Malam terakhir Ramadhan ini adalah kosong dari catatan Jadual ADNS Bangi, kerana tiada Masjid-Surau mahu menempahnya, kerana menganggap mana-mana masjid atau surau mulai kurang dari jamaah dan jika dijemput ADNS Bangi hadir mungkin kurang sesuai kerana kekurangan jamaah. Biasanya juga bila yang bertanya tentang kekosongan masa, bagi yang belum menetapkan jadual atau tidak termasuk di dalam jadual, maka ADNS Bangi menawarkan tarikh 29 Ramadhan. Biasanya mereka menolak dengan alasan lewat dan ketiadaan orang.
Walau macam mana ADNS Bangi sejak beberapa hari lepas membuat ketetapan akan berkunjung ke Surau Al-Ehsan, Seksyen 2 BBB secara bersendirian – tanpa pengiring. Sebagaimana pada peringkat permulaan Ramadhan ADNS Bangi memilih malam kedua, selepas pertama di Surau sendiri (al_Umm BBB) ke Surau Ittihad. Surau ini dekat dengan kediaman ADNS, maka kali ini sebagai malam akhir Ramadhan ADNS memilih surau yang dekat, tetapi tak termasuk di dalam jadual besar pergerakan ADNS Bangi dalam bulan Ramadhan, iaitu Surau Al-Ehsan.
Kehadiran ADNS sebelum tiba waktu Isyak agak mengejutkan, kerana memang tiada maklumat disampaikan. Kehadiran dialu-alukan oleh Pengerusi Surau, iaitu Profesor Dr. Abdul Rahim Samsudin, Setiausaha Cikgu Khairul, Imam Dr. Ismail Ahmad dan Imam tarawih pada malam ini Ustaz Asri Lubis dan AJK-AJK yang lain. ADNS Bangi diberi penghormatan mengimami solat Isyak dan bertazkirah ringkas selepasnya berhubung, `Ramadhan Kaitan Hubungan Dengan Allah dan Manusia.`
Selepas menunaikan witir ADNS Bangi dipertunjukkan oleh Profesor Dr. Abdul Rahim bersama dengan AJK tentang sebuah buku yang pertama kali diterbitkan oleh Surau Al-Ehsan, iaitu, ``Siri Khutbah Idul Fitri - Idul Adha Surau Al-Ehsan 2005 – 2009. Perlu dimaklumi, walaupun Surau Al-Ehsan adalah sebuah surau yang agak besar dan lengkap, tetapi surau ini tidak didirikan Jumaat, kerana kedudukan surau ini berdekatan dengan Surau An-Nur yang memang mendirikan solat Jumaat. Walau macam setiap kali raya sama ada Idul Fitri dan juga Idul Adha, maka surau ini mendirikan Solat Sunat Idul Fitri dan Idul Adha yang khutbah-khutbahnya disampaikan oleh khatib tempatan dan khutbahnya dikarang dan disusun oleh khatib-khatib berkenaan.
Buku Siri Khutbah
Kandungan buku ini adalah terdiri dari 8 buah khutbah yang disusun oleh 2 orang khatib, iaitu Mohamad Sobri Haron (6 buah – 4 idul Fitri 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2 Idul Adha 2006, 2008) dan Ahmad Asri Lubis (2 idul Fitri 2007 & 2009). Buku ini setebal 118 halaman dan diterbitkan oleh Surau Al-Ehsan (2010). Menurut Pengerusi Surau Al-Ehsan Profesor Dr. Samsudin,
``Buku ini mengandungi beberapa teks khutbah Hari Raya Haji dan Hari Raya Puasa yang telah disampaikan oleh dua tokoh ilmuan kariah Jalan 2/4 Bandar Baru Bangi yang menyentuh soal-soal dan permasalahan masyarakat Islam khususnya di Bandar Baru Bangi dan Malaysia amnya.``
Tambah Profesor Dr. Samsudin, ``Kedua-dua khatib iaitu Al-Ustaz Mohamad Sobri Haron dan Al-Ustaz Ahmad Asri Lubis atas kerjasama dan usaha mereka menyiapkan teks khutbah dan seterusnya mengizinkan ianya diterbitkan.``
Teks-teks khutbah berkenaan telah disemak oleh Al-Ustaz Dr. Ismail Mohamad. Manakala Penyuntingnya pula ialah Profesor Madya Dr. Haji Misran Rokimin dan Dr. Ismail Mohamad. Menurut Penyunting,
``Bagi tradisi umat Islam khutbah merupakan saluran bagi para Rasul menyampaikan segala bidang ilmu agama dan ilmu kemasyarakatan. Nabi Muhammad S.A.W. apabila berjaya menawan Kota Makkah telah menyampaikan khutbahnya yang pertama sebagai amanat terakhir baginda untuk mengingatkan kepada umat Islam agar terus berpegang teguh sebagai amanat baginda kepada manusia sejagat Khutbah dari perspektif Islam bukan sekadar untuk mengesahkan solat Jumaat sahaja, tetapi sebagai salah satu wadah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada umatnya.`` Menurut penyunting lagi.
``Oleh yang demikian mesej yang terkandung dalam khutbah sewajarnya, segar, dinamik dan releven dengan masa dan tempat.``
Antara tajuk-tajuk khutbah bagi Idil Fitri ialah:
Khutbah: 1 - Penghayatan Madrasah Ramadhan berpaksi pada akidah sahih (2005), kata khatibnya (Mohamad Sobri Haron). Hari Idul Fitri hari kembali kepada fitrah setelah melalui penyucian sebulan ramadhan. Hari Konvokesyen sebagai kejayaan.
Khatib mengingatkan Hari Raya Idul Fitri hanya satu hari sahaja. Hari berikutnya bukan lagi hari raya sebab itu kita boleh mulai berpuasa Sunat Syawal. Beliau mengkritik budaya raya di Bandar hingga sebulan, seolah-olah membalas dendam dari sebulan puasa. Bulan Syawal seolah-olah bulan jamuan !
Khutbah 2 Idul Fitri – Mohamad Sobri Haron bertajuk, - Peranan Individu Muslim Untuk Kejayaan Umat.
Dimaksudkan kemenangan umat Islam bergantung pada kejayaan individu muslim sebab itu individu berkenaan hendaklah mengawas diri dari tercebur dan hanyut dalam pelbagai maksiat, penagihan dadah, arak, masalah sosial, rgut, rompak, culik, curi dan bunuh. Individu juga perlu menghendar dari gejala murtad. Dikaitkan dengan Lina Joy.
Khutbah 3 – Idul Adha – Mohamad Sobri bertajuk: Peringatan Allah S.W.T. Kepada Manusia Untuk Diinsafi tentang Pengorbanan Terhadap Agama
Khatib menyentuh tentang soal pengorbanan, bencana, gempa dan kemusnahan. Musibah-musibah yang dialami sewajarnya menginsafkan diri. Tapi makhluk bernama manusia yang begitu kerdil degil. Sepatutnya berpegang pada akidah dan insaf.
Khutbah 5: Idul Adha 2007 berjudul: Pengorbanan Berpaksikan Akidah yang Sahih – Mohamad Sobri Haron:
Ajaran Tauhid Islam menurut Millah Ibrahim. Islam berpaksikan akidah adalah perbendaharaan yang menyatu dan mengukuhkan umat. Kita berada di atas landasan yang benar. Sebab itu sebarkan untuk dinikmati kebenaran oleh jagat.
Khutbah 7 Idul Adha – Mohamad Sobri Haron berjudul:
Islam Pakej Kehidupan: Pengorbanan Utama Kepada Allah.
Contoh pengorbanan para Rasul dan Nabi seperti pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Korban biasa bererti penyembelihan, tapi korban sebenarnya menuntut komitmen dan keikhlasan dalam perjuangan. Kita tidak boleh mengharapkan pengorbanan palsu dari mereka yang lemah akidah. Kita perlu membina peribadi-peribadi yang kental akidah.
Khutbah 8 – Idul Adha (teks silap kata Idul Fitri) – Mohamad Sobri Haron berjudul:
Pengorbanan Demi Wahdah Ummah Di Atas Landasan Akidah Yang Sahih:
Seperti Khutbah 7, khutbah 8 juga menekankan dari segi akidah.
Dua Khutbah lagi ialah oleh Ahmad Asri Lubis bagi no 4 dan 6 yang kedua-duanya Khutbah Idul Fitri: Hendaklah konsisten dan berterusan tarbiah Ramadhan ke Ramadhan.
Khutbah No. 4 Idul Fitri 2007: Berjudul Syawal Kesinambungan Anugerah Ramadhan.
Khatib Menbekankan:
Ramadhan bulan mempertingkatkan iman memperkukuhkan taqwa. Ibarat enjin yang dapat mengisi bahan bakar yang terus bergerak keluar dari Ramadhan – terus cergas Peribadi yang dibina dalam bulan Ramadhan seharusnya berkekalan.
Khutbah No. 6, Idul Fitri2008 – Ahmad Asri Lubis – berjudul:
Pembentukan Jatidiri melalui Tarbiah Ramadhan.
Ramadhan adalah Madrasah mentarbiah umat dan membina jati diri. Khatib memetik pepatah dalam bahasa Arab bermaksud:
Bukanlah Hari Raya itu bagi mereka yang sekadar memakai serba baru, sebaliknya hari raya yang sebenarnya ialah bagi mereka yang taqwanya bertambah.. Khatib memetik dari sebuah Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibn Abbas r.a iaitu:
Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya
Sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya
Bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri nikmatNya.
Usaha membukukan khutbah ini adalah baik. Ianya dapat dijadikan panduan bagi khatib-khatib dan menjadi dokumen berharga bagi Surau Al-Ehsan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment