Selesai bertarawih dan bertazkirah di Surau Istiqamah BBB, ADNS Bangi segera bermohon diri selepas membasah tekak, pulang sekejap ke rumah bersama Sdr. Azizi, bersalin pakaian dan segera ke Pekan Bangi. Tiba di Taman Bangi Permai, orang ramai sudah berhimpun. Jumlah mereka lebih kurang 1,500 orang. Respon masyarakat di sini terhadap anjuran Sambutan Hari Kemerdekaan Negara Kali Ke 53 amat baik. Sambutan adalah Anjuran Bersama antara Pejabat DNS Bangi, Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Langat dan Rukun Tetangga Daerah bertempat di hadapan Balai Kejiranan, Taman Bangi Permai. Oleh kerana tempat ini di tengah kawasan kediaman masyarakat India, maka kehadiran ramai dari masyarakat India.
Hadir pada malam ini, selain dari ADNS Bangi ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj Zon 24, En. Lethumanan Setiausaha Dewan Himpunan Pusat yang juga Ahli Majlis Kuala Selangor, En. Muniandy dan Puan Ruzilawati dari Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Langat, En. M. Mahendran Pegawai Rukun Tetangga Pekan Bangi, Saudara Fazli Daud Setiausaha Pas Kawasan Serdang, Saudara Ari dari Dewan Himpunan Serdang, Encik Mohd Halim Bekas Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Langat dan Sepang, Encik Wasonta Kumar dari PKR, Mr Sem dari Himpunan West Country, ahli-ahli Pas Pekan Bangi dan lain-lain.
Majlis dimulai dengan pertunjukan dari anak-anak Tadika Perpaduan diikuti dengan ucapan-ucapan. Dalam masa tersebut anak-anak muda mau adakan perarakan bermotorsikal keliling Pekan Bangi. ADNS Bangi dijemput menaiki `Storm` berdiri mengebar bendera dari atas kenderaan yang sedang bergerak, diikuti konvoi berpuluh-puluh motorsikal bergerak dengan membawa bendera. Perarakan keliling memakan masa lebih kurang setengah jam sebelum pulang ke lokasi hadapan Balai Perpaduan.
Sementara menunggu detik 12.00 tengah malam ucapan-ucapan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang hadir iaitu dari En. M. Mahendran, Pengerusi Rukun Tetangga Pekan Bangi, En Muniandy dari Jabatan Perpadua juga Pn. Ruzilawati, En. Lechumanan dan Tuan Haji Mazuan. Mereka semua bercakap tentang kemerdekaan. ADNS Bangi dalam ucapan perasmiannya juga bercakap tentang kemerdekaan dan kaitan dengan masyarakat India di Bangi. Menurutnya, `Pada dasarnya melalui kemerdekaan masyarakat India banyak berubah setelah melalui kemerdekaan. Kalau dulu mereka lebih dikenali sebagai pekerja ladang dan buruh yang relatifnya miskin. Kini identiti ini makin berkurang. Mereka mampu mendiami rumah teres sebagaimana di Taman Bangi Permai ini. Mereka bekerja dalam semua sector. Taraf hidup mereka makin tinggi. Banyak peluang-peluang sama dinikmati. Mereka berada di dalam arus perdana masyarakat. Mereka sebahagian dari rakyat Malaysia dan mereka sama bergerak maju bersama kemajuan Negara.
Sebelum tiba jam 12.00 malam mereka beramai-ramai menyanyikan lagu-lagi patriotik sambil itu ADNS Bangi diberi penghormatan menaikkan Bendera Malaysia sebaik jam 12.01 minit tengah malam. Keriangan terbayang terutama pada wajah-wajah anak-anak muda.
Sebelum pulang jam 12.30 malam ADNS dibawa melawat ke Kelas Tadika Perpaduan di sini. Guru kelas Tadika menerangkan keperluan-keperluan Kelas Tadika seperti ketiadaan pendingin udara dan ketiadaan computer. ADNS Bangi berjanji akan melihat perkara itu untuk mempertimbangkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment