September 14, 2010

Kafilah Rindu

Idul Fitri yang menjelang
Lebaran yang mendambakan
Tidak tertahan digamit rindu
Perantau di kejauhan bergegas pulang
Menyongsong arus kenderaan
Semua arah Jalan raya bersesakan
Ke timur utara juga ke selatan
Semata untuk melepaskan rindu
Pada kedut wajah orang tua
Pada jamaah surau setia
Pada bersama sanak saudara
Seharian sebok memasak ketupat rendang
Menanak nasi dagang dan membakar lemang
Sedang anak-anak pulang ketawa riang
Bersama-sama dengan sepupu sepapang
Bermain bunga api berkejaran
Antara panjut api berjejaran
Dan menjelang tengah malam
Mereka tidur di ruang terbuka berkaparan
Di atas tikar mengkuang nyenyak keletihan.

Esoknya
Selepas menunaikan solat Idul Fitri
Dengan pakaian warna warni
Menziarah ke rumah waris kenalan
Menemukan kenangan silam
Mengeratkan kembali kemesraan
Pernah
Sehalaman
Sepermainan
Sepermandian
Sepengajian
seharapan
Aduh ! nostalgia itu amat mendalam.

Kini kafilah rindu itu
Berdepan realiti dan tuntutan
Betapa sayang tempat kelahiran
Tiba masanya kembali berpisah
Demi tugas menyambung perjuangan
Mendidik anak-anak pewaris masa depan
Lantas antara enggan anak-anak berpisah
berat rasa dan gugur airmata
tangan bersalaman terucap salam
dan kafilah rindu itu berlalu
menyongsong arus pulang
meneruskan agenda perjuangan.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
04 Syawal 1423
12 September 2010.

No comments:

Post a Comment