June 4, 2010

Berwacana Ilmiah Tentang Ummah Di Desa Surada

BBB, 15 Jamadil Akhir = 29 Mei (Sabtu):


Pada petang hari ini ke Desa Surada berjamaah Maghrib seterusnya menyertai Majlis "Bicara Ummah" salah satu siri dari kegiatan "Bangi Bandar Ilmu" yang bermula selepas salat Maghrib.

Tajuk Bicara Ummah pada malam ini ialah "Islam – Melayu". Tokoh yang mengupas persoalan ini ialah Dato' Dr. Siddiq Fazil Pengerusi Kolej Darul Hikmah. Majlis pada malam ini mendapat kerjasama dari pihak AJK Surau Desa Surada. Hadir pada malam ini ialah Dr. Tajul Ariffin Nordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga Ahli MPKj, Encik Yusof Bacik Ahli MPKj, Pengerusi Surau Saudara Shukor Atan dan ahli kariah lelaki, perempuan dan anak-anak.

ADNS Bangi, ketika diminta berucap menyatakan, Bicara Ummah yang merupakan siri ketiga ini adalah salah satu kegiatan mengukuhkan Bangi Bandar Ilmu, tetapi hasrat kegiatan keilmuan yang seharusnya berkembang di Bangi lebih dari itu. Kita mau dikenali dengan aliran-aliran keilmuan, pendapat dan pemikiran yang identik dengan Bangi, bahkan lahir "Pemikiran Bangi" berhubung dengan kajian dan pendapat ilmuan-ilmuan dari Bangi. Pendapat dan ulasan sering dirujuk kepada ilmuan Bangi sebagai Pemikiran Bangi. Bagi merealisasikan hasrat ini memerlukan intelektual di Bangi bergiat secara jamaah dan mempunyai misi dan visi keilmuan yang jelas. Pemikiran Bangi hendaklah dikukuhkan dengan penerbitan-penerbitan Ilmiah. Selain dari menghimpun pendapat jamaah intelektual di Bangi melahirkan pendapat di dalam seminar, forum, penulisan dan berbagai wacana adalah dirasakan penting wujudnya di Bangi Convention Centre – Bangunan Persidangan dalam mana di sini berlakunya kegiatan-kegiatan Ilmu. Rumah ilmu (Darul Ilmi) ini menjadi Pusat Pengenalan bagi Bangi yang di sini juga mempunyai Galeri Buku, Pusat Pameran, Kegiatan Seni dan Budaya. Apabila orang datang Convention Centre ini menjadi daya tarikan utama dan tempat kunjungan bagi mendapat sumber ilmu seperti buku-buku, mengikuti kegiatan ilmu atau menyertai kegiatan seni-budaya. Perkara ini telah diajukan kepada pihak berkuasa dan diharap menjadi realiti.

Sebelum daripada itu Saudara Shukor Atan selaku Tuan Rumah mengucapkan terima kasih kepada ADNS Bangi dan AJK Bangi Bandar Ilmu memilih Surau Surada sebagai tempat berwacara Bicara Ummah. Beliau berharap kerjasama seterusnya dapat dilakukan.


Topik ditampilkan dengan hujah bahawa pandangan selama ini "Melayu-Islam" sebagai kurang tepat. Tetapi hendaklah "Islam-Melayu" kerana Islamlah memberi identiti kepada Melayu yang menjadi kekuatan bagi bangsa dan bahasa Melayu itu. Dr. Sidek Fazil bertolak dari ayat Quran dari Surah al-Hujurat (ayat 13), bahawa Allah Taala menciptakan manusia lelaki perempuan, dan dijadikan berbangsa-bangsa dan berkabilah-kabilah ialah untuk mereka berkenalan. Yang terlebih baik dari kalangan mereka adalah yang lebih bertaqwa.


Menurutnya takrif Melayu adalah terbuka, bahkan tidak terikat dengan keturunan dari segi biologi. Dengan beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu dia boleh diterima sebagai Melayu. Islam mengislamkan Melayu, termasuk bahasa, adat dan budaya. Identiti Melayu diperkukuhkan oleh Islam, sebab itu mengukuhkan Islam di Negara ini adalah mengukuhkan Melayu, sebaliknya mengabaikan Islam meruntuhkan Melayu. Islam juga hendaklah diperkukuhkan di dalam masyarakat multi-rasial, kerana Islam bertoleransi dan menjaga hak dan kepentingan semua.


ADNS Bangi sebenarnya dapat mengikuti sebahagian dari perbincangan dan terpaksa memohon diri kerana mempunyai program di tempat yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment