June 29, 2010

Rentetan Jejak Pengalaman Ke Ghazzah - Disampaikan Oleh 2 Misi Kemanusiaan Malaysia

Kajang Utama & Taman Seri Melor, 11-12 Rajab = 24-25 Jun (Khamis-Jumaat):

Dua malam berturut-turut dua misi kemanusiaan ke Ghazah dijemput menyampaikan rentetan dan jejak pengalaman mereka melayari halangan, khususnya bila kapal Mavi Marmara – Freedom Flotilla, bukan saja disekat, tetapi menghadapi serangan dari tentera regim Zionis Israel dan 9 dari misi kemanusiaan terkorban. Kedua-dua misi kemanusiaan yang dijemput khas itu ialah Tuan Haji Jamaluddin Alias Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia dan Tuan Haji Mustapha Mansor dari Majlis Pertubuhan Perundangan Islam Malaysia (MAPPIM). Tuan Haji Jamaluddin hadir ke Surau Kajang Utama pada malam hari Khamis 24 Jun, manakala pada malam Jumaat 25, Tuan Haji Mustapha hadir bersama dengan Tuan Haji Jalamaluddin di Surau Taman Seri Melor (Kedua-dua surau adalah bernama Surau al-Muhajirin).





Majlis ceramah di Surau al-Muhajirin Kajang Utama diadakan dianjung surau dengan dihadiri Tuan Haji Arshad Pengerusi Surau Kajang Utama, En. Khairil Anwar Timbalan Presiden Skretariat Pemuda Prihatin, Imam, Bilal dan para hadirin - ibu bapa dan orang ramai. Haji Jamaluddin berlainan dari Haji Mustapha dari segi tempat bertolak, Beliau bertolak 18 Mei dari Ankara melalui Teluk Bhosporos Turki dengan kapal Mavi Marmara menuju ke Anatolia di Turki. Menurutnya kapal boleh mengisi seramai 1,600 penumpang, tapi dalam misi kemanusiaan ke Ghazzah ianya membawa hanya 600 penumpang. Mereka antaranya dari 13 NGO. Ruang diisi dengan bahan-bahan bantuan seperti ubat-ubat sebanyak 600 ton serta bahan-bahan binaan. Perjalanan sebenarnya tidaklah bersifat direct dan terus, sebab itu memamakan masa. Misalnya kapal Mavi Marmara hanya tiba ke Anatolia, Turki pada 24 Mei. Turut juga mengikuti ialah enam buah kapal kecil yang lain mengiringi. Kapal-kapal sebenarnya telah menerima amaran dari regime Zionis Israel, jika ke Ghazzah akan disekat dan kemungkinann diserang dan serangan berlaku pada 4.30 pagi 30 Mei dan dalam penyerangan itu, Zionis yang kejam dan hilang rasa kemanusiaan membunuh 9 orang aktivis dari Turki. Kapal ditunda ke Pelabuhan Ashdot di Haifa Israel. Setelah dikurung berhari mereka di bawa ke Amman dan dibebaskan.


Manakala Tuan Haji Mustapha datang pada hari Jumaat ke Surau Al-Muhajirin di Taman Melor. Ceramah di sini disampaikan di atas pentas di padang terbuka, di luar dari surau, maka bagi pendengar disediakan khemah-khemah. Tuan Haji Mustapha bertolak dari tempat berlainan, iaitu dari Crete, Cyprus. Pada tempat ini berhimpun aktivis-aktivis dan NGO-NGO dari barat dan bukan Islam. Mereka seperti dari Sweden, U.K. Norway, Belgium dan berhimpun di Crete. Menurut Haji Mustapha komitment mereka membela kemanusiaan adalah tinggi. Seorang peserta dari Belgium bernama Ina, berusaha mengumpul kewangan dan keperluan ke Ghazzah bertahun-tahun lamanya semata-mata untuk menemui anak-anak Palestin di Ghazzah. 3 orang dari peserta, menurut Haji Mustapha terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka kerana mau menyertai rombongan ke Ghazzah. Antara mereka ada yang mewasiat sekiranya berlaku kematian ke atas mereka, maka mayat mereka jangan dibawa pulang, tetapi hendaklah dikebumikan di Ghazzah. Demikian hasrat mereka mau membela penduduk yang menghadapi sekatan. Hidup penduduk Ghazzah memakan roti kering bersama air dan antara mereka makan sekali sehari, khususnya selepas menghadapi sekatan dan tekanan dari Israel. Apa yang mau ditunjukkan bahawa yang membela kemanusiaan, adalah di luar dari kalangan Islam dan di luar dari bangsa Arab. Bagi Setengah orang Arab tak kesah. Mereka leka dengan shopping di Dubai dan tidak memberi perhatian pada orang Palestin. Sebaliknya ada yang bekerjasama dengan Israel menyekat bantuan dari sampai ke Ghazzah.

Kapal yang dinaiki Haji Mustafa didalam perjalanan mengalami kerosakan dan terpaksa berpindah ke kapal Mavi Marmara yang menyatukan mereka dengan rombongan misi ke manusiaan di kapal Mavi Marmara dan menghadapi sekatan dan serangan dari Israel.

Dari kedua-dua penceramah ini kita tidak mendengar penceritaan episod paling sengit dalam pelayaran, iaitu ketika serangan berlaku – komando Israel mendarat di atas kapal, kekalutan yang berlaku seterusnya membawa kepada terkorbannya sembilan orang misi keamanan dari Turki. Episod ini adalah klimeks bagi peristiwa bagi misi keamanan. Mungkin mereka berdua tidak benar-benar berdepan dengan episod berkenaan. Kita dimaklumi misi kemanusiaan ditingkat atas adalah terdiri dari orang-orang Turki. Sebab itu apabila pendaratan berlaku. Permulaan pertembungan didepani oleh misi kemanusiaan dari Turki. Lantaran itu mereka yang ditingkat atas inilah menerima risiko terkorban dan mereka yang mati – 9 orang dari rakyat Turki. Adapun yang lain termasuk dari Malaysia berada di tingkat bawah, sebab itu mereka tidak berdepan dengan penyerangan dan al-hamdulillah terselamat dari terkorban.


Walau bagaimana kita tidak juga diceritakan bagaimana penyeksaan yang mereka alami selepas kapal Mavi Marmara ditawan hingga dibawa ke Pelabuhan Ashdot di Haifa, Israel.


Dalam ucapan alu-aluan ADNS Bangi di Surau Kajang Utama, bahawa kita berbangga, kerana dari kalangan ratusan misi kemanusiaan ke Ghazzah terdapat misi-misi dari Negara Malaysia – 12 dalam kapal Mavi Marmara dan 6 lagi dalam kapal menyusul kemudian ke Israel, iaitu Rachel Corrie. Ini bermakna, kalangan kita mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi dan berjuang bersama pejuang-pejuang kemanusiaan antarabangsa menegakkan pembelaan terhadap kemanusiaan yang mengatasi batas geografi, warna kulit dan idelogi kefahaman.


Pada majlis ceramah di Taman Seri Melor turut dihadiri YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang,, Haji Abdul Aziz Abu Bakar Pengerusi Surau, Ustaz Hashim bin Haji Abdul Rahim Ketua Persatuan Penduduk Taman Seri Melor, Ustaz Husaini Imam Surau dan penduduk setempat.


YB Teo Nie Ching dalam ucapannya menyatakan, kezaliman adalah sesuatu yang dibenci dan di mana-mana saja tidak disukai. Kekejaman Israel terhadap penduduk Ghazzah dan Palestin adalah dikutuk dunia – termasuk kita turut mengutuk. Israel juga menurutnya keras kepala dan tidak tunduk kepada undang-undang antara bangsa. Mereka menyerang kapal Mavi Marmara ketika kapal itu masih berada diperairan antarabangsa. Ini menunjukkan Israel bersifat keras dan degil. Pembunuhan Israel terhadap misi kemanusiaan seramai sembilan orang itu dikutuk oleh seluruh dunia. Tindakan seharusnya diambil dan menghukum mereka oleh mahkamah antarabangsa. Israel mesti ditunduk dari keangkuhan dan menghormati hak dan kemanusiaan. Kita seharusnya jangan membiarkan Israel bersikap keras, zalim dan melanggar aturan antarabangsa dengan membuat sekatan di kawasan antarabangsa di kawasan 72 nautika jauhnya dan membunuh mereka yang membawa misi kemanusiaan.

Dalam ucapan ADNS Bangi, melihat jalan cerita Misi Kemanusiaan ke Ghazzah amat menarik. Temanya bersifat global. Peristiwa di atas pentas antarabangsa, watak-watak adalah pendukung kemanusiaan sebagai hero dan Israel adalah berwatak jahat, crook dan dibenci. Temanya amat menarik boleh ditulis dalam bentuk nobal, difilm, di pentas serta dilakonkan. Secara bergurau ADNS berkata, sayangnya kematian tidak melibatkan orang kita (untuk cerita saja) yang sepatutnya menjadi watak protoganis adalah dari kita. Maka ceritanya lebih hebat meningkatkan Imej Malaysia (Sebenarnya kita bersyukur tidak berlaku kematian dari kalangan misi kemanusiaan dari Malaysia).

Walau bagaimana kita mengucapkan tahniah kepada semua misi kemanusiaan yang mencetuskan pembelaan terhadap rakyat Ghazzah yang tertindas dan dengan kematian memuncak menjadi Prime News di seluruh dunia dan sepatutnya menggerakkan seluruh dunia membela masyarakat Ghazzah dan Palestin agar bebas dari tekanan Israel dan menjadi bangsa yang merdeka sebenar-benarnya. Mengakhiri ucapan ADNS Bangi membaca dua buah puisi yang berkait dengan perjuangan umat Palestin dan Ghazzah, iaitu:
Viva Palestina & Freedom Flotilla Menyaksi Kejamnya Zionisme (kedua-dua puisi terdapat di dalam blog ini).


Sekian.

No comments:

Post a Comment