Pada 19 Ramadhan bersamaan 29 Ogos lepas kami telah mengunjungi dua bloks rumah pangsa Mutiara Kajang dengan mendaki bloks 6 tingkat dari unit ke unit pilihan (25 unit) bagi menemui ibu tunggal dan mereka yang daif dari segi kehidupan. Kami dapat merasa detik nadi kehidupan mereka. Kesedihan dan kesayuan terpancar pada wajah-wajah mereka, khususnya bagi anak-anak mereka yang sepatutnya dapat membesar di dalam kecukupan dari segi makanan, pendidikan dan kasih sayang. Mereka dapat dikatakan mangsa keadaan dan memerlukan pembelaan.
Untuk menceriakan mereka dan menghimpunkan mereka, selepas menyampaikan bantuan dan sebelum pulang, kami cadangkan agar diadakan gotong royong memasak bubur lambuk di pekarangan surau bahagian bawah bloks. Peruntukan disediakan oleh ADNS Bangi. Cadangan itu diterima baik oleh mereka. Kehadiran kami petang ini adalah bagi mengagihkan bubur lambuk yang dimasak secara gotong royong oleh penduduk rumah pangsa berkenaan. Sebanyak 2 periuk besar dimasak. Ketibaan kami sesudah semuanya siap dibungkus dalam plastic dan kami dimaklumkan anak-anak turut sama membungkus. Sebenarnya pada masa kami tiba, merekalah yang ramai memenuhi ruang surau, iaitu melebihi 50 orang di samping ibu bapa.
Sesudah bercakap ringkas dengan mengharapkan masyarakat di rumah pangsa hidup muafakat dan gotong royong dan mengharapkan surau menjadi pusat kegiatan penduduk, di samping terus mengadakan sembahyang berjamaah. ADNS secara bergurau bertanya kepada anak-anak kecil dan besar di hadapan majlis di dalam surau – Siapa yang puasa hari ini ? Pada mulanya tak ramai yang respond, tetapi apabila ADNS berkata,
``Anak-anak yang berpuasa hari ini akan diberi Duit Raya, siapa yang puasa hari ini ?`` Maka ramailah yang mengangkat tangan. Sebagai menghibur anak-anak ADNS mengeluarkan sejumlah wang dan meminta Ketua Muslimat Surau (Isteri En. Zainal) mengagih-agihkan kepada semua anak-anak.
Bubur lambuk yang diagih kepada ibu bapa dan anak-anak pada petang itu tidak kehabisan. Pihak Jawatankuasa Surau diketuai En. Zainal berjanji akan mengagihkan kepada penghuni-penghuni rumah pangsa yang tidak turun.
Sesungguhnya terbayang kegembiraan pada wajah anak-anak. Turut ceria para ibu bapa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment