September 7, 2010

Masjid Jame` Kajang Prihatin Terhadap Anak Yatim

Bandar Kajang, 26 Ramadhan = 05 September (Ahad):


Masjid Jame` Kajang amat prehatin terhadap anak-anak yatim. Setiap Ramadhan Masjid memperuntukkan bantuan kepada anak-anak yatim di Hulu Langat dengan jumlah yang memuaskan. Pada Ramadhan ini Masjid menjemput seramai 163 anak yatim dari Hulu Langat, termasuk dari Sungai Tangkas dan Bangi. Mereka ini dijaga oleh 89 keluarga. Pada pagi ini majlis penyampaian diadakan di anjung Masjid Jame` dengan dihadiri ADNS Bangi, Ustaz Bong Saleh bin Adnan Pemangku Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Tuan Nazir Masjid Jame` Kajang Tuan Haji Hanafi, Haji Abdullah Acheh Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat yang juga Ketua Kampung Kariah Masjid Kajang, Ustaz Duraibi Pegawai PAID, Ustaz Fazli dan Sdr. Ahmad Sulaiman.


Berucap sebelum penyampaian bantuan ialah Tuan Nazir yang mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir dan terima kasih kepada penderma-penderma yang amat bermurah hati membantu anak-anak yatim. Beliau menekankan yang agama Islam amat memberi tekanan agar memberi perhatian terhadap anak yatim. Haji Abdullah Acheh berharap dengan bantuan yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga. Insya Allah Allah akan membalas jasa ibu bapa. ADNS Bangi memuji atas inisiatif Masjid yang memperuntukkan sejumlah yang lumayan kepada anak-anak yatim dan keluarga yang memelihara mereka. Menurut ADNS Bangi beliau difahamkan bagi seorang anak yatim disampaikan sebanyak RM620/= . Ada anak yatim yang mempunyai sampai 6 beradik yang mendapat sumbangan sebanyak RM3,720/= (Anak yatim di bawah umur 15 tahun sahaja).


Pada hari ini ADNS Bangi difahamkan sejumlah RM101,060/= dikeluarkan oleh pihak masjid. ADNS Bangi menasihatkan ibu bapa bapa dan anak-anak menggunakan wang secara berhemah dan berfaedah seperti untuk persekolahan. Pihak Masjid wajar menyimpan maklumat anak-anak yatim dan mengikuti perkembangan dan membimbing mereka agar menjadi anak-anak yang berjaya. Sememangnya dari maklumat yang didapati ada anak-anak yang sedang mengikuti pengajian di Maktab Sains Rendah Mara, Di Sekolah Sains Selangor, Sekolah agama Menengah dan pada pengajian yang lain. Kita doakan mereka menjadi anak-anak yang berjaya dunia akhirat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment