Pagi ini sebelum bertolak ke Kota Bharu untuk menghadiri Muktamar, ADNS Bangi sempat menghadiri Taklimat Projek IKS (Industri Kecil-Sederhana) oleh pihak SME Bank (Small-Medium Economy) di Tapak Projek di Seksyen 16, berdekatan dengan Ibu Sawat Telekom BBB dan juga bersempadan dengan Kilang Hitachi.
Sebagai ADNS Bangi, kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada SME Bank kerana memilih Bangi sebagai salah satu kawasan menempatkan IKS bagi kepentingan penduduk di sini. Sebenarnya ini merupakan IKS kedua di bawah kawasan Dewan Negeri Selangor – Bangi. Sebuah lagi yang juga di dalam pembinaan ialah terletak dibelakang Stesyen Shell Jalan Masuk dari Sungai Ramal Luar ke Sungai Ramal Dalam. IKS di sini khusus bagi Industri Halal Product. Manakala IKS di BBB ini bagi berbagai usahawan. Di Selangor setakat ini IKS telah didirikan di Batu Cave, Gombak, Sunway Petaling Jaya dan di Shah Alam. Sekali lagi terima kasih kerana menempatkan dua buah IKS di Kawasan Dewan Negeri di Bangi.
Pertemuan pada pagi ini (jam 10.30 pagi), bagi memberi taklimat, terutama bagi penduduk, Seksyen 16, khususnya penduduk rumah-rumah pangsa berdekatan yang mungkin terganggu dengan didirikan IKS di sini. Turut dijemput pagi ini selain dari ADNS Bangi, YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin, AJK Surau al-Istiqamah dan Surau al-Falah. Hadir dari pihak IKS ialah Encik Shahdan selaku Pengurus IKS, En. Rizal dari AIMA Development Sdn. Bhd, Encik Zariman dari pihak Prisma Athira Architect, Ir. Mz Perunding IRMZ. ADNS Bangi diberi penghormatan mempengerusikan pertemuan.
Dari maklumat disediakan bahawa di atas Lot PT. 70839 (Lot Lama PT 10620), Taman Perusahaan IKS Seksyen 16 BBB, seluas 5 ekar ini akan diririkan 15 unit bangunan industri yang terdiri dari:
- Teres IKS dua tingkat - 11 unit
- Berkembar dua tingkat - 4 unit
Bangunan-bangunan ini bukan untuk dijual (Pemilik SME Bank yang ditubuh Kerajaan ), tetapi untuk disewa secara subsidi bagi melatih bakal-bakal para usahawan selama 5 tahun di sini – tempoh ini dianggap pelatih-pelatih usahawan mulai berdaya maju. Selepas tempoh ini usahawan muda ini akan keluar mencari tapak perusahaan sendiri dan tempatnya diganti oleh pelatih usahawan yang lain.
Apa yang membimbangkan penduduk akan berlaku pencemaran bunyi, udara dan pencemaran fizikal. Tetapi menurut En. Shahdan latihan perusahaan di sini adalah bersih dari asap, bunyi dan habuk. Tumpuan industri kepada yang minimum dari segi pencemaran seperti percetakan, pengeluaran makanan, jahitan, tenunan dan sebagainya. Oleh kerana jalan ke perumahan sempit, penduduk meminta agar dilebarkan jalan untuk mengelak dari kesesakan. Mereka meminta pihak industri mempastikan tidak ada kenderaan di parking di jalan berhampiran dengan kediaman. Mereka tidak mau ada kotoran dan sampah dari hasil industri berlonggak berhampiran kawasan mereka. Mereka juga tidak mahu ada pintu di sebelah kawasan perumahan dan di antara kawasan industri dan perumahan hendaklah ada buffer zon yang seluas 40 kaki dan ditanam pokok-pokok untuk menyerap bunyi dan melindung pandangan.
Kita dimaklumkan bahawa model IKS antaranya diambil hasil dari lawatan ke India yang melihat antaranya memberi latihan menenun kain yang menjadi perusahaan kecil di rumah penduduk. Mereka dilatih dengan cara yang lebih sistematik dengan diberi bantuan peralatan dan modal hingga menjadikan perusahaan mereka berdaya maju. Setakat ini menurut En. Shahdan IKS dapat berbangga dengan kejayaan usahawan-usahawan yang dilatih oleh IKS seperti Perusahaan Ramli Burger, Perusahaan HPA, Minuman Tongkat Ali (kini mengatasi perusahaan gingseng, kerana kesan segeranya berbanding ginseng perlu menggunanya agak lama bagi memberi kesan), Perusahaan Pengangkutan Bus Sunny Express. Bidang perusahaan berdaya maju, menurut En. Shahdan adalah dalam lima bidang, iaitu:
- 1) Halal Product
- 2) Product Kesihatan
- 3) Education Line
- 4) Sawit Base
- 5) Medical Line
Contoh dengan halal product pemasaranya meluas ke seluruh dunia dan kini Malaysia menjadi hub bagi Halal Product. Potensi perkembangan amat luas, contoh product kesihatan seperti perusahaan berasaskan herba, permakanan dan peralatan bagi melangsingkan badan yang memang ramai mereka yang tergila-gila untuk melangsingkan badan untuk kelihatan cantik. Perusahaan yang melibatkan education memang amat berpotensi di Bangi sebagai Bandar Ilmu seperti penerbitan dan penghasilan buku dan modul-modul untuk pelajaran, Sawit base banyak dapat diteroka seperti bagi bahan-bahan makanan dan industri kecantikan, terutama bagi wanirta-wanita dan Medical Base, bahan-bahan yang berhubung dengan ubat-ubatan memang diperlui oleh semua, khususnya ubat-ubatan dan rawat-rawatan.
Dengan penerangan yang diberi semua pihak nampaknya tertarik dan melihat IKS menyediakan latihan yang membuka ruang bagi pengusaha-pengusaha muda termasuk siswazah muda yang baru keluar dari universiti. Mereka disediakan skim latihan khas dan latihan dan bimbingan bagi mereka boleh melebihi dari 5 tahun. Pilihan IKS di Bangi adalah antaranya bagi memberi ruang siswazah-siswazah mencebur diri dalam bidang keusahawanan.
Hasil dari pertemuan adalah diminta dari pihak SME-IKS memberi keutamaan latihan kepada penduduk kawasan Bangi yang berkelayakan, juga peluang-peluang pekerjaan juga diberi keutamaan pada penduduk tempatan.
Hasil dari lawatan yang dibuat pada pagi ini (Isnin – 14 Jun), pembinaan bagi Hub Halal di Sungai Ramal Luar ke Jalan Sungai Ramal Dalam sedang rancak berlaku. Projek Hub Halal Pertama di Malaysia ini berharga RM10.5 juta dan dijangka siap pada tahun 2011. Menurut Encik Mustafa Pengawas tapak pembinaan. Bangunan di Sungai Ramal ini terdiri dari:
- 12 Unit Kilang
- 01 Kantin & Bilik Mesyuarat
- 01 Surau
- 02 Rumah Sampah
- 01 Pencawang Letrik
- 01 System Treatment Plant
- 01 Sewage Pond
IKS – Hub Halal di Sungai Ramal juga diharap memberi peluang latihan kepada usahawan tempatan, di samping juga peluang-peluang pekerjaan.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment