June 23, 2010

GMI: Lawatan Ke Satu Daripada Kemegahan Bangi Dengan Pengajian Tinggi

Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi, 09 Rajab = 22 Jun (Selasa):


Bangi Bandar Ilmu adalah slogan mesra dan intelektual yang sering kami ungkapkan bagi memprojek dan mempopularkan Bangi. Sekadar menyebut Bangi Bandar Ilmu tanpa pengisian kurang impaknya pada masyarakat. Memahami pengajian-pengajian tinggi yang ada di Bangi dan sekitarnya bersama dengan kegiatan yang menyerlahkan Bangi Bandar Ilmu adalah antara pendekatan. Justeru di samping kegiatan-kegiatan yang telah dilakukan seperti seminar, diskusi buku, wacana ilmu, forum, kuliah ilmu, pameran dan sebagainya – sebahagian daripadanya kerjasama dengan Persatuan Penduduk, antara pendekatan yang kami ambil ialah menziarah institusi-institusi pengajian tinggi di Bangi dan sekitarnya. Ziarah hari ini ke German Malaysian Institut (GMI) adalah merupakan lanjutan ziarah-ziarah yang kami lakukan sejak akhir 2009 lepas.


Dalam kunjungan ke GMI pagi ini kami dijemput ke Bilik Mesyuarat GMI yang dihadiri oleh Ybhg. En. Yusoff Md. Sahar Managing Director GMI, En. Abrar Baharudin dan beberapa kakitangan GMI yang turut sama. Manakala dari pihak ADNS Bangi terdiri dari antaranya Sdr. Shahrum, En. Abdul Hadi Ketua Kg. Sungai Tangkas, Amir, Pn. Sakinah, Hidayah, Haslina dan Fahmi.

Dalam Taklimatnya En. Yusoff menerangkan, GMI mula ditubuhkan sejak 1980an ketika Negara berhasrat menjadi Negara Industri dan teknologi German menjadi pilihan terawal dan ditingkatkan pada 1992 kepada institusi pengajaran bertempat di Shamelin, Cheras dengan Pengarah Pertamanya dari German iaitu George Wenzer yang berkhidmat selama 7 tahun. Tujuh orang expatriate German berkhidmat buat permulaan di GMI bersama dengan tenaga-tenaga tempatan semasa di Shamelin, Cheras. GMI ditubuhkan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir di Malaysia bagi memenuhi keperluan industri pada zaman Dr. Mahathir dan bagi memenuhi keperluan tanaman modal dari luar bagi Malaysia mencapai kemajuan pada tahun 2020. Kerjasama dengan German berlaku pada zaman Canselor Hermold Kohl dilihat memberi peluang bagi Malaysia meningkatkan keperluan teknikal dan elektronik. Melalui kerjasama dua pihak, maka sebuah Lembaga Pengarah diwujudkan. Mereka adalah terdiri dari pihak mewakili Kerajaan, Sektor Awam. Amanah Rakyat, Wakil Industri, Perwakilan dari Kedutaan German di Malaysia dan dari Unit Perancangan Ekonomi. GMI ini berikutnya terletak di bawah rangkaian Universiti Kuala Lumpur di bawah kelolaan MARA.


Pertambahan pelajar dan keperluan kepada tapak yang lebih luas dan sumperna membawa GMI berpindah ke Bangi beberapa tahun yang lepas. Kampus GMI yang terletak di Sungai Tangkas bersebelahan UKM adalah seluas 75 ekar. Kini GMI menawarkan program-program:

  1. Diploma in Industrial Electronics (Mechatronics)
  2. Diploma in Industrial Electronics (Process Instrumentation & Control)
  3. Diploma in Industrial Electronics (Electronics & Information Technology)
  4. Diploma in Network Security
  5. Diploma in Production Technology (Tool & Die Technology)
  6. Diploma in Production Technology (Mould Technology)
  7. Diploma in Product Design & Manufacturing
  8. Diploma in CNC Precision Technology

(Program Diploma adalah selama tiga tahun sepenuh masa dan pengambilan adalah pada setiap Januari & Julai dari lepasan SPM, Sijil Teknikal, STPM dan Lepasan Matrikulasi atau Pra-Diploma. Yuran pengajian dianggap tidak tinggi di samping subsidi dari Kerajaan.

Program PRA- Universiti

Program persediaan A Level ke German (GAPP) hanya ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Pelajar akan mengikuti program persediaan ini selama 20 bulan di GMI sebelum melanjutkan pengajian ke University of Applied Sciences (UAS) atau Fachhochschute di German. Mereka dibiayai oleh pihak Kerajaan. Pengambilan adalah setiap Julai.

Kini GMI mempunyai 5 jabatan yang terdiri dari:

  1. Jabatan Industri
  2. Pentadbiran Kewangan dan Hal Ehwal Pelajar
  3. Pusat Pembangunan Sumber
  4. Jabatan Jaminan Kualiti
  5. Pembangunan Guru Dan Sistem Pengurusan

GMI mempunyai lebih dari 2,400 pelajar dengan 155 tenaga pengajar dan 123 tenaga pekerja. Bila berkembang sepenuhnya GMI mampu menerima sehingga 5,000 pelajar.
Pengajian di GMI adalah secara teori dan amali - con-current dan memberi penekanan dari segi kualiti tinggi dan bertaraf global. Mereka dilatih berdikari, innovatif dan kreatif. Pelajar yang keluar dari GMI tidak bermasalah untuk mendapatkan pekerjaan. Mereka boleh bekerja di syarikat-syarikat German di Malaysia yang berjumlah lebih dari 400 syarikat. Mereka juga boleh bekerja di syarikat-syarikat yang lain atau membuka pekerjaan sendiri.


Pihak GMI – Encik Yusoff mengemukakan beberapa permaslahan yang dihadapi oleh GMI seperti Cukai Pintu yang dikira (rate) swasta melibatkan jumlah bayaran tahunan yang tinggi, masalah kekurangan air dan juga dikira sebagai industri yang menyebabkan bayaran tinggi pemasangan paip oleh Syabas yang masih belum sempurna. Keengganan pihak MPKj menerima penyerahan jalan-jalan masuk dibina GMI menyebabkan GMI menanggung kos maintenan, masalah pemasangan api jalan, pembinaan bumper oleh pihak tertentu, papantanda tunjuk arah di jalan masuk yang berkecamuk dan jalan masuk di hadapan komuter UKM yang sering sesak, masalah anjing liar, perkhidmatan Rapid KL yang masih belum mantap, banjir kilat dan jalan keluar yang tidak sempurna.

Turut ditimbulkan kemungkinan kerjasama dari segi industri pihak kerajaan negeri dengan GMI, terutama penghasilan bahan industri bagi kilang-kilang di Selangor, penyelidikan dan tawaran dari Kerajaan Selangor penghasilan bagi keperluan industri. ADNS juga menyebut peluang pinjaman/biasiswa bagi anak Selangor yang belajar di GMI.

ADNS Bangi juga timbulkan cadangan untuk mengadakan konvensyen "Memperkukuhkan Bangi Bandar Ilmu" dan mendapat kerjasama dari GMI seperti sama membentang kertaskerja, menyertai pameran dan mendapat kemudahan ruang seminar, kemungkinan menghantar pelajar-pelajar tajaan bagi mengikuti kursus jangka pendek dan tawaran ADNS untuk pelajar-pelajar melengkapkan ko-korikulum dengan melibatkan diri dengan kerja-kerja kemasyarakatan di kawasan DNS Bangi.

Selepas taklimat dan perbincangan kami dibawa melawat ke makmal-makmal teknologi dan elektronik. Misalnya bagaimana mengeluarkan bahan ubatan, kosmetik dan wangian dari daun-daun pilihan, mempattern bahan-bahan penghasilan, menghasilkan fius dan pengawalan letrik, merekacipta kerusi dan katil pesakit yang dapat digerak secara letronik dan sebagainya. Semuanya direkacipta oleh pelajar-pelajar secara kelompok dan individu. Penghasilan mereka dinilai oleh kelompok penilai yang kadang-kadang dijemput dari penilai luar agar penilaian lebih objektif, bebas dan terbuka.

Kami bermegah dengan GMI, diharap kekal berprestasi tinggi dengan keluaran berkualiti.

Sekian.

No comments:

Post a Comment