Petang itu selepas Maghrib
Dewan Orang Ramai di Pekan Bangi
Dipenuhi penduduk Cina dari sekitar Pekan
Kecil besar, tua muda semua datang
Jumlah mereka lebih kurang seribu orang
Mereka berhimpun beracara budaya
Anjuran ADUN dan penduduk setempat
Pesta Tanglung acara sambutan tahunan
Tidak lebih seperti penduduk Kelantan
Bermain Wau BULAN budaya tempatan
Hujung tahun selepas musim mengetam
Dengan angin timur laut bertiup kencang.
Bagiku melihat acara sambutan
Secara imaginatis dan simbolis
Adalah perhimpunan malam perjalanan ke BULAN
Lantaran banyaknya simbol-simbol BULAN
Dari orang PAS datang berpakaian berBULAN
Dan anak tempatan bermain BULAN
Kumpulan juga melihat BULAN.
Acara pada malam itu
Selepas makan malam rakyat
Ialah perjalanan mengarak BULAN
Bernama tanglung berapi terpasang di dalam
Aku dan kawan-kawan turut meraikan
Diikuti kumpulan anak-anak kesukaan
Orang tua orang muda tak kurang
Dalam sejuk nyaman suasana malam
Sambil orang ramai di tepian memerhatikan
Kami keliling Pekan sebulatan BULAN
Memakan masa se BULAN bulat jam.
Acara seterusnya juga tentang BULAN
Dua anak remaja Sekolah Menengah
Seorang lelaki seorang perempuan
Meniupkan harmonica merdu berirama
Dengan bertema `BULAN Di Hatiku`
Bukan bernostalgia dan rindu
Tapi penuh bersemangat padu
Yap Zi Shin (Lelaki)
Low Yen Ting (perempuan)
Pernah menjadi johan pertandingan
Harmonica peringkat kebangsaan
Berikutnya Perjalanan ke BULAN
Di isi dengan geraksemangat
Anak-anak Sekolah Rendah
Dilatih secara tangkas matang
Juga pertunjukan pantas Woo Shoo
Dan bermain pedang mengacah BULAN.
Pertunjukan Puncak ialah pertandingan
Siapa cepat mengupas kulit Limau BULAN
Siapa pula cepat memakan kuih BULAN
Disertai peserta-peserta kuat-hebat
Dua acara menarik perhatian yang datang
Yang menang Foong Kok Hang
Bertubuh sasa dan besar badan
Yang juga pernah menang
Pertandingan makan pernah diadakan.
Sebagai agenda pengakhiran
Ialah penyampaian bantuan
Kepada golongan miskin warga mas
dan hadiah pemenang berbagai pertandingan
Dari parti penganjur berlambang BULAN
Disampai oleh ADUN dari Wilayah BULAN.
Shafie Abu Bakar,
Pekan Bangi,
16 Syawal 1431
25 September 2010.
No comments:
Post a Comment