September 11, 2010

Budaya Menziarah Malam Raya, Bila Bermula ?

BBB, 30 Ramadhan = 09 September (Khamis):

Amalan menziarah atau kunjung mengunjung sempena Raya Idul Fitri memang dituntut. Contoh ziarah anak-anak menemui ibu bapa, bersalam dan mohon kemaafan. Ziarah jiran ke rumah jiran bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dan bermaaf-maafan. Ziarah mereka yang jauh terhadap kenalan bagi mengukuhkan kembali hubungan silaturrahim, bahkan menziarah kubur arwah yang kita kasihi menandakan ingatan dan kasih sayang.

Berbagai cara ziarah. Pada kebiasaan dilakukan selepas solat Idul Fitri seharian.Ini adalah amalan umum dilakukan. Ianya adalah dianggap masa yang paling sesuai, kerana yang diziarahi bersedia menerima dan mungkin bersedia dengan juadah raya. Masing-masing pun memang di dalam mood hariraya.

Satu kaedah ziarah lagi yang menjadi budaya setengah tempat ialah menziarah selepas sembahyang Isyak dari surau atau masjid – lebih khusus surau dalam mana para jamaah adalah jiran berdekatan atau di dalam satu taman. Caranya para jamaah dalam bilangan 30 orang – bergantung kepada jumlah jamaah yang hadir di surau (Persetujuan membuat kunjungan diputuskan oleh AJK sebelumnya) akan turun beramai-ramai mengunjungi rumah ke rumah – biasanya bermula dengan rumah terdekat dengan surau. Tuan rumah yang sama berjamaah mendahului pulang dan menerima salam dan kehadirin tetamu jamaah ke rumah mereka. Bila mereka sudah berkumpul, biasanya imam, bilal atau AJK Surau atau ahli jamaah akan memulakan takbir Idul Fitri beberapa kali diikuti para jamaah sebagaimana takbir dilakukan di masjid atau surau. Takbir ditutup dengan doa. Kemudian Tuan Rumah berucap ringkas mengucap terima kasih di atas kehadiran para jamaah dan memohon maaf zahir dan batin. Kemudian tuan rumah menjemput para jamaah menikmati hidangan raya yang disediakan. Selepas itu ketua kumpulan bersalawat menandakan masa untuk memohon diri dan bersalam bagi kali kedua dengan tuan rumah. Masa yang diambil antara 15 hingga 20 minit bagi setiap rumah yang dikunjung. Dari rumah pertama kunjungan dilakukan ke rumah kedua – turut mengunjung tuan rumah pertama. Begitulah dari rumah ke rumah.


Penulis sendiri seperti tahun-tahun lain, malam tadi menyertai kunjungan yang sedemikian. Rumah yang dikunjung adalah rumah-rumah yang dipersetujui oleh tuan rumahnya untuk dikunjungi. Bagi yang tidak bersedia, walaupun dia salah seorang dari ahli jamaah yang berkunjung tidak dikunjungi.

Kunjungan pada malam raya yang dapat dibuat, katakan bermula dari jam 9.00 malam bagi setiap rumah 15 minit (termasuk masa perjalanan), paling banyak 15 buah rumah dapat dikunjungi yang melibatkan penggunaan masa selama 4 jam. Ini bererti tempoh berkunjung hingga jam 1.00 pagi. Lebih dari itu barangkali kurang menyenangkan, kerana ianya mengganggu masa tidur bagi persediaan solat raya dan perayaan esoknya. Seelok-eloknya ziarah wajar ditamatkan jam 12.00 malam. Namun begitu ada tuan-tuan yang menawarkan rumah mereka diziarah tak sempat diziarah. Satu cara dilakukan jika perumahan agak banyak, pasukan ziarah dipecahkan kepada dua atau lebih pasukan dengan membahagikan rumah yang hendak dikunjung tidak lebih dari 10 buah rumah, iaitu jumlah rumah dan masa yang selesa.

Bagi Kariah Surau Al-UMM Bandar Baru Bangi, surau dan kawasan yang awal dihuni di BBB (1977), ziarah seumpama ini telah lama dipraktikkan termasuklah malam tadi yang ziarahnya disertai lebih kurang 30 orang. Jumlahnya makin lama makin merosot. Ziarah berakhir jam 1.00 pagi. Penduduk menerima budaya ziarah ini dengan baik, kerana melalui ziarah ini kunjungan rumah ke rumah dapat dilakukan. Tanpa kunjungan sedemikian, kita tak datang, walaupun ke rumah jiran, kecuali menziarah orang sakit, kematian, kenduri kendara dan sebagainya. Ziarah secara jamaah ada kemesraan dan kekudusan, lantaran ianya disertai takbir dan doa. Makanan yang disediakan, biasanya dua tiga rumah terawal saja menjadi tarikan untuk dimakan, selepas itu hanya dijamah mana yang teringin sahaja. Yang penting ialah kemesraan berkunjung dan penerimaan serta bermaaf-maafan menjadi tujuan.

Penulis menganggap budaya kunjungan malam selepas Isyak di Bandar Baru Bangi ini merupakan budaya yang dibawa dari Johor oleh penduduk dari Johor (Penduduk Bangi berasal dari berbagai negeri di Malaysia). Lama pendapat ini menjadi pegangan penulis, tetapi pendapat ini berubah, apabila tengahari ini Penulis sengaja pergi bersembahyang Jumaat di Masjid Pekan Bangi. Selepas sembahyang kami bersembang dengan beberapa AJK dan jamaah berjumaat. Penulis menyebut tentang aktiviti ziarah di Kariah Al-Umm BBB malam tadi. Menurut seorang AJK, Masjid Kariah Pekan Bangi malam tadi juga melakukan ziarah ke rumah-rumah sekitar Masjid Pekan Bangi. Menurut AJK itu, oleh kerana tempat zairah banyak, ``Kami pecahkan kepada beberapa kumpulan.`` Menurutnya lagi, ``Ziarah berterusan hingga jam 1.00 pagi.``

Apabila Penulis bertanya, ``Sejak bila ziarah sedemikian dilakukan ?``
``Sudah lama, sejak dulu berpuluh tahun lamanya.``
Penulis mengangguk dan menyedari pendapat Penulis selama ini tak betul ! Budaya tempatan ini sudah lama hidup selari dengan tuntutan Islam untuk berziarah ! Tetapi bukanlah paksaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment