September 17, 2010

Menangani Ajaran Salah

BBB, 08 Syawal = 17 September (Jumaat):

Ditengah usaha kita menggembleng dan memperkembangkan Islam melalui institusi-institusi masjid Surau dan pendidikan formal pada peringkat Sekolah agama pada tahap rendah hingga ke peringkat tertinggi – ke universiti, secara telus dan terbuka kepada orang ramai, masih ada lagi ajaran-ajaran salah yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu. Gejala Ajaran Salah dapat dikategorikan kepada tiga sebab, iaitu disebabkan oleh rendah taraf keilmuan penerima ajaran hingga boleh diselewengkan oleh pihak yang mengajar berkepentingan. Ada pula yang menampilkan sesuatu ajaran salah bertujuan mendapat pengikut bagi memperluaskan pengaruh dan satu kategori lagi diakibatkan oleh pengaruh keilmuan luar dari turath dan tradisi keilmuan Islam.


Kategori kerana rendahnya tahap keilmuan dan terjebak kepada gejala ajaran salah, kerana orang seumpama ini tidak hidup secara berjamaah, bersendirian dan dipujuk oleh pengajar ilmu salah, misalnya kerana berubat sakit biasanya bersifat dalaman dan terdorong mengikuti pengajarannya secara sendiri dan tersembunyi. Tidak terdedah kepada orang ramai bagi menilai kebenaran pengajaran. Pengajaran secara sembunyi biasanya bersifat kebatinan dengan kepercayaan, bacaan dan amalan tertentu yang tidak selari dengan pengajaran biasa. Untuk menarik pengikut pengajar ajaran salah ini menyebarkan kultus mengenai diri dan pengajaran yang boleh menarik pelajar-pelajar kepada ilmu salah berkenaan. Tidak jarang juga yang mengajar mempunyai motif kepentingan ekonomi yang memerangkap mangsa yang mengikuti ajaran salah `berkorban` memberi imbuhan dan sara hidup kepada pengajar ilmu salah sedemikian.


Kategori kedua bermotifkan kepimpinan dan senang mempunyai pengikut-pengikut yang ramai. Pada peringkat permulaan mungkin sang pemimpin yang mempunyai pendidikan agama menjalankan kegiatan seperti biasa, tetapi kemudian terpesona dengan karisma diri dan pengikut-pengkut membawa sang pemimpin merekacipta pendekatan dan kultus dirinya hingga dia dikagumi dan diikuti. Ini boleh dilihat kepada Kerajaan Langit Ayah Pin dengan pengikut-pengikutnya, Pimpinan Ash`ari dengan Jamaah al-Arqamnya dan juga Abdul Qahhar dengan Nabi Melayu yang mencari pengikut-pengikutnya di Hulu Langat.

Kategori ketiga yang tarafnya bersifat `intelektual` seperti kemasukan faham sekularisme dan liberalisme yang didukung oleh mereka terlibat di dalam mendalami aliran pemikiran sedemikian dan mengapikasikannya ke dalam kajian Islam hingga merubah hukum. Misalnya dengan merekonstruksi dan dikontektualisasikan dengan lingkungan dan perubahan – termasuk perubahan hukum. Misalnya Islam Liberal di Indonesia menerbitkan buku `Fiqah Lintas Agama` yang membolehkan perkahwinan antara muslim dengan non-muslim, kononnya sebagai urusan ijtihad menurut zaman. Mereka juga mempersoalkan tentang al-Qur`an dan puncaknya menyamakan semua agama sebagai benar di sisi Tuhan.

Sudah tentu kesesatan ajaran seperti di atas perlu disekat dan dibasmikan. Bagi kategori pertama adalah lebih mudah ditangani dengan menyekat pengajaran dan membawa pihak yang mengajar dan belajar ke pusat pemulihan akidah. Pendeknya menangani kejahilan ialah dengan memberi kepada mereka pengajian dan keilmuan yang sebenar.

Bagi kategori kedua tentulah lebih sukar menanganinya apabila ianya telah berkembang dan mempunyai pengikut-pengikut. Ianya boleh mencetuskan penentanagan. Tindakan menyekat dan membasmi kadang-kadang perlu memakan masa yang agak lama, kerana ianya melibatkan keselamatan dan perundangan sebagaimana berlaku kepada Ayah Pin dan Pengikut-pengikutnya di Besut. Lebih-lebih lagi memakan masa dan kerumitan membasmikan sebagaimana berlaku terhadap Pemimpin-Pemimpin dan pengikut-pengikut Al-Arqam.

Yang lebih rumit yang berhubung dengan pengaruh luar yang masuk sebagai racun yang merosakkan kemurnian Islam. Lebih rumit kerana ianya berlindung disebalik kebebasan akademik, penyelidikan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi rumit apabila seperti Islam Liberal berkembang dan berlaku di pengajian-pengajian tinggi yang mengambil nama `Universitas Islam` sebagaimana banyak berlaku di Indonesia. Mereka seolah menangani Islam bukan sebagai mendalami, menghayati dan mengamalkan Islam, tetapi mempersoal, mengetuk dan merosakkan Islam itu. Mengelak dari terjadinya kerosakan di dalam pengajian dan pendekatan keilmuan Islam, bukan boleh dilakukan secara individu, tetapi perlu diwujudkan badan pemantau yang terdiri dari para ilmuan Islam yang autoritas dan berwibawa. Sekatan hendaklah dibuat dari awal dari masuknya ilmuan-ilmuan kontroversi ke pengajian tinggi dan menyebarkan Islam liberal dan apa jua isme yang boleh merosakkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment