Seksyen 8 – Fasa 2, BBB, 21 Ramadhan = 31 Ogos (Selasa):
Semua pihak berlumba-lumba membuat kebajikan pada bulan Ramdhan – Bulan Berkat, Diganda Pahala Berlipat. Amal kebajikan ini bukan saja dilakukan oleh individu, institusi, NGO, bahkan oleh Badan Korporat dan Kewangan.
Demikianlah pada hari ini Bank Islam Malaysia memilih Surau Ar-Rahim, Fasa 2. Seksyen 8 Bandar Baru menjalankan amal kebajikannya di sini dengan kerjasama surau mulai jam 3.30 petang dengan acara seperti pertandingan Hafazan dan Tadarrus Segera di kalangan sejumlah pelajar-pelajar tahfiz bersama jamaah di sini dan sembahyang berjamaah sejak dari solat Asar.
ADNS Bangi dijemput hadir mulai jam 6.00 petang bagi merasmikan Majlis Iftar Jama`I bersama-sama penduduk Fasa 2, Seksyen 8 dengan pegawai-pegawai Bank Islam, AJK Surau dan para jemputan. Mereka antaranya Encik Abdul Rahman bin Ali Assistant Manager Head Office Bank Islam, Puan Rosmawati Mohd Zain Ketua Cawangan Bank Islam, Bandar Baru Bangi dan pegawai-pegawai. Pemimpin Surau pula ialah Tuan Haji Shahrum bin Haji Hussein Pengerusi Persatuan Penduduk, Imam Surau Tuan Haji Rusli Ahmad & AJK-AJKdan Pentazkirah – Ustaz Shauqi. Manakala tamu-tamu pula ialah Tuan Haji Mohd Ghazali Abbas, Pengerusi Surau An-Nur BBB, Dr. Maimon dari Fakulti Islam UKM, pelajar-pelajar UKM dan pelajar-pelajar dari Universiti Pertahanan Negara Malaysia. Mereka berjumlah 300 orang.
Fasa Kedua ialah acara Iftar Jama`I yang bermula dengan bacaan al-Qur`an dari seorang pelajar diikuti dengan ucapan-ucapan bermula dengan ucapan oleh Pengerusi Persatuan Pendduk Tuan Haji Shahrum yang mengucap terima kasih terhadap Bank Islam yang memilih Surau Ar-Rahim sebagai anak angkat bagi kegiatan Bank Islam dan memperuntukkan kewangan sejumlah RM10,000 bagi kegiatan di sini. Beliau juga berterima kasih kepada tamu-tamu kehormat dan sekalian hadirin bagi menjayakan majlis, manakala Assistant General Manager – Encik Abdul Rahman memberitahu pihak Bank memilih surau dan kawasan di sini, kerana penduduk di sini banyak membuat urusan dengan Bank Islam – termasuklah urusan pembelian rumah di sini. Pada hari ini kita juga menjalankan aktiviti-aktiviti booth Bank Islam yang membolehkan sesiapa yang mau membuka akaun dapat membukanya di sini.
ADNS Bangi dalam ucapannya memuji pihak Persatuan Penduduk dan Surau Ar-Rahim yang dapat menarik Bank Islam mengadakan kegiatannya di sini. Sebenarnya ini adalah salah satu aktiviti yang dijalankan oleh Surau dan Persatuan Penduduk di sini yang memangnya aktif. `Ini yang berbetulan yang saya hadir. Tentu banyak lagi kegiatan yang dibuat yang saya tidak hadir`, katanya. Menurutnya, Surau pula mengekalkan hubungan dengan pihak yang mereka telah adakan kerjasama. Misalnya pada hari ini ada pelajar-pelajar dari UPNM yang saya sendiri pernah hadir semasa kehadiran pertama mereka hampir setahun lalu mengadakan kegiatan di sini. Tentulah kegiatan dengan Bank Islam ini akan dikekalkan pada masa akan datang yang akan memberi faedah kepada kedua belah pihak, tapi jika Bank Islam memerlukan banyak tempat lagi untuk mengadakan kegiatan di sekitar DNS Bangi tidak menjadi masalah, kerana kita mempunyai banyak lagi tempat yang boleh kita tawarkan kepada Bank Islam. Cuma tak pasti sejauh mana penduduk berurus dengan Bank Islam. Kita harap kerjasama antara Surau Ar-Rahim bukan saja memberi faedah kepada Bank Islam dan Surau, terutama mereka yang menerima bantuan, lebih-lebih lagi faqir-miskin. Semoga dengan doa mereka dan doa kita semua Bank Islam akan lebih berkembang dan maju.
Selepas menunaikan fardu maghrib, tazkirah ringkas disampaikan oleh Ustaz Shauqi dan penyampaian hadiah dan cenderamata dilakukan oleh ADNS Bangi yang memohon diri selepas itu, kerana mempunyai program di tempat yang lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment