June 7, 2010

Berjihad Memartabatkan Peradaban Kemanusiaan Dan Menentang Zionisme Israel Yang Kejam

BBB, 23 J. Akhir = 06 Jun (Ahad):


Dua elemen yang mempertingkatkan manusia di dalam sejarah perjalanan kualiti kemanusiaan, iaitu rasa kemanusiaan yang memanusiakan manusia sehingga mencapai peradaban manusiawi dan ketinggian akli atau minda yang memungkinkan manusia mencapai tamadun yang tinggi. Pertentangan dengan kedua elemen di atas meletakkan manusia pada tahap rendah di bawah tahap kemanusiaan manusia itu sendiri. Contohnya kejatuhan moral seperti bersifat ganas, kejam dan zalim dan pertentangan dengan ketinggian akli seperti pemalas, bodoh dan tidak berinisiatif menjatuhkan martabat manusia. Namun antara ketinggian manusiawi yang berperadaban adalah lebih tinggi dari ketinggian akli yang membawa kepada ketamadunan. Manusia atau bangsa yang bijak tidak dihormati, jika ia bersifat ganas. kejam dan zalim. Dalam erti kata lain kemanusiaan dilihat sebagai peradaban yang tinggi dan didukung oleh manusia sendiri. Oleh itu perjuangan kemanusiaan adalah perjuangan suci yang harus diteruskan bagi memartabtkan manusia itu sendiri. Ianya tidak bercanggah dengan agama dan norma budaya.


Di dalam konteks fokus di sini, Israel biarpun antara mereka ada yang genius, tetapi imej ganas, kejam dan zalim dalam banyak episode sejarah dan kini terhadap Penduduk Palestin, khususnya di Ghazzah, maka imej dominan Israel adalah jahat, ganas, kejam dan zalim yang amat dibenci manusia. Pengasingan Ghazzah dan pengepungan terhadap penduduk Ghazzah lebih dari 3 tahun dilihat sebagai jenayah kemanusiaan yang tidak boleh dimaaf. Perbuatan seperti ini jauh dari kemanusiaan, bahkan boleh disifatkan bersifat kebinatangan yang perlu dikutuk. Atas kesedaran ini menggerakkan aktivis-aktivis dari seluruh dunia, melibatkan lebih dari 50 negara, termasuk Malaysia, merasa terpanggil untuk membela penduduk Ghazzah yang terkepung.


Ini menjadi bukti dengan penghantaran kapal Mavi Marmara, Freedom Flotilla dengan 680 aktivis membawa 10,000 ton bantuan. Adalah diluar dari pertimbangan kemanusiaan biasa, misi kemanusiaan seperti ini di tawan Israel di Laut yang masih di luar sempadan Israel pada 30 Mei 2010 dan mereka membunuh 9 aktivis dengan berpuluh luka. Tindakan kejam di luar kemanusiaan ini mendapat kecaman dari seluruh dunia tanpa mengira Negara, bangsa, fahaman politik dan budaya. Israel jelas terus memperlihatkan watak imej dominant dan identitinya bersifat kejam, zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Ini menyebabkan manusia yang cintakan kemanusiaan menunujuk perasaan di seluruh dunia, termasuk di Negara kita Malaysia mengutuk dan mengecam perbuatan Israel yang anti kemanusiaan.


Sifat degil Israel makin jelas setelah membunuh 9 aktivis kemanusiaan di atas kapal Mavi Marmara - Freedom Flotilla, menangkap dan memenjara yang lain, termasuk 12 rakyat Malaysia, apabila di tengah-tengah protes dunia Israeil sekali lagi menawan Kapal Rache Corrie yang membawa perutusan kemanusiaan dan barangan, termasuk 6 orang rakyat Malaysia, meskipun kali ini mereka tidak dicederakan. Kontras dengan tindakan Israel yang tidak berperabadan memperlihatkan warga dunia memandang tinggi terhadap nilai kemanusiaan dan membela kemanusiaan itu sendiri. Termasuk kesedaran kemanusiaan dari kalangan rakyat Malaysia. Bagi kita dengan pemergian misi kemanusiaan bersama Mavi Marmara dan Rachel Corrie, menunjukkan kalangan rakyat Malaysia bersama warga dunia mempunyai kesedaran kemanusiaan yang tinggi.


Sesungguhnya kesedaran kemanusiaan tidak saja pada aktivis-aktivis yang secara langsung bersama misi-misi kemanusiaan ke Ghazzah, tetapi kalangan rakyat di Malaysia memberi sokongan terhadap mereka dan mengikuti segala perkembangan. Apabila berlaku tragedi pembunuhan dan penangkapan terhadap misi kemanusiaan, mereka mengadakan tunjuk perasaan di kota, di jalan-jalan, di masjid-masjid, di kedutaan dan berbagai tempat membantah, mengutuk dan mengecam tindakan Israel yang di luar dari batas kemanusiaan. Mereka tidak bersendirian, tetapi bersama warga dunia dari berbagai Negara dan penjuru dunia bertindak menentang tindakan Israel yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan.


Kita penduduk Bangi, selain dari setengah mereka pergi berdemonstrasi di Ibu Kota, kita juga menyokong misi kemanusiaan dan menyokong protes dan tunjuk perasaan yang dijalankan. Tidak setakat itu, sebenarnya sebaik mengetahui tentang kematian misi kemanusiaan ke Ghazzah (30 Mei), jiwa kemanusiaan kita turut tersentuh dan bertindak segera memanggil mesyuarat tergempar pada malamnya dan mengambil tindakan untuk memprotes tindakan kejam dan tidak berperi kemanusiaan Israel. Ternyata, kesedaran kemanusiaan ini dikongsi bersama oleh pimpinan masjid-surau, persatuan-persatuan dan NGO-NGO dan penduduk setempat Bandar Baru Bangi.


Lantaran itu penduduk Bangi bersama arus kemanusiaan di dunia mengadakan Perarakan dan Perhimpunan menyokong misi kemanusiaan (6 Jun), bukan atas dasar ikut-ikutan, tetapi atas kesedaran kemanusiaan sebagaimana berlaku di berbagai tempat di dunia. Pernyataan bukan dari satu pihak, tetapi mendapat dokongan dari parti-parti politik, masjid surau, NGO-NGO dan penduduk.


Pagi ini jam 8.30, pada 6 Jun Perarakan Menyokong misi kemanusiaan ke Ghazzah dan pembelaan terhadap penduduk Ghazzah diadakan dari Kompleks Sukan MPKj, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi ke Dataran Usahawan, Seksyen Satu dilakukan. Sambil bergerak dalam saf-saf, antara mereka membawa sepanduk-sepanduk, mereka mengungkapkan kata-kata membakar semangat, takbir, kecaman-kecaman terhadap Israel disuarakan. Perarakan disertai lebihkurang 1,500 orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Perarakan berlaku di dalam keadaan aman dan mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis yang sebelumnya memberi permit keizinan berarak dan berhimpun. Perarakan, perhimpunan, pengluahan kata adalah manifestasi kebencian mereka terhadap kebiadaban Israel yang tidak menghormati kemanusiaan, bahkan makin memperkukuhkan imej mereka yang kejam, ganas dan zalim yang amat dibenci dan dikutuk oleh mereka yang mendukung dan menyanjung kemanusiaan. Perarakan memakan masa hampir sejam.



Di Dataran Usahawan, Seksyen Satu Bandar Baru Bangi mereka bersolat hajat mendoakan keselamatan misi kemanusiaan dan penduduk Ghazzah, mengikuti ucapan-ucapan yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan jemputan khas Tuan Haji Mohamad Sabu sebagai penceramah jemputan Utama. Kemarahan mereka terhadap kekejaman Zionis Israel dimanifestasikan dengan pemijakan dan pembakaran bendera Israel.




(Ucapan-Ucapan dan Resolusi akan diterbitkan pada bahagian kedua).


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment