September 22, 2010

Lanjutan Zon Bersih Bandar Baru Bangi

Seksyen Satu, BBB, 13 Syawal = 22 September (Rabu):

Sejak Ogos 2009, Seksyen Satu BBB, khususnya kawasan Pasar, Medan Usahawan dan Kawasan Pasar Malam Seksyen 16 berhadapan dengan Seksyen Satu telah dipilih oleh MPKj sebagai ZON Bersih. Maksud Zon Bersih, kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan kotor dan perlu dibersihkan. Ini adalah projek negeri yang mahu setiap PBT memilih satu kawasan yang dianggap kotor dan perlu ditingkatkan kebersihan. Zon-zon dipertandingkan pada peringkat negeri dan yang terbersih dan terbaik diberi hadiah.

Sejak dari bulan Ogos 2009 pihak MPKj dengan kerjasama Pejabat ADNS Bangi dan Persatuan Penduduk bekerjasama melancarkan kempen kebersihan secara bertahap dari Ogos 2009 sehingga April 2010.

Antara kegiatan yang dilakukan:

1) Pelancaran siri gotong royong membersihkan Kawasan Pasar Malam Seksyen 16 seperti longkang, parit, warung dan tapak jualan. Pernah dicadangkan untuk ditutup selama sebulan tapak Pasar Malam Seksyen 16 selepas raya Idul Fitri 2009 untuk pembaikan, tapi mendapat tentangan dari peniaga-peniaga. Walau macam mana mereka turut sama mengambil inisiatif menjaga kebersihan.

2) Mengadakan siri gotong royong membersih dan memperbaiki warung-warung yang dulunya dikenali sebagai Medan Selera – kini Medan Usahawan. Tempat ini kelihatan lebih bersih dan ceria, khususnya selepas warung-warung berkenaan dicat. Walau macam mana usaha menjadikan Medan Usahawan ini sebagai `Medan Usahawan dan Perniagaan` dan menarik pengunjung masih belum dapat dicapai. Usaha perlu dilakukan oleh semua pihak bagi memajukan lokasi ini.


3) Membersih kawasan pasar dengan membaiki infrastruktur yang rosak dan ditingkatkan dari segi kebersihan

4) Menebang pokok-pokok besar yang membahayakan bangunan terutama warung, jika berlaku ribut dan patah dahan pokok dan menimpa bangunan dan warung. Ada juga yang membuat komen, tidak sepatutnya ditebang semua pokok, terutama di medan parking. Adanya beberapa pokok mengekalkan kehijauan dan keindahan. Pihak berkuasa dianggap mengambil jalan mudah untuk mengelak dari sampah daun-daun dari pokok, kerana tidak ada tenaga regular bagi membersihkannya.


Lanjutan Zon Bersih

Walaupun kempen Zon Bersih sudah berakhir sejak April 2010, tetapi kerja-kerja maintenance dan melengkapkan kawasan Zon Bersih ini terus dilakukan, iaitu:



1) Sejak Ogos 2010 kerja-kerja membaiki dan menaik taraf pagar Pasar dilakukan. Bahagian depan pasar yang sebelum ini dipagar dengan jaring dawai, kini dibina dengan tembok konkrit dan dicat dengan warna kuning lembut yang lebih menarik pandangan.



2) Kerja-kerja menaiktaraf jalan asalnya untuk pejalan kaki dari jalan 1/3K, ke Jalan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Dua dan ke Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi.


Dulu jalan untuk pejalan kaki ini diatur slab dua hala. Permukaan jalan ini ditumbuhi rumput.


Kini sejak awal September 2010 jalan ini dinaiktaraf. Dua minggu dulu jalan ini diratakan dengan batu-batu krikil dan mulai semalam (21 September) mulai ditarkan. Sesungguhnya dengan siapnya jalan ini memudahkan anak-anak ke Sekolah dan hubungan antara Jalan 2 ke Seksyen Satu.


Banyak lagi pembaikan dan penaiktarafan yang akan terus dilakukan dari masa ke masa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment