June 10, 2010

Muktamar Ke 56: Persediaan Menghadapi Perubahan

BBB, 26 J. Akhir = 9 Jun (Rabu):

Muktamar PAS Ke 56, di PUTIK, Kota Bharu berlangsung pada hari Jumaat 11 Jun. Semua perwakilan dijangka tiba di Kota Bahru pada hari Khamis sehari sebelum muktamar bagi mengikuti Ucapan Dasar dari Presiden dan Perasmian pagi Jumaat itu dan muktamar berterusan hingga 13 Jun.

Kalau Muktamar ke 55 di Shah Alam pada tahun lepas lebih kepada "Memperbaiki Kekecohan & Memperbetulkan Haluan" disebabkan oleh ijtihad dari segi pendekatan dan kesan pertandingan, maka apakah fokus dan harapan dari Muktamar ke 56 di Kota Bharu kali ini? Dapat dikatakan tiada kekechohan di dalam PAS selepas Muktamar di Shah Alam. Pihak media nampaknya kehilangan modal bagi melaga-lagakan kepimpinan. PAS pada hakikatnya makin mantap dan diyakini, termasuk oleh yang bukan Islam, khususnya melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. Kerajaan-kerajaan Pakatan di bawah PAS tidak tergugat, bahkan mantap.

Lantas apakah amanat yang diharap dari Muktamar ke 56 di Kota Bharu? Muktamar ini pada hakikatnya lebih kepada persediaan menghadapi cabaran dan perubahan, khususnya persediaan menghadapi pilihanraya. Persediaan bererti juga menilai kemantapan PAS, sejauhmanakah kemampuan PAS melaksanakan amanah yang telah diberi, terutama memerintah negeri yang diberi amanah bersama pakatan. Pandangan dari luar, kelihatan biasa, bahkan kurang dari slogan-slogan diungkapkan yang dulu sering diulang "Membangun Bersama Islam" dan jika di Kelantan tempat bermuktamar sekarang "Serambi Mekah" sebagaimana di Selangor "Merakyatkan Ekonomi". Kita kurang mendengar slogan-slogan dari Kedah dan juga Pulau Pinang. Mungkin perkara sedemikian dianggap tidak perlu. Tiadanya konflik, tidak boleh dikatakan baik. Kadangkala adanya konflik yang mengocak suasana dan menarik perhatian rakyat dapat menguji kepimpinan sejauh mana bijaksananya di dalam menyelesaikan konflik hingga mempesonakan rakyat, lantas makin mengukuhkan kepimpinan dan pemerintahan. Walaupun tanpa konflik, setakat ini PAS dapat menampil dan mengekalkan "Watak Ulama" yang serba sederhana dan kepimpinan yang amanah yang meyakinkan rakyat dari semua kaum. Ada percubaan merosakkan imej ketokohan dengan mengaitkan masalah luaran, tetapi setakat ini gagal dan tidak menjejaskan reputasi kepimpinan.

Tetapi kemantapan parti dan kepimpinan tidak boleh bergantung harap pada kepimpinan perseorangan dan kelompok semata-mata. Berpolitik dan memerintah adalah bersifat organisasi. Bagaimana prestasi kepimpinan tertinggi parti? Dapat dikatakan berjalan dengan baik. Mereka dapat mengendali dan mengeluarkan pendapat dengan jelas dan jitu berhubung dengan isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Adapun berhubung dengan kepimpinan kawasan-kawasan yang dimenangi baik pada peringkat Parlimen, mahupun di DUN, walaupun ada panduan, tetapi boleh dikatakan terpulang pada pendekatan dan kreativiti pemimpin setempat bersama kawasan dan cawangan. Pokoknya rakyat sedang menilai prestasi semua pihak dari peringkat tertinggi membawalah kepada peringkat akar umbi. Rakyat juga sedang meneliti dan menilai prestasi kerjasama antara parti di dalam Pakatan Rakyat. Rakyat juga memerhati sejauhmanakah berjayanya formula membawa penyokong-penyokong bukan Islam ke dalam sayap Dewan Himpunan Penyokong tanpa menjejaskan reputasi dan kemurnian PAS itu sendiri serta dapatkah PAS memberi kepuasan bagi mereka meyakini sebagai sebahagian dari PAS atau bagaimana. Jika semuanya lulus, maka peluang lebih cerah bagi PAS meningkatkan sokongan dan menambahkan kekuatan.

Sesungguhnya masa berlalu, separuh perjalanan direntasi, tempoh menghadapi pilihanraya makin mendekat. Realiti yang dihadapi, kerja-kerja yang dilakukan, prestasi, tuntutan-tuntutan dan harapan-harapan akan dikemuka dan dibincang di dalam muktamar. Lebih dari itu sejauhmanakah persediaan menghadapi pilihanraya, strategi dan kerjasama-kerjasama akan menjadi sebahagian dari perbincangan. Perwakilan-perwakilan dari negeri-negeri akan dengan lantang mengemukakan fakta dan hujah yang menuntut kepimpinan menjawab, selepas ucapan dasar disampaikan. Menyedari kekuatan dan kelemahan, khususnya dari apa yang dikemuka dan dibincangkan di dalam muktamar adalah merupakan ingatan, kritikan, panduan dan tindakan yang perlu diambil di dalam gerakerja bagi mengukuhkan kedudukan PAS di dalam percaturan politik tanahair.

Di dalam mendepani perkembangan politik semasa, musuh politik Pakatan, iaitu BN sedang bertungkus lumus memperbaiki prestasi BN dan komponan di dalam BN itu sendiri. Statistik demi statistik dikemukakan tentang indeks prestasi kepimpinan dan kejayaan pentadbiran, tetapi kelemahan demi kelemahan mereka juga didedahkan oleh Pakatan. Walau bagaimana Pakatan boleh dikatakan lega masih mendapat sokongan dari kalangan pengundi-pengundi Cina, kerana dasar BN dan kelemahan-kelemahan yang ada di dalam MCA. Pengundi-pengundi India masih boleh diyakini menyokong Pakatan, apa lagi jika Samy Vellu masih memimpin MIC, penduduk asal di Sabah dan Sarawak diharap menerima angin perubahan yang diharap akan mengubah landscape politik di kedua-dua negeri itu. Tetapi kepada orang Melayu yang menjadi tunjang bagi PAS dan Umno menuntut pendekatan yang amat hati-hati. Mereka sedang memerhati dan menilai untung rugi keberadaan di salah satu dua pihak. Umno menyedari hal ini dan mengexploitasi isu agar berpihak kepada mereka. PAS harus menunjukkan kemampuan membela orang Melayu, di samping rakyat keseluruhan hingga orang Melayu meyakini lebih baik bagi mereka bersama-sama kemurnian perjuangan PAS. Parti yang lain juga seharusnya hati-hati di dalam membuat desakan agar tidak menjejaskan sokongan begitu juga sebaliknya. Pada umumnya senario politik kini masih berpihak kepada Pakatan, tetapi peringatan penting bagi PAS, dalam usaha menarik sokongan orang bukan Melayu, jangan sampai menjejaskan sokongan orang Melayu, bahkan perlu dipertingkat dari sokongan orang Melayu yang menjadi base utama. Inilah antara scenario politik dan cabaran dihadapi PAS. Bagi meningkatkan sokongan rakyat memerlukan formula segar dan memikat, wujudnya isu hangat dan kepimpinan dari Pakatan yang mampu menyelesaikan permasalahan yang menampakkan pembelaan terhadap rakyat.

Walau bagaimana, muktamar adalah persidangan tertinggi parti PAS. Apa yang dikemukakan di dalam muktamar baik pada peringkat tertinggi membawa kepada perwakilan-perwakilan adalah sesuatu yang disediakan secara teliti setelah dipertimbang semasak-masaknya. Perwakilan tidak bercakap sembarangan, pandangan yang diutarakan adalah secara perwakilan, sebab itu kita percaya sebagai puncak persidangan dan yang bercakap adalah secara teliti banyak pandangan, fikiran bernas dan rumusan-rumusan jitu dapat dicapai, insya Allah bagi panduan gerak kerja dan persediaan menghadapi perubahan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment