October 20, 2009

Merasmikan Seminar Pengukuhan Akidah

Teras Jernang, 01 Zulkaeadh = 20 Oktober (Selasa):


(Perasmian oleh YB Dr.Shafie Abu Bakar)

Era Global dan Langit Terbuka membuka ruang antara manusia antaranya penyerangan terhadap akidah dan jati diri umah melalui berbagai fahaman termasuklah liberal dan faham penyamarataan. Dari satu segi internet yang tidak dinafi banyak kebaikan, tetapi penyalahgunaannya terutama di kalangan generasi muda banyak membawa kesan negative dan gejala kurang bermoral terhadap anak-anak yang terlepas dari kawalan ibu bapa.


Antaranya menyebabkan pegangan akidah keagamaan menipis. Bagi kalangan yang tidak mempunyai asas akidah agama yang betul dan kukuh ada dikalangan mereka yang terpengaruh dengan fahaman menyeleweng dan ramai pula yang terseleweng.. Contoh pengakuan Nabi Melayu, Kerajaan Langit Ayah Pin, Tidak perlu sembahyang, tetapi cukup dengan niat. Anti Hadith dan sebagainya.


Ajaran-ajaran sesat berlaku di dalam kelompok tertentu secara senyap-senyap. Pengikut-pengikut mereka biasanya bukan dari kalangan orang biasa, tetapi dari golongan berada dan tinggi dari segi status sosial. Untuk mengesan dan menyekat penyelewengan akidah perlu kerjasama terutama dari kalangan pemimpin setempat seperti penghulu, ketua kampong, nazir dan imam.


Bagi tujuan ini Unit Penyelidikan dan Pembangunan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Unit Pengurusan Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah tersebut mengadakan Seminar Pengukuhan Akidah – Cabaran dan Penyelesaiannya bertempat di Dewan Seminar, Masjid al-Salihin, Kg. Teras Jernang, Bangi, Selangor pada tarikh di atas mulai jam 8.00 pagi hingga jam 1.00 tengahari.


ADUN Bangi selaku Pembantu EXCO Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu diberi penghormatan merasmikan seminar tersebut. Dua kertas kerja dibentang iaitu kertas berjudul: Ciri-ciri Ajaran Sesat – Peranan Pemimpin Masyarakat Dalam Usaha Menanganinya, dismpaikan oleh Sahibus-Samahah Dato` Hj. Abdul Majid bin Omar, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Selangor, manakala kertas kedua berjudul, Faham Islam Liberal Sebagai Satu Ancaman Akidah Terhadap Umat Islam di Malaysia, dibentangkan oleh Dr. Muhammad Nur Manuty, Felow Kanan Akademik, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).


Seramai 50 peserta hadir dari Daerah Hulu Langat. Mereka terdiri dari Nazir-Nazir Masjid, Penghulu, Ketua Kampung, Pegawai Polis dan Pimpinan Wanita Setempat. Seminar mendedahkan berbagai ajaran sesat dan usaha-usaha membasminya. Kebimbangan berlaku merebaknya faham liberalisme yang menggugat kemurnian akidah umat dan gejala ini perlu ditangani secara serius. (Ucapan Perasmian dan rumusan kertas-kertas kerja akan diterbitkan akan datang.

No comments:

Post a Comment