September 16, 2010

Resensi Buku: Cabaran Akidah Pemikiran Islam Liberal: Perlu Tindakan

Buku ini walaupun kecil dan nipis sekadar 45 halaman, tetapi amat penting, kerana buku ini membicarakan soal dasar Islam, iaitu berhubung dengan gugatan akidah yang kalau tidak ditangani dengan betul boleh merosakkan kemantapan akidah umat. Buku ini dihasilkan oleh Tuan Hj. Mohammad Ariffin bin Ismail dan diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan , Jabatan Perdana Menteri (2009 ?).

Gugatan terhadap akidah umat Islam berlaku sepanjang zaman, sejak Zaman Rasulullah s.a.w. yang berdepan dengan gugatan syirik, bertembung dengan falsafah luar pada zaman kegemilangannya yang menggugat kemurnian akidah umat dengan lahirnya seperti kelompok Khawarij, Syiah Rafidhah, Muktazilah, Qadariah, Jabariyah hingga terpaksa disusun Manhaj Akidah Alussunah wa al-Jamaah.

Dalam kehidupan moden umat Islam tidak sunyi menghadapi gugatan. Gugatan lama ialah melalui penjajahan Negara dan memaksa pendapat dan pemikiran terhadap penduduk setempat, tapi terkini ialah melalui penguasaan fikiran dan kefahaman yang boleh menggugat dan merosakkan dari dalam – Pendekatan secara `al-Ghazwul Fikr`- Serangan Fikiran. Antara gugatan yang mendepani umat Islam ialah, faham liberal.
Istilah `Liberal menurut Longman Dictionary of Contemporary English (1984: 630).

Liberal – Willing to understand and respect the ideas and feelings of others. A liberal mind/thinker’
Liberal – Favoring some change as in political and religious affairs.

Liberal adalah perkembangan dan lanjutan dari modenisasi kepada sekularisasi yang melibatkan berbagai bidang termasuk kepada bidang agama. Iaitu melihat agama secara terbuka yang boleh dipersoal, dikritik dan boleh diubahsuai menurut perkembangan zaman dan tempat.

Gerakan liberalisme adalah pengaruh dari gerakan liberalisme dibarat bermula dengan gerakan reformasi bertujuan menentang kekuasaan gereja dan kemudian masuk di dalam berbagai bidang. Liberalisme ini diaplikasi kepada Islam yang dikenali dengan Islam Liberal. Menurut pengarang buku Haji Mohammad Ariffin,

``Islam Liberal pada mulanya diperkenalkan melalui buku, ``Liberal Islam: A Source Book`` oleh Charles Kutzman, London: Oxford University Press, 1988). Juga buku yang ditulis oleh Leonard Binder berjudul, Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies, Chicago: University of Chicago Press, 1998.

Sungguhpun buku-buku di atas dikeluarkan pada tahun-tahun 1980an dan 1990an, tetapi pengaruh liberalisme pada pemikir-pemikir liberalisme Islam berlaku jauh lebih awal sebelum itu. Contoh berlaku pada Nasr Hamid Abu Zayd (Mesir), Muhammad Arkoun (Al-Jazair), Abdullah Ahmad Naim (Sudan), Asghar Ali Enginer (India), Aminah Wadud (Amerika), Noorkholis Majid, Syafii Ma`arif, Abdurrahman Wahid, Ulil Absar Abdalla (Indonesia) Muhamad Shahrour (Syria), Fetima Mernisi (Morocco) Abdul Karim Soroush (Iran), Khaled Aou Fadl (Kuwait) dan lain-lain. Selain dari tokoh-tokoh, terdapat kelompok-kelompok diskusi dan Institusi seperti Jaringan Islam Liberal (Indonesia), Sisters In Islam (Malaysia).

Golongan di atas tidak melahirkan diri atau institusi mereka sebagai menolak agama, tetapi, berselindung mengkaji semula agama, Mentafsir Semula Al-Qur`an, Menilai Semula Syariat dan hukum-Hukum Fiqh. Mereka menolak cara tafsiran lama yang dianggap kolot. Bagi mereka agama hendaklah disesuaikan dengan realiti semasa. Liberalisme adalah dipengaruhi cara berfikir barat yang berasaskan rasionalisme-humanisme, secular dan liberalisme. Antara ciri-ciri Liberalisme ialah pluralisme agama, kebebasan menafsirkan teks-teks agama Islam dan pembebasan wanita.

Perkembangan Liberalisme dapat dilihat dari tujuan gerakan Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, iaitu:

a) Memperkukuhkan landasan pendemokrasian melalui penanaman nilai-nilai pluralisme, inklusivisme dan humanisme
b) Membangun penghidupan keberagamaan yang berdasarkan kepada penghormatan atas perbezaan
c) Mendukung dan menyebarkan gagasan keagamaan yang pluralis, terbuka dan humanis
d) Mencegah agar pandangan-pandangan keagamaan yang militant dan pro-kekerasan tidak menguasai wacana awam.

Menurut Haji Mohammad Ariffin:

``Di Malaysia, gerakan liberal tidak mempunyai kumpulan khas yang menggunakan nama Islam Liberal, tetapi dilakukan oleh individu-individu yang memperjuangkan demokrasi, fahaman persamaan semua agama, fahaman persamaan hak antara wanita dan lelaki (femenisme). Usaha ini dilakukan melalui tulisan-tulisan dalam akhbar atau menerbitkan buku-buku yang menyokong fahaman Islam Liberal. Sisters In Islam adalah kumpulan yang menyarankan persamaan hak antara wanita dan lelaki, di samping mempromosikan demokrasi dan kebebasan.``

Menurut Sister In Islam bahawa:

``Sisters In Islam (SIS) ia a group of Muslim women committed to promoting the rights of women within the framework of Islam. Our efforts to promote the rights are based on the Principles of equality, Jastice and freedom enjoined by the Qur`an on made evident during our study of the Holy text.``

Satu daripada usaha Sisters In Islam menubuhkan Musawat (Persamaan) pada Mac 2007 yang memperjuangkan hak-hak wanita’

Di Malaysia, kesan dari gerakan liberalisme dan pluralisma agama membawa kepada cadangan penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang nama asalnya Inter Religious Council (IRC). Badan ini berfungsi sebagai mahkamah yang memberi keputusan bagi aduan, masalah dan perkara yang timbul dari agama-agama yang terbabit. Cadangan penubuhan IFC tersebut mendapat respond negatif pertubuhan-pertubiuhan Islam di Malaysia sehingga tertubuhnya ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs yang menyatakan bahawa penubuhan IRC akan membahayakan agama Islam sebab:

Penubuhan IFC membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam.
Penubuhan IFC menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan akidah
Penubuhan IFC akan menjadikan orang Islam bebas melakukan apa saja
Penubuhan IFC akan membuat orang Islam bebas untuk murtad
IFC berhak menentukan status agama seseorang, sebab seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC.

Kesimpulannya, jelas liberalisme yang masuk ke dalam Islam pada awalnya melalui `Kebebasan Berpendapat` dan dikenali sebagai Islam Liberal membahayakan Islam. Ianya menyusup dan merosakkan Islam dari dalam. Pengawasan dan pembetulan perlu dilakukan oleh individu dan badan berwibawa yang terdiri dari kalangan ulama dan intelektual bagi memelihara kesucian Islam dari dinoda oleh faham Liberal yang menolar ke agama.

Sekian.

1 comment:

  1. assalamualaikum. maaf bertanya. di mana saya boleh dapatkan biodata penulis buku ini tuan hj mohammad ariffin b ismail? utk dijadikan sebagai rujukan dalam tugasan saya

    ReplyDelete