September 24, 2010

Dari Welfare Kepada Workfare: Dari Kebergantungan Kepada Keberhasilan

Shah Alam, 14 Syawal = 23 September (Khamis):


Y.A.B. Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor ketika merumuskan Seminar Pelaksanaan Polisi `Workfare` Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang ini berkata, ``Konsep merakyatkan ekonomi negeri Selangor ialah agar semua rakyat dapat menikmati kemakmuran dan kekayaan negeri Selangor. Konsep ini tidak menghalang siapa yang berusaha hingga menjadi jutawan, tetapi kepentingan rakyat miskin mesti sama dijaga, mereka hendaklah dinaikkan taraf kehidupan mereka.`` Menteri Besar itu menambah,


``Dalam meningkatkan taraf rakyat miskin, kita ada target, ada kumpulan sasar yang diberi tumpuan. Jumlah mereka seramai 5.000 orang dari seluruh rakyat negeri Selangor yang berjumlah 5.2 juta rakyat. Kita tidak boleh memberi bantuan cash secara langsung, kecuali mereka yang benar-benar tidak berkemampuan. Mereka yang berpotensi dipilih dan diberi peluang berlatih untuk berdikari dengan memberi modal permulaan untuk menjual barangan atau membuka perusahaan kecil menghasilkan makanan atau jahitan dan sebagainya. Kita mau tingkatkan pendapatan mereka kepada RM1,500 garis pemisah bagi yang di bawah garis kemiskinan. Polisi kita dengan mencontohi Hadith Nabi.``

Y.A.B. Menteri Besar membawa contoh dari Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa pada satu hari seorang pengemis bertemu Rasulullah s.a.w. memohon sadaqah. Baginda tidak terus memberi wang, sebaliknya bertanya, Apakah harta dan peralatan yang ada di rumahnya. Baginda meminta pengemis itu menjualnya untuk membayar hutang. Selebihnya diminta pengemis itu membeli kapak untuk berusaha menjual kayu. Selang beberapa minggu pengemis itu datang lagi berjumpa Rasulullah dengan membawa keuntungan yang didapati dari pekerjaan. Dari pendapatan itu Rasulullah s.a.w memintanya membelikan makanan. Dan dari keuntungan seterusnya pula baginda memintanya membeli pakaian.

Dari Hadith di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w.mengajar Si Miskin itu dan juga umatnya supaya berdikari dan tidak mengharapkan bantuan semata-mata.

Menurut Menteri Besar itu, ``Dari segi membantu faqir-miskin, maka kita dapati sistem yang diatur Islam paling sempurna, iaitu melalui pungutan zakat dan bantuan menurut Haddul Kifayah (Had Keperluan)`` Menurut Menteri Besar lagi, ``Kita perlu bekerjasama dan mempelajari sistem Zakat, juga perlu mempelajari Kaedah Pembahagian yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menyelaraskan bantuan dan tidak berlaku pertindihan. Kita juga perlu kreatif di dalam membantu penduduk setempat mendapat pekerjaan atau melatih mereka untuk berusaha di dalam perniagaan.``


Sebelum daripada itu Y.B. Puan Rodziah Ismail Pengerusi Jwatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Kebudayaan. Sains, Teknologi dan Inovasi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan menyatakan pentingnya penjelasan tentang workfare, bahawa kemiskinan bukan setakat harta benda, tetapi juga miskin minda dan akhlak yang sama diberi tumpuan bagi mengangkat taraf hidup mereka . Perubahan seharusnya bukan saja pada takat mendapat bantuan material, tetapi perubahan menyeluruh termasuk minda dan attitude..

Seminar hari ini dihadiri ahli-ahli Exco, Adun-Adun, Yang Dipertua PBT dan badan-badan Kebajikan. Mereka berjumlah lebih kurang 200 orang. Tiga kertas Kerja dibentangkan, iaitu oleh Ybhg. Prof Dr. Nor Ghani Bin Mohd Nor Pensyarah Fakulti Ekonomi UKM dengan judul, Kaedah Penyelesaian Kemiskinan Bandar, Y.B. Puan Rodziah membentangkan kertas, Pengenalan kepada Workfare., manakala kertas kerja ketiga oleh Puan Azura Bt. Ali Pengarah Pemasaran Syarikat ZPMC dengan kertaskerjanya berjudul Pembangunan Sistem ``Workfare``. Soal jawab turut diadakan. Topic tumpuan ialah bagaimana membasmikan kemiskinan dan mengangkat mereka yang miskin ini dari segi pendapatan ke tahap normal dalam masyarakat dan berdikari.


(Kertas-kertas dibentangkan akan diperkatakan kemudian, insya Allah).

Sekian.

No comments:

Post a Comment