September 23, 2010

Aku Juga Sepertimu Turut Terpercik Gerimis Rindu

Melihat kafilah yang pulang
Aku juga digetar kerinduan
Tapi untuk mencari waktu kekosongan
Pulang ke akar turunan
Melepaskan rindu dan ingatan
Mengeratkan kembali kasih sayang
Untuk beberapa hari cuma
Tanpa program harian
Tidak mudah kedapatan
Cuma di awal Syawal ini
Ketika Bandar Baru Bangi Sunyi
Dari penghuni yang pergi
Inilah ruang peluang istirahat
Bersama sunat Syawal ibadat
Pada penghujungan kumengintai
Peluang pulang berkunjungan
Berhari Raya Enam.
Setelah berpakat dari kejauhan
Dengan waris warah terdekat
Untuk mengadakan Jamuan Pertemuan
Dan jemputan seramai jurai turunan
Maka pada petang Raya Enam itu
Aku dan keluarga anak menantu
Mengukur jarak perjalanan
Bersama gerimis rindu berguguran
Bangi ke Paka destinasi bermalam.

Berlokasi di laman rumah pesaka ninda
Sejak dari pagi Raya Enam itu
Berhimpun dan terus tiba sanak saudara
Dari berbagai jurai turunan
Sejauh Kebul, Banggol Peradun, Pulau Rusa
Di Kuala Terengganu
Pulau Serai, Gong Pasir dan Sura
Di Dungun
Kg. Nyiur, Pinang Merah, Limbongan
Di Paka
Ribuan berhimpun di Tebing Tembah
Rumah tua rumah pesaka
Beramai-ramai bergotong royong
Yang lelaki melapah dan menyiang daging
Yang perempuan menyedia berbagai rempah

Yang muda mengangkat ges, tuku dan periuk
Memasak sop ala singgang tanpa santan
Anak gadis di bahagian dalam
Memotong sayur dan menumbuk belacan
- berasam putik mempelam
berjam kawah dan periuk bergilir dikacau
diikuti nasi ditanak seiring lauk masak
kemudian sepasukan menyediakan tempat
peralatan, mengatur meja jamuan
menyusun kerusi di bawah khemah pertemuan
jam 11.00 pagi majlis tak rasmi bermula
semua yang hadir dijemput makan
nasi berlauk sop, sayur, ulam belacan
sebelum tibanya Jumaat selepasnya perasmian.
Jam 3.00 Majlis Perasmian bermula
Sambil jamuan diteruskan bagi yang belum makan
Acara lebih bersifat santai – Penerusan program pertama 2008
Di hadapan keluarga-keluarga paling tua
Dari Pak Saudara, Mak Saudara dan wakil-wakil
Bertujuan berkenalan waris mengeratkan hubungan
Mencatat nama, alamat dan nombor hubungan
Untuk disimpan dalam Bank Maklumat Keluarga
Mudah dihubungi jika ada keperluan atau jemputan
Membuat pertemuan keturunan di perantauan
Yang bercakap semuanya memuji pertemuan
Harap diteruskan secara dwi-tahunan
Majlis diseri dengan cabutan bertuah
Tapi kutambah dengan sedikit pandangan
Pertemuan jangan sekadar datang dan makan
Perlu diperluas dengan mewujudkan
Badan Kebajikan atau lebih besar bersifat yayasan
Hajah Pani + Haji Abdul Rahman (HAPHAR)
Menjaga kepentingan turunan dan masa depan
Dirangka keturunan pakar dan golongan terpelajar
Membangun ekonomi menghimpun dana kebajikan
Mewujud peluang pekerjaan membantu menyambung pelajaran
Sebaiknya ada sebuah Wisma HAPHAR mengendali kegiatan
Betul-betul berada di kawasan strategi – Paka
Tempat bersumber gas dan petroleum Negara
Bahawa keturunan tidak ketinggalan meraih kemajuan.
Tiga hari dalam rangka kunjungan
Berkesempatan bukan saja pertemuan
Tapi menziarah pusara turunan
Mengunjungi rumah penghuni keuzuran
Dan kawan-kawan lama tiada ketemuan
Membeli sedikit sebanyak buah tangan
Meskipun kunjungan sekejap cuma
Cukup meringan beban ingatan
Bersama daun-daun rindu berguguran
Ditiup angin dari pantai laut putih memanjang
Indahnya negeri di sini bermulanya cinta bersemi.
Shafie Abu Bakar,

Paka,
08 Syawal 1431
17 September 2010.

1 comment:

  1. Alhamdulillah...
    mengimpikan pertemuan sebegini juga...

    ReplyDelete