June 16, 2010

Sekilas Pengalaman Mengenai Imej Dan Identiti Kelantan

Kota Bharu 29 J. Akhir = 12 Jun (Sabtu):

Sahabat-sahabat bertanya ketika dalam perjalanan ke Kelantan, "Apakah imej dan identiti ketara bagi orang Kelantan ?"
Jawab seorang sahabat tanpa ragu-ragu, "Dielek percakapan yang membezakan dan ketara berlainan dengan dialek dari lain-lain negeri."
"Apabila seorang Kelantan bercakap, tanpa melihat wajah, sudah kita kenal dia berasal dari Kelantan." tambahnya.
Seorang sahabat lagi yang sama dalam kenderaan berkata, "Semangat kekitaan mereka, terutama bila berada di luar Kelantan, mereka mudah berkelompok contoh bila berada di kampus pusat pengajian atau di satu-satu kawasan kediaman yang memudahkan mereka bekerjasama atau mengadakan sebarang pakatan," tambah sahabat.
Semua apa yang dikatakan oleh kedua-dua mereka adalah benar.
"Orang Kelantan adalah bermegah dengan imej, identiti dan kelainan mereka, bahkan ditonjolkan. Berlainan dengan mereka yang dari setengah negeri, malu mengaitkan diri dari sesatu negeri dan tidak rapat hubungan sesama negeri ketika berada di perantauan," kata sahabat.
"Agaknya inilah rahsia kekuatan rakyat Kelantan. Mereka bersatu dari segi komitmen politik yang mereka pilih dan bermegah dengan pilihan."


Setibanya kami di Kelantan, melihat bendera-bendera berbulan dikiri kanan jalan dengan wajah-wajah Tok Guru senyum terpampang, kami rasa kelainan. Aura Tok Guru seolah di mana-mana. Kibaran-kibaran bendera seolah-olah sebagai hidup dan mengeluarkan tenaga memberikan kecergasan dan semangat kepada kami.


Setiap kali kami singgah sama ada bagi menunaikan salat atau makan sambil bererhat bagi mengembalikan kecergasan, kami rasa gembira dan ceria oleh setiap sapaan dan senyuman diberi oleh rakyat Kelantan yang kami berdepan!

Kami juga rasa terkesan dengan pemilik 'Rumah Penginapan' – lebih bersifat 'Homestay' yang begitu cakna dengan kami. Mereka tidak bersifat menunggu sahaja. Sebaliknya menghubungi kami berkali-kali dan memberi tunjuk arah perjalanan, bahkan menunggu di tepi jalan menyambut kehadiran kami dan mempastikan keperluan dan keselesaan kami semasa menginap di Inapan yang disediakan.

Pagi-pagi esoknya kami bertembung dengan kejutan kecil, bila keluar dari Inapan dan mencari kedai makan untuk makan pagi. Kedai-kedai makan, sebenarnya lebih bersifat warung, tidak ada menyediakan makanan ala budaya makanan di Bangi, roti canai, nasi lemak atau lontong ! Beberapa warung yang kami singgah semuanya menawarkan makanan pagi 'Nasi Berlauk', 'Nasi Kerabu' atau 'Nasi Berulam'! Semuanya kami anggap makanan berat! yang tak biasa bagi perut kami menerimanya.

Dalam mencari warung yang sesuai sahabat membuat komen, "Mana ada orang makan nasi saja. Bila makan nasi mestilah berlauk! Cukup sebut nasi saja !" kata sahabat.
Dalam mencari akhirnya kami nampak sebuah warung yang beriklan roti canai ! Kami merasa lega dan singgah. Bila didatangi pekerja kami order roti canai untuk bertiga. Tapi kami kecewa dengan jawapan pekerja, "Hari ini tak ada roti canai. Pembuat roti canai rehat! (Hari Jumaat Hari Minggu di Kelantan).

"La patut hari sebegini (Muktamar), pekerja tak patut cuti. Pengunjung ramai datang, makanan laris, niaga untung," rungut sahabat.
Oleh kerana sudah duduk di bangku, dan sudah banyak warung disinggah. Akhirnya kami makan pagi dengan nasi berlauk !

Tiba di PUTIK, ada kelainan pandangan. Berderet antara Surau dan Bangunan PUTIK wakaf-wakaf kecil lebih kurang lima buah. Wakaf-wakaf kayu ini berciri seni bina Kelantan, beratap bata, berukir berawan larat bertebuk tembus, lantainya berpelantar rata dan ada yang bertingkat.


Waqaf adalah dari istilah Islam, iaitu sesuatu harta yang diserahkan bagi kegunaan awam. Contohnya mewaqafkan sumber air untuk dimanfaatkan oleh musafir dan mewaqafkan bangunan untuk kegunaan musafir. Waqaf diambil di dalam tradisi Melayu, selain dari konsep waqaf secara luas, ianya digunakan bagi rumah atau bangunan yang disediakan bagi musafir yang singgah menginap dalam perjalanan. Ianya sebagai tempat berhenti beristirahat. Pada zaman tradisi wakaf ini didirikan antara destinasi musafir untuk berhenti berehat. Di Kelantan ada banyak tempat mengambil nama kampong dengan nama wakaf, seperti Wakaf Che Yeh, Wakaf Comel dan sebagainya. Wakaf dibina di dalam kawasan PUTIK di sini berfungsi untuk peserta Muktamar atau kegiatan lain berehat. Semasa Muktamar wakaf-wakaf ini jelas manfaatnya. Peserta-peserta berehat, menjadikannya tempat makan dan minum, bahkan ada yang datang bermuktamar menjadikan tempat tidur di samping ada kemudahan di surau dan sebagainya. Wakaf-wakaf di sini diberi nama dengan tokoh-tokoh Pas seperti Wakaf Ustaz Fadhil Nor, Wakaf Pak Nik Lah, Wakaf Yusuf Rawa dan sebagainya.

Ciri-ciri budaya Kelantan dapat kami saksikan dari susunan 'Rebana Ubi' yang teratur di luar Dewan dan dipukul berentak berirama bersemangat yang mencirikan imej dan identiti muzik gendang Kelantan. Ciri Kelantan juga ditampil di awal Majlis Pembukaan bagi Muktamar dalam mana Nasyid disampaikan. Nasyid ini pada nama sahaja, tetapi rentak dan irama muziknya mengambil ciri lagu-lagu muzik etnik Kelantan seperti 'Wau Bulen' dan beberapa rentak dikir barat yang lain. Senikatanya juga mempamirkan tentang sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat Kelantan – termasuk tempat-tempat yang menarik di Kelantan untuk dilawati dan jenis-jenis makanan dan buah tangan yang boleh didapati. Pendeknya dalam apa yang dinamakan nasyid itu diambil kesempatan memperkenalkan imej dan identiti Kelantan.


Selepas Muktamar di sebelah petang dan selepas berlegar di ruang-ruang jualan membeli sehelai dua baju (lebih berkait dengan imej parti), kami releks dan round Bandar Kota Bharu sebelum berhenti minum di warung pilihan. Apa yang menarik perhatian dan aku tunjukkan kepada sahabat-sahabat,

"Lihat!" kataku, "Semua kedai dan bangunan mempamirkan nama bangunan atau syarikat dengan TULISAN JAWI bersama tulisan rumi. Amat menarik. Ianya mencerminkan identiti negeri dan identiti Islam."


"Yalah" jawab temanku, "Mungkin ianya diwajibkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu". Kata sahabatku.
"Sudah pasti", jawabku.
Bila singgah diwarung untuk minum petang dan merasai kuih-kuih Kelantan seperti akok, mee Kelantan dan nikbat, aku mengambil peluang merakam gambar-gambar papan-papan tanda kedai dan warung yang semuanya mempunyai tulisan jawi itu (kecuali beberapa bangunan Persekutuan yang sombong, degil dan tak ikut aturan negeri dan perbandaran!).

Semasa bermuktamar, kami tidak mempunyai masa yang panjang untuk membeli belah, tapi kami diingatkan, kalau ke Kota Bharu bagai tidak sah kalau tidak ke Pasar Siti Khadijah yang beridentiti Islam. Nama ini merujuk kepada Isteri Nabi Saydatuna Khadijah . Kalau mau ke Pasar Siti Khadijah, sebaik-baiknya dalam perjalanan pulang, kerana jika barang belian dari makanan dapat dielak dari basi dan jika buah dari buruk dan rosak.

Demikianlah sebelum pulang, pada sebelah petang (pasar banyak dengan barang dan ramai pengunjung sebelah pagi) kami singgah di Pasar Siti Khadijah. Sahabat-sahabat mau membeli kuih-kuih, serunding, keropok kering dan basah, manisan dan lain-lain. Sebelum ke pasar makanan, kami naik ke kedai kain dan pakaian membeli sehelai dua baju, songket dan kain untuk isteri. Untuk memilih baju batik yang berpoket agar sukar. Hampir semuanya tak berpoket. Aku tidak suka yang tak berpoket, kerana susah hendak dipakai pen dan meletak barang. Akhirnya diketemui juga, walaupun coraknya kurang berkenan (tak menarik).

Dari apa yang kami perhati ditempat lain, lebih-lebih lagi di Pasar Siti Khadijah dan kedai-kedai menjual kain, bahawa peniaga-peniaga di sini pada keseluruhannya adalah terdiri dari kalangan wanita. Mereka bergiat dan menjadi penyumbang utama dari segi ekonomi melalui perniagaan. Terfikir di dalam minda, kaitan dengan nama wanita bagi negeri Kelantan bukan setakat kerana tarikan daya kewanitaan, tetapi fungsi mereka di dalam ekonomi dan pembangunan. Nama Cik Siti Wang Kembang kemudian Siti Khadijah adalah pengiktirafan terhadap wanita dan imej ditingkatkan dari tokoh tempatan kepada imej tokoh Keislaman– Siti Khadijah Tokoh Peniga-Usahawan dan Isteri Rasulullah s.a.w.

Sekian.

1 comment:

  1. Salam, Saya Dr.Zulkifli bin Mohamad, aka Zubin Mohamad, sekarang berada di California untuk Anugerah Fulbright, mengajar di Fakulti Seni di sini. Saya senang sekali membaca artikel ini, terutama tentang orang Kelantan dan terutama sekali membaca tentang Wakaf, kebetulan saya sedang membuat penyelidikan tentang Wakaf!

    ReplyDelete