June 24, 2010

Memahami Tuntutan Gabungan Kesatuan Pekerja Negeri Selangor (GKPNS)

Shah Alam , 07 Rajab = 20 Jun (Ahad):


Jemputan ke Forum Pekerja yang berjudul "Cadangan Pindaan Akta Buruh 2010 Dan Implikasi Terhadap Kaum Pekerja" bertempat di Dewan Banquet MBSA, Shah Alam adalah bermula dari jam 9.00 pagi dan berterusan hingga jam 1.00 tengahari. Aku memang berminat untuk memahami perjuangan Kesatuan Sekerja, apakah perjuangan mereka dan apakah yang dituntut melalui forum yang diadakan.

Walau bagaimana sebelum dapat menghadiri forum di atas aku terpaksa menghadiri tiga program mulai dari 8.30 pagi. Program ketiga terakhir jam 11.30. Kami berkejar dari Sungai Ramal Dalam, tempat program ketiga terakhir dan tiba ke MBSA jam 12.00. Kami dapat mengikuti bahagian akhir dari forum dan dapat mendengar pandangan dari kesemua ahli panel. Tokoh-tokoh panel yang hadir ialah, Tuan Syed Shahir Presiden MTUC, YB. Sivarasa A/L K. Rasiah Ahli Parlimen Kapar dan Y.B. Abdullah Sani bin Abdul Hamid Ahli Parlimen Kuala Langat yang juga selaku Pengerusi Kaukos Pekerja Parlimen Malaysia. Tetamu Kehormat yang hadir ialah Y.B. Tuan Haji Yaakob bin Sapari Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan yang merupakan ADUN Kota Anggerik. Beliau merasmikan Forum.

Inti persoalan Cadangan Pindaan Akta Buruh 2010 ialah Pindaan Akta 26(1)A yang berkait dengan Hak Kesatuan dan Hak Majikan.

Hak Majikan selepas 5 tahun boleh review kedudukan pekerja dalam pekerjaan yang membolehkannya mengambil sesuatu keputusan atau sebaliknya. Hak Kesatuan Sekerja berhak mendapat pampasan dihadkan 24 bulan tidak mengikut tahun.

Selain dari perubahan akta di atas, isu yang menghangatkan pekerja-pekerja mengenai cadangan memberi gaji minimum, tetapi ditarikbalik/ditangguh. Tindakan ini dilihat sebagai mempemainkan pekerja. Maruah mereka sepatutnya dijaga dan dihormati.


Forum membincangkan bagi menyekat sebarang perubahan yang boleh merugikan pekerja.


Syed Shahir mencadangkan agar ditolak pindaan akta. Sebaliknya mendesak kerajaan memberi pengiktirafan terhadap pekerja. Tetapi beliau membuat teguran para pekerja biasanya bersemangat di dalam majlis-majlis seperti forum pada hari ini, tetapi bila tiba masa turun padang amat mengecewakan dari segi penyerrtaan. Lantaran itu banyak perhimpunan yang dianjurkan menemui kegagalan. Pekerja-pekerja nampaknya takut untuk berdepan di dalam mengambil tindakan. Menurut beliau kalau ahli tidak kuat dan tidak memberi sokongan terhadap anjuran kesatuan menjadikan persatuan dan kesatuan lemah.


YB Sivarasa membangkitkan soal pekerja asing yang kadang-kadang lebih diberi keutamaan oleh pihak majikan, kerana mereka lebih longgar dari keterikatan terhadap mereka dan membuka ruang untuk mengexploitasi mereka. Walau apa pun, jika kita mau supaya akta tidak dipinda, maka pernyataan yang jelas dan kuat mesti disampaikan sebelum ianya dibawa ke parlimen dan diambil keputusan. Sebab itu kesatuan sekerja harus bertindak dari sekarang. Gerakan ini hendaklah dilakukan secara meluas ke seluruh Negara. Menurut YB Abdullah Sani Kesatuan perlu membuat memorandum dan perkara ini akan dibawa ke pengetahuan Kementerian Sumber Manusia sebagai satu saluran desakan yang penting.


Sekian.

No comments:

Post a Comment