Pada pagi Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini ADNS Bangi dijemput menghadiri ke Program Tautan Ukhuwah IKRAM bersama Persatuan Ibu Tunggal Rangkaian Hati Daerah Hulu Langat (PITRAH) bertempat di Council Home, Seksyen 16 Bandar Baru Bangi. Tanggapan pertama ADNS IKRAM yang menganjurkan ini adalah dari Institusi IKRAM yang ada hubungan dengan Kajian Tanah di bawah Kementerian Jalanraya yang pejabatnya bertempat berhampiran dengan Tol Kajang. Rupanya tanggapan ADNS adalah silap, IKRAM adalah merupakan Tautan Persatuan NGO-NGO Muslim yang namanya secara kebetulan bersamaan dengan IKRAM jalanraya. Maklumat ini diperbetulkan oleh YDP IKRAM, iaitu Dr. Mustafa Din Subari yang hadir sama di dalam majlis di atas. Turrut hadir ialah Puan Hanisah Ketua Wanita Ikram, Puan Khadijah Masrah Ketua PITRAH, Sdr. Zaid Akhtar YDP Persatuan Penduduk Council Home, Sdr. Mohd Fazli Daud Setiausaha Pas Serdang , AJK-AJK dan penerima-penerima sumbangan.
Menurut Dr. Mustafa IKRAM ditubuhkan pada 22 Jun 2010. Ianya adalah gabungan berbagai-bagai NGO Muslim seperti GIM, MIG, OUSIS, MUSLIH dan beberapa NGO yang lain. Skop dan fokus IKRAM ialah melibatkan diri dalam bidang dakwah, tarbiah dan Kebajikan. Kita berpendapat tindakan ini amatlah baik. Kalau selama ini NGO-NGO Muslim yang banyak jumlahnya itu bergerak bersendirian dan setengahnya kurang aktif dan kurang memberi kesan, tetapi dengan bersatu ianya merupakan satu kekuatan yang boleh menjadi jurucakap bagi NGO-NGO ummah. Dengan penyatuan suara lebih didengar dan mampu melontarkan fikrah dan kritikan yang dapat mengislahkan ummah.
Menurut Dr. Mustafa lagi, "Setakat ini IKRAM mempunyai 69 cawangan di seluruh Negara dengan keahlian setakat ini sebanyak 4,000 orang." Menurut Dr. Mustafa lagi, "Tarbiyah hendaklah bermula dari diri meluas kepada keluarga, komuniti, badan-badan, masyarakat dan Negara."katanya.
"Adalah menjadi tujuan IKRAM mau membentuk masyarakat Madani, mementingkan akhlak, adil, telus, menghormati hak asasi manusia dan mewujudkan 'Good Government'."
Kegiatan hari ini adalah merupakan kegiatan awalan di kawasan Hulu Langat yang kini mempunyai Cawangan IKRAM yang jumlah keahliannya 150 orang. Pejabat operasinya ialah di Bangunan Hentian Kajang di Jalan Reko, Kajang.
Pada hari ini Program Tautan Ukhwah melibatkan penerima bantuan dari kalangan Ibu tunggal seramai 50 orang. Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Mustafa menyatakan, "IKRAM mau memainkan peranan antaranya dalam bidang kemasyarakatan dan kebajikan sesuai dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya membantu mereka yang miskin, tetapi harapan IKRAM dapat melibatkan diri di dalam ruang yang lebih besar bagi membaiki dan meningkatkan kualiti ummah."
ADNS Bangi ketika menyampaikan ucapan perasmian berterima kasih kepada pihak IKRAM yang memilih ibu-ibu tunggal yang bernaung di bawah PITRAH bertempat di Council Home bagi menyampaikan bantuan. Council Home adalah sebagai rumah perlindungan sementara bagi ibu tunggal, mereka yang miskin dan daif. Sekiranya IKRAM berminat lebih lanjut bagi membela nasib mereka, terutama dari segi ekonomi, maka ADNS mengalu-ngalukan dan bersedia memberi bantuan dan kerjasama. ADNS berharap kerjasama dengan IKRAM dapat diluaskan kepada bidang-bidang keiilmuan, dakwah, kemasyarakatan dan bidang kebajikan seperti yang sedang dijalankan. ADNS berharap hubungan yang mulai terjalin diharapkan akan diperkembangkan pada masa akan datang. Beliau berharap IKRAM menjadi NGO yang kuat, mampu menyampaikan idea-idea yang bernas dan praktikal yang dapat meningkatkan kualiti ummah.
Bantuan disampaikan kepada ibu-ibu tunggal oleh ADNS Bangi bersama YDP IKRAM Dr. Mustafa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment