Serdang, 22 Syawal = 12 Oktober (Isnin):
Pendekatan yang diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merestui penubuhan Parti Makkal Sakti dan BN sedia bekerjasama dengan parti berkenaan adalah bercanggah dengan pendirian BN sebelum ini dan bertentang dengan logik. Makkal Sakti bererti `Kuasa Rakyat` adalah ucapan keramat bagi kaum India yang menyokong Pakatan Rakyat dan istilah ini begitu popular di kalangan pendukung Pakatan Rakyat termasuk dari kaum bukan India. Istilah ini juga digunakan oleh kumpulan Hindraf yang ditekan oleh BN dan pemimpin mereka ditangkap.
Makkal Sakti juga istilah popular digunakan di dalam pilihanraya Mac 2008 yang membangkitkan semangat kaum India menentang BN dan menyokong Pakatan Rakyat. Kemenangan Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya Mac 2008 antaranya dari sumbangan Makkal Sakti kaum India. Logiknya kalau pun Makkal Sakti ditubuhkan sebagai parti, maka berdasarkan latar dan cetusan kebangkitan secara logic dan sepatutnya menjadi parti menyokong Pakatan Rakyat.
Mengapa terjadi percanggahan ? Daripada sepatutnya menyokong Pakatan Rakyat kepada menyokong BN ? Ada beberapa faktor mengapa terjadi sedemikian.
Pemimpin fraksi Makkal Sakti seperti R.S.Thanenthiran dan pengikut-pengikutnya mengambil kesempatan dari populariti Makkal Sakti dijadikan parti dan kesempatan baginya menjadi pemimpin. Peluang untuk mendapat kelulusan bagi parti agak sukar dan memakan masa yang lama jika sikap berkonfrontasi diambil. Dengan pendekatan ini kecurigaan dapat dikurangkan dan mereka yang dianggap serong dapat dilunakkan. Lebih dari itu mereka yang mengambil kesempatan berpeluang bersama pemerintah dan lebih berpeluang mendapat habuan.
Bagi Datuk Seri Najib perkara di atas memang diketahui, tetapi kesempatan untuk meraih sokongan kaum India yang hilang kepercayaan kepada BN, khususnya MIC selama ini dapat ditarik kembali sokongan mereka. Perkiraan kepentingan politik ini menjadi perkiraan utama. Beliau rela berdepan dengan ketidakpuasan hati pemimpin MIC yang hilang pengaruh itu bagi mengembalikan sokongan. Bagi kaum India dengan penubuhan parti ini orang India makin berpecah di dalam parti-parti yang lemah dari MIC, PPP dan Makkal Sakti. Dari satu segi merugikan orang India. Bagi parti Makkal Sakti tidak dapat menarik kesemua pendukung Makkal Sakti yang jujur dengan perjuangan dan tetap berjuang menentang penindasan pemerintah. Dalam kata lain Makkal Sakti sebagai parti tidak sesolid mendapat dokongan semasa pilihanraya Mac 2008 yang sokongan pula solid kepada Pakatan Rakyat. Makkal Sakti kini dipandang curiga, mereka lebih dipandang mengambil kesempatan dan tidak mendapat dokongan sepenuhnya. Datuk Seri Najib juga mengambil kesempatan. Kesemua mereka dianggap tidak jujur dan dicurigai.
Dari segi Pakatan Rakyat, bagi Parti Keadilan Rakyat yang bersifat multirasial, tentulah mau pendukung Makkal Sakti terus masuk dan menjadi ahli PKR yang tiada halangan mereka berbuat demikian. Tidak perlu kepada penubuhan parti baru. Tetapi bagi mereka yang cari kesempatan, peluang bagi mereka mencari kedudukan tentulah lambat dan sukar melalui PKR, kerana lebih ramai pimpinan berkelayakan. Penubuhan Makkal Sakti peluang untuk menonjol dengan segera dan berpihak kepada kerajaan BN lebih cepat kelulusan dan terjamin selamat dan mendapat kedudukan. Tetapi andainya Makkal Sakti diterima sebagai komponan di dalam BN sukar pula mendapat kedudukan, kerana terpaksa bertanding bukan saja dengan parti-parti berasas kaum India, tertapi bertanding dengan berbagai-bagai parti di dalam komponan BN.
Bagi Pas yang menggunakan mekanisme `Kelab Penyokong` sebenarnya tidak menawarkan status keahlian yang dapat dinikmati seperti di dalam PKR. Penyokongan mereka dirasai orang India sebagai sokongan dari luar dan tidak bersifat part and parcel dengan parti itu sebagai ahli sepenuhnya- luar dan dalam serta jiwa dan raga. Dilema ini yang masih belum dapat dipecahkan oleh Pas menjadikan sokongan tidak padu dan boleh pecah dan terhurai bila timbul isu-isu yang bercanggah dengan kepentingan mereka. Makkal Sakti sebagai parti diasas kerana kesempatan dan tidak mendapat dokongan sepenuhnya dari ahli-ahli yang mendukung Makkal Sakti semasa pilihanraya Mac 2008. Makkal Sakti yang begitu bersemangat akan sepi dan taat apabila menjadi parti yang bekerjasama dengan BN, lebih-lebih lagi menjadi komponan. Parti ini tidak menjadi parti yang solid mendapat dokongan orang India, sebaliknya menjadikan mereka lebih berpecah dan lemah. Makkal Sakti sendiri akhirnya hilang sakti dan bukan lagi suatu kuasa yang kuat, tetapi turut lemah dan tenggelam.
No comments:
Post a Comment