Dewan Orang Ramai, Sungai Merab Luar, 15 J. Akhir = 29 Mei (Sabtu):
Umumnya di tengah kesebokan hidup seharian, orang lebih tertarik membicarakan peluang-peluang ekonomi, membicarakan segala yang selesa – rumah mahal, kereta besar, pakaian mewah berjenama dan sebagainya, berlainan dengan sekelompok kecil pemimpin kariah di Sungai Merab Luar, mereka risau dengan tanah perkuburan di tempat mereka seluas 3 ½ ekar itu – digunakan sejak 1922, semakin menyempit. Mereka bimbang ruang yang masih berbaki memungkinkan mereka tidak berpeluang menghuninya apabila mati. Bagi mereka ruang yang sempit - kini masih percuma, amat penting dalam perjalanan menuju Akhirat. Mereka mau kedamaian, mati dan disemadikan di kampong sendiri.
Atas kesedaran ini AJK ditubuh atas nama Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab (TAPIS) pada 9hb. Januari 2009 bagi penambahbaikan dan memulihara Tanah Perkuburan Sungai Merab. TAPIS mendapat kelulusan dari JAIS untuk beroperasi, terutama memungut dana. TAPIS telah dilancarkan secara rasminya oleh Y.B. Dato' Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam pada 8 Februari 2009. AJK TAPIS terdiri dari:
Ustaz Dr. Udah Mohsien - Penasihat
Tuan Bajuri Turmin - Pengerusi (Ketua Kampong)
Tn. Haji Rosli Talib - Timbalan Pengerusi I
E. Samsudin Saimen - Timbalan Pengerusi 2
Tn. Haji Mohd Noor Saimen - Bendahari
En. Zakaria Ahmad - Setiausaha
Seramai 14 AJK lain dan Dua Pemeriksa kira-kira.
Tugas AJK ialah menghimpun dana bagi menambak tanah paya seluas 1 ½ ekar bersambung dengan kubur yang sedia ada (3 ½ ekar) yang diwakafkan oleh hamba Allah (1 ½ ekar), menjadikan luas kubur keseluruhan lebih sedikit lima ekar).
Selama lebih setahun AJK berusaha memungut derma yang akhirnya terhasil berjumlah RM160,000. Kerja utama ialah menambak tanah paya sejumlah 1,800 lori. Kos pengangkutan setiap lori ialah RM80/=. Ini bererti harga tanah yang diangkut sebanyak RM144,000/=. Selebih dari itu ialah belanja pengurusan dan sagu hati kepada pekerja yang mengurus penambakan dan sebagainya. Al-hamdulillah tanah perkuburan dapat disempurnakan oleh TAPIS dan penduduk buat masa ini tidak risau lagi, tentang ketidakcukupan tanah kubur.
Jemputan ke majlis hari ini adalah merupakan pernyataan syukur kepada Allah sempena sempurnanya Projek Penyelenggaraan Tanah Perkuburan Kg. Sungai Merab Luar. ADNS Bangi dijemput atas kapasitinya selaku ADUN angkat bagi Parlimen Sepang dan juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu. Turut dijemput pada hari ini ialah En. Ahmad Fairuz, Penolong Pegawai Daerah Sepang, Haji Azuddin Ahli Majlis Perbandaran Sepang dan Wakil Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Sepang.
En. Bajuri sebagai Pengerusi dan Tn. Haji Rosli sebagai Timbalan Pengerusi bercakap tentang sejarah dan liku-liku yang dihadapi dalam menunaikan amanah bagi menyempurnakan pemuliharaan tanah perkuburan Sungai Merab Luar. Dengan selesainya tugas, TAPIS hari ini dibubarkan. Terima kasih di atas kerja-kerja mulia dan jasa mereka.
Penerbitan Risalah
Nampaknya AJK dan Penasihat bukan setakat menyempurnakan perkuburan, tetapi di dalam bekerja menyempurnakan, mereka berdepan dengan peraturan hukum hakam yang berhubung dengan tanah perkuburan. Orang yang mengeluarkan pendapat tidak lain dari Penasihat Ustaz Dr Udah Mohsein. Pendapat dan hukum hakam yang diselidikinya - pada awalnya sebagai kertas kerja bagi seminar, dihimpunkan ke dalam sebuah risalah yang cantik dan lengkap yang dilancarkan pada hari ini. Bahkan sebelum pelancaran beliau memberi tazkirah di dalam Majlis Kesyukuran ini berhubung dengan Perkuburan diikuti dengan Tayangan Slaid Projek.
Risalah Hukum Hakam Berkaitan Tanah Perkuburan
Penulisan Risalah di atas, walaupun kecil, tetapi bersifat ilmiah. Pendapat-pendapat dikemukakan berdasarkan ayat Qur`an dan Hadith serta rujukan-rujukan dari kitab-kitab muktabar. 17 kitab rujukan disertakan seperti Sunan Abi Daud, Musnad Ahmad bin Hanbal, Sunan al-Bayhaqi, Sahih Al-Bukhari, Al-Fatawa Ibn Hajar, Sunan Ibn Majah, Sharh al-Nawawi, Al-Muwatta' Al-Imam Malik, Sunan Al-Nasa'I, Sunan Al-Tirmidhi dan kitab-kitab fiqh’ dan fatwa-fatwa.
Dr. Udah membicarakan di dalam Risalahnya tentang:
Takrif Kubur dan Tanah Perkuburan
Hukum Mengkhususkan Kubur
Hukum Meletakkan Batu Nisan Dan Menjirus Air
Hukum Ditulis Sesuatu Di Atas Kubur
Hukum Duduk Di Atas Kubur
Hukum Memasang Lampu Di Atas Kubur
Hukum Membongkar Kubur
Hukum Sembahyang Di Atas Kubur
Pensyariatan Menziarahi Kubur Dan Hikmatnya
Hukum Wanita Menziarah Kubur
Adab-Adab Menziarah Kubur
Contoh Gambar-Gambar Kubur Yang Menepati Syarak
Contoh Gambar-Gambar Kubur Yang Tidak Menepati Syarak.
Buku setebal 24 halaman yang berasal dari kertas kerja ini diterbitkan oleh AJK TAPIS ini mengharapkan buku berkenaan,
"Akan dapat menjadi panduan kepada seluruh orang-orang Islam."
Di bawah diperturunkan antara perkara-perkara dibicarakan penulis:
Pengkhususan Tanah Kubur
"Tanah perkuburan yang diwakafkan untuk orang ramai maka semua orang Islam adalah berhak untuk dikuburkan di mana jua di kawasan perkuburan itu. Oleh itu seseorang itu tidak boleh mengkhususkan dirinya dan keluarganya untuk dikuburkan di kawasan tertentu. (Fatwa al-Syaikh Muhammad Bakhit, 1338H. – Mufti Mesir) – hlm. 1."
Menulis Sesuatu dikubur:
"Haram menulis ayat Al-Quran kerana ia terdedah kepada dipijak, terkena najis dan terkena kotoran mayat ketika digali semula pada tanah perkuburan awam. Yang lain daripada Al-Quran kemungkinan makruh atau haram kerana ada larangan. Adapun menulis nama simati supaya dikenal sekadar yang perlu sahaja, maka ia disukai (istihbab), tidak makruh khususnya kubur awliya dan salihin supaya dikenali. Menurutnya ditegah menulis nama itu jika bertujuan untuk berbangga-bangga, untuk hiasan dan menyebut sifat-sifatnya yang palsu atau menulis Al-Quran (Ibn Hajar al-Haitamai, t.t. 2:12)."
Adab-Adab Menziarah Kubur hendaklah:
- Senantiasa menutup aurat
- Membetulkan niat – kerana Allah untuk mendapat pengajaran dan ingat akan mati.
- Bila melangkah ke kubur sebaik-baiknya memberi salam
- Sebaik-baiknya hendaklah berdoa untuk ahli kubur
- Hendaklah menyebut kebaikan si mati, bukan keburukan
- Bagi wanita dilarang bersolek
- Dilarang meminta kepada simati
- Dilarang memeluk dan mencium nisan dan sebagainya
- Tidak bermain-main dan ketawa
- Dilarang meraung, mengoyak-ngoyak baju dan sebagainya
- Dilarang menghisap rokok
- Dilarang duduk bersandar dan berteleku di atas kubur
- Dilarang melintasi atau berjalan di atas kubur kecuali jika betul-betul perlu
- Dilarang sembahyang atas kubur kecuali sembahyang jenazah
- Dilarang bercampur gaul di antara lelaki dan perempuan ajnabi
- Makruh bagi perempuan mengikuti jenazah sampai ke kubur.
Sekian.
No comments:
Post a Comment