September 20, 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR

BBB, 11 Syawal = 20 September (Isnin):


Esok Selasa anak-anak Sekolah rendah pada peringkat UPSR akan menghadapi peperiksaan UPSR selama tiga hari berturut-turut. Kita doakan kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala semoga diterangkan hati dan minda anak-anak kita dan dapat menjawab soalan dengan baik insya Allah.

Sesungguhnya ketika menyambut Hari Raya Idul Fitri baru-baru ini, ibu bapa dan anak-anak yang menghadapi peperiksaan esok, sebenarnya amat waspada di dalam menyambut Hari Raya. Peperiksaan adalah mendominasi ingatan. Raya disambut sekadar minimum. Sesungguhnya ada ibu bapa sengaja memilih tidak pulang ke kampong, tetapi bersama-sama anak-anak menggalak dan memberi semangat bagi anak-anak membuat persediaan secara maksimum dan mengulangkaji pelajaran. Bagi ibu bapa yang prehatin terhadap pelajaran anak-anak, sesungguhnya walaupun anak-anak yang periksa, ibu bapa juga seolah-olah turut sama menghadapi peperiksaan. Kita juga tahu ada ibu bapa anak-anak mengambil keputusan pulang juga ke kampong bersama anak-anak beraya di kampong, tetapi buku-buku pelajaran tidak lekang di tangan dan ulangkaji dilakukan secara berterusan. Kepulangan pun sekadar sehari dua, itupun dalam rangka strategi bagi memberi kegembiraan dan kepuasaan kepada anak-anak dapat bertemu keluarga dan kawan-kawan di kampong. Mereka datang lebih awal, bukan saja membuat persediaan di rumah yang lebih selesa, tetapi pihak Sekolah juga prehatin memberi bimbingan dan pesanan terakhir bagi anak-anak menghadapi peperiksaan.

Peperiksaan UPSR sesungguhnya, walaupun ianya merupakan peperiksaan paling rendah secara formal, tetapi peperiksaan ini penting, sebagai pengakhiran kelulusan pada peringkat rendah. Sijil UPSR menjadi bukti penting yang menjadi puncak menghimpunkan pengajian peringkat rendah yang kelak menjadi ingatan mesra dan nostalgic setiap murid, bahawa mereka melalui dan melakar sejarah pada peringkat rendah bersama kawan-kawan dan seluruh warga Sekolah. Selain daripada itu keputusan peperiksaan UPSR ini juga menjadi penilaian kemampuan anak-anak dalam pelajaran peringkat rendah. Sekiranya keputusan baik dan berkelayakan, mereka akan ditawarkan belajar ke Sekolah-sekolah pilihan yang membuka ruang belajar secara lebih baik dan peluang masa depan lebih cerah.

Sungguhpun peperiksaan UPSR ada yang melihatnya sebagai biasa, tetapi bagi ibu bapa yang prehatin, untuk tiba ke peringkat ini, anak-anak dididik, dilatih dan dibimbing sejak awal persekolahan lagi. Bukan menjadi satu yang dilihat anih, ada ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen sejak dari tahun satu dan berterusan ke peringkat menghadapi peperiksaan UPSR. Bahkan tuisyen yang dihantar bukan setempat, tetapi ke beberapa tempat. Ini tidak termasuk yang dibimbing oleh pihak sekolah.

Dalam persediaan menghadapi peperiksaan ini anak-anak juga didedah dan dimotivasi berkali-kali sama ada dianjur oleh Sekolah, PIBG, NGO, swasta, surau, masjid (solat Hajat dan Do`a) dan sebagainya sebagai persediaan menghadapi pelajaran dan membina semangat dan perwatakan anak-anak.

Barangkali ada yang melihat pendekatan dan penekanan yang ditumpukan kepada anak-anak ini berlebihan dan mengongkong anak-anak dari melalui kehidupan secara tabi`I, sehingga tidak ada masa dan ruang bagi anak-anak hidup dalam environment yang natural dan tabi`i. Tetapi itulah hakikatnya yang dihadapi anak-anak yang ibu bapa mereka prehatin dan maukan anak-anak mereka berjaya bukan saja dalam pelajaran, bahkan bagi masa depan mereka. Barangkali dari satu segi ada yang melihat kita tidak sepatutnya menekan anak-anak diortientasikan dengan peperiksaan. Biarlah mereka belajar dalam keadaan releks, tenang dan berkembang secara tabi`i. Lantaran itu sejak awal tahun ini ada pendapat perlunya dihapuskan peperiksaan UPSR dan juga PMR. Berbagai-bagai pendapat pro dan kontra diutarakan oleh berbagai pihak. Pada satu peringkat Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Y.B.Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah bersetuju untuk menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Namun melalui perbincangan para pakar yang diadakan berkali-kali termasuk mengambil kira pendapat awam peperiksaan berkenaan dikekalkan.

Sesungguhnya bagaimana mau menilaikan pembelajaran dan bagaimana mau mengetahui peringkat pencapaian tanpa melalui penilaian atau juga diistilahkan peperiksaan. Penilaian atau peperiksaan adalah perlu, Cuma kaedah dan pendekatan boleh melalui pengubahsuaian. Misalnya selama ini pun telah dilakukan pengubahsuaian dan perubahan pendekatan. Misalnya peperiksaan Sekolah rendah diubah kepada UPSR serentak dengan perubahan kurikulum dan pendekatan pengajaran. Dulu peperiksaan LCE dan SRP telah diubah kepada PMR yang melibatkan kurikulum dan pendekatan pengajaran. Penilaian dan peperiksaan perlu, Cuma perubahan, penekanan dan kaedah boleh mengalamai perubahan dan penyesuaian. Hakikatnya pelajar-pelajar berdepan dengan penilaian dan peperiksaan berterusan dan sepanjang tahun, mekanismenya diatur oleh pihak kementerian dan juga Sekolah.. Penerusan penilaian tidak mungkin dipisahkan dari pembelajaran. Sebarang perubahan dan pengubahsuaian hendaklah dari segi kepentingan pelajar dan pembelajaran, bukan dari segi kepentingan komersil, misalnya kepentingan institusi dan guru tuisyen atau kerana kepentingan publisher buku dari segi komersil. Buat masa ini perkara ini tidak perlu dihadapkan kepada anak-anak atau ibu bapa yang anak-anak mereka akan menghadapi peperiksaan mulai esok.

Bertenang dan ulangkaji pelajaran sebagai persediaan terakhir. Bagi ibu bapa berdoalah, bersolat hajatlah untuk kejayaan anak-anak. Ada ibu bapa yang berpuasa pada hari-hari anak-anak menghadapi peperiksaan sambil diiringi dengan doa kepada Allah semoga anak-anak diberi kelawasan, hidayah, terang hati dan minda bagi menjawab peperiksaan secara terbaik. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment