June 25, 2010

Kem Pemantapan Remaja Muslim 2010 Di Surau Al-Ikhlas

Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan, 4-5 Rajab =18-19 Jun (Jumaat-Sabtu):

Kem ini dianjur oleh pihak Surau Al-Ikhlas bagi membimbing remaja, khususnya dari kawasan Seksyen 4, Tambahan sempena cuti persekolahan. Seramai 70 remaja menyertai kem berkenaan. Kursus dipenuhi dengan aktiviti sembahyang waktu, tahajjud, duha, tadarrus al-Qur`an, tazkirah kenali diri, gotong royong, treasure hunt, ujian IQ, futsal, indoor game dan lain-lain. Mereka dibimbing oleh pembimbing-pembimbing tempatan yang berpengalaman.


ADNS Bangi dijemput pada malam akhir bagi majlis penutup mulai dari sembahyang maghrib berjamaah. Tamu kehormat yang dijemput pada malam ini bagi menyampaikan kuliah Maghrib ialah Ustaz Ramli Sidon Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau, Negeri Selangor. Hadir bersama di dalam Majlis Penutup ialah Pengerusi Surau Tuan Haji Othman Omar, Timbalan Pengerusi Saudara Haslin, Imam Surau Ustaz Anas, Pengarah Program Tuan Haji Zakaria Abdul Hamid, Fasilitator Saudara Khairul Hafiz, peserta-peserta dan ibu bapa.

Tuan Haji Zakaria dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih kepada tamu-tamu jemputan ADNS Bangi dan Tuan Haji Ramli Sidon yang sudi hadir. Menurut Tuan Haji Zakaria Kem Remaja ini adalah merupakan julung-julung kali diadakan dan al-hamdulillah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar-pelajar. Tujuan diadakan Kem Remaja ini ialah bagi mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni dan mendekatkan diri mereka dengan surau.


Waktu selepas sembahyang maghrib diisi dengan tazkirah yang disampaikan tamu jemputan – Ustaz Ramli Sidon. Beliau menekankan perlunya mendidik anak-anak dengan nilai-nilai keislaman. Anak-anak sekarang terdedah kepada berbagai-bagai gejala yang negatif. Tidak ada benteng yang dapat menghindar mereka dari tercebur ke dalam nilai-nilai negatif, melainkan berpegang kepada nilai-nilai keagamaan. Beliau menyebut berdasarkan maksud Hadith Rasulullah, bahawa pada akhir zaman umat Baginda ramai, tetapi ramainya mereka seperti buih-buih, tidak berkualiti. Sebab itu adalah tugas semua pihak memberi perhatian dan didikan kepada anak-anak, supaya mereka terpelihara dari gejala-gejala yang negatif dan menjadi rakyat yang berguna.


Majlis disambung selepas menunaikan fardhi Isyak . Dalam ucapan penutupnya ADNS Bangi memuji pihak AJK Surau yang mengambil inisiatif mengadakan kem remaja di Surau al-Ikhlas. Sesungguhnya surau atau masjid, bukanlah semata-mata untuk tempat ibadat khusus, tetapi juga sebagai institusi pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Beliau mengucap tahniah di atas kejayaan AJK bukan saja menarik peserta, tetapi juga ibu bapa hadir sama ke majlis penutup dan juga program-program yang dianjurkan sebelum dari ini.

Beliau menekankan anak-anak hendaklah mementingkan ilmu dan akhlak. Menurutnya beliau tidak jemu-jemu mengulang dan mengingatkan bilamana berdepan pelajar di Bangi, bahawa Bangi adalah tumpuan pelajar-pelajar dari dalam dan luar negera datang mencari ilmu. Anak-anak yang tinggal di BBB adalah bertuah, kerana berada di dalam kawasan dan suasana ilmu. Tetapi berada saja tidak cukup, kita semestinya bersama-sama bersungguh-sungguh menimba ilmu, sepatutnya melebihi dari ibu bapa yang berjaya di sini dan melebihi dari pelajar-pelajar yang datang belajar di sini. Anak-anak adalah pelapis dan pengganti masa hadapan. Harapan ini tidak dapat dicapai kecuali anak-anak bersungguh-sungguh belajar dan menjaga akhlak dan peribadi.

Selepas ucapan penutup ADNS Bangi, anak-anak menunjukkan kemahiran mereka bernasyid dan berkompang. Hadiah-hadiah kepada peserta disampaikan oleh Pengerusi Surau al-Ikhlas Tuan Haji Othman Omar, Ustaz Ramli Sidon dan ADNS Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment