October 8, 2009

Sentuhan Akhir Kursus Motivasi Pelajar

Kem Nur, Bukit Unggul, Dengkel, 15 Syawal = 04 Oktober (Ahad):

Atas jemputan Dekan Pusat Pengajian Sepanjang Hayat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Puan Kamariah Hassan di bawah Program SPIES, ADUN hadir pada tempat dan tarikh di atas jam 3.00 ptg. menutup kursus Pembangunan Modal Insan yang disertai pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernic, Cheras dari 3 - 4 Oktober. Mereka terdiri dari 37 pelajar (10 lelaki, 27 perempuan). Selepas Puan Kamariah memperkenalkan tentang pelajar dan kursus, ADUN dijemput menyampaikan ucapan penutup. ADUN menyentuh tajuk `Selangor Maju Berpendidikan`.

Bertolak dari ayat Qur`an yang bermaksud:

`Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang yang menuntut ilmu ke tingkat-tingkat yang tinggi` (Al-Mujadalah: 11).


Semua bersetuju dan adalah realiti melalui ilmu membuka ruang kepada seseorang atau institusi meningkat dari segi kualiti dan prestasi.


Kehidupan bersifat global dan mencabar menuntut pelajar menuntut dan menguasai ilmu. Tiada maaf bagi pelajar. Siapa ketinggalan dikesampingkan’. Selangor menyedari, tiada kemajuan melainkan dengan ilmu.


Tetapi mendidik pelajar, ibarat menanam sebiji benih. Bagi mencapai kesuburan dan penghasilan perlu kepada tanah yang subur, cuaca yang sesuai, pembajaan yang sempurna, siraman dan suasana yang kondusif.


Kerajaan Negeri Selangor sebagai Negeri Maju Berpendidikan menyedari keperluan mendidik warga pelajarnya. Di samping persediaan oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri menyediakan berbagai pengajian dari peringkat rendah, menengah, kolej, bahkan universiti. Kerajaan menyediakan skim simpanan pelajaran anak Selangor, membantu anak miskin, memberi peruntukan insentif kepada yang dapat masuk universiti dan menyediakan pinjaman kepada mereka dan menukarkannya kepada biasiswa jika mereka mencapai prestasi cemerlang. Pihak zakat juga menyediakan bantuan kepada pelajar-pelajar berkelayakan menyambung pelajaran.

Walau macam mana kejayaan seorang pelajar bukan saja bergantung pada dirinya dan kerajaan. Semua pihak memainkan peranan termasuklah ibu bapa, guru-guru, tempat dan suasana pembelajaran. Pendek kata ianya bergantung kepada banyak pihak. Anak-anak bernasib baik mempunyai keperluan, kemudahan dan suasana yang kondusif. Apa yang perlu inisiatif dan kesungguhan dari anak-anak bagi menjayakan diri anak-anak dan kecemerlangan masa depan. Kejayaan anak-anak merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Selangor hub ilmu dan kalau anda dari Bangi, juga merealisasikan Bangi sebagai Bandar Ilmu.

No comments:

Post a Comment