani, memberi peluang perniagaan kepada mereka yang terlibat dan memudahkan penduduk setempat mendapat barang-barang keperluan dapur dan makanan dengan harga berpatutan, di samping mendapat bahan-bahan yang segar. Antara tempat yang paling popular dengan pasar malam dan pasar tani, ialah di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi. Di sini pasar malam dua kali seminggu, iaitu pada hari Sabtu dan Selasa, manakala pasar tani, ialah pada hari Khamis dari jam 2.00 hingga jam 7.00 petang.


Di samping peluang dan kemudahan yang disebut di atas ada implikasi yang tidak menyenangkan:

a) Masalah sampah dan pencemaran. Oleh kerana tempat ini kerap dengan pasar, iaitu tiga kali seminggu, sungguhpun pembersihan dilakukan setiap berakhirnya pasar, tetapi lebihan sampah menguturkan. Bau, terutama air ikan dan air kotoran dari sisa jualan tidak dapat dibersihkan sepenuhnya, menyebabkan tapak berkenaan hitam berminyak, berbau dan menjijikkan.

b) Pasar malam, khususnya bagi hari Selasa dan pasar tani pada hari Khamis mengganggu urusan perniagaan di bank-bank di kawasan setempat seperti Malayan Banking dan Bank Islam. Keluar masuk terhalang dan kenderaan tidak dapat masuk. Kita menerima aduan dari Bank-Bank berkenaan

c) Perniagaan stesyen minyak Shell berdekatan juga terhalang bagi kenderaan-kenderaan yang hendak masuk dan keluar membeli petrol

d) Pejabat Pos juga terhalang bagi pelanggan keluar masuk.

e) Kedai-kedai tidak laris jualan dengan adanya alternative pembelian.

f) Penduduk-penduduk rumah pangsa setempat juga terganggu lalu lintas dan keluar masuk. Aduan dari mereka sering diterima.

g) Mengganggu ketenteraman dan pembelajaran murid sekolah agama berdekatan dan kesihatan mereka terganggu.

Bagi menjaga kepentingan semua pihak, secara kebetulan pihak Kerajaan Tempatan telah mengarahkan setiap PBT memilih satu tempat yang dapat dijalankan kebersihan. Mana tempat dipilih terbersih dari dua belas PBT di Selangor diberi hadiah. Pihak MPKj memilih tapak pasar di Seksyen 16 dijadikan projek pembersihan.

Bagi tujuan membaikpulih dan meningkatkan kebersihan kawasan pasar Seksyen 16, antara keputusan mesyuarat yang diadakan di MPKj ;

a) Menghentikan kegiatan pasar malam dan pasar tani selama sebulan (Oktober 09) bagi memberi ruang dan masa bagi MPKj memulihbaik infrastruktur dan kebersihan.

b) Tempat ganti sementara bagi pasir tani ialah di Dataran ¼, berhampiran dengan pasar basah Seksyen Satu Bandar Baru Bangi. Ada kemungkinan pemeindahan ini dikekalkan, jika didapati bersesuaian dan kebersihan dapat dijaga.

c) Selepas penangguhan sebulan, pasar malam pada hari Sabtu akan dibenarkan beroperasi semula, kerana ianya tidak mengganggu perkhidmatan bank dan lain-lain, kerana hari Sabtu hari tidak bekerja.

d) Peniaga pasar malam hari Selasa, sebahagian ditawarkan berniaga di pasar malam di tempat lain di bawah MPKj yang jatuh pada hari yang sama, atau dimasukkan sebahagian dari mereka pada hari Sabtu dan sebahagian ditawarkan berniaga di Seksyen Tiga Tambahan yang baru dibuka di sini. Mereka mungkin diberi ruang membuka pasar malam di Seksyen 9 berhampiran Masjid Al- Hasanah. Ini bererti pasar hari Selasa di Seksyen 16 ditiadakan terus. Di Seksyen 16 hanya ada satu pasar malam, iaitu pada hari Sabtu.

Tindakan mulai diambil. Sebarang cadangan pembaikan sekiranya wajar diterima. dan diharap dapat memuaskan semua pihak.

Terima kasih . (Sab).

No comments:

Post a Comment