June 21, 2015

Aras Satu (Tingkat Tiga) Aras Muslimat Dan Fungsi Pelbagai Bilik


BBB, 03 Ramadhan 1436 = 20 Jun 2015 (Sabtu):
Sedari awal, masjid Al-Umm merangka bahawa aras satu di atas aras utama adalah aras untuk muslimat. Walau bagaimana terdapat di bahagian belakang bilik-bilik bagi berbagai fungsi. Secara kasar bahawa aras satu ini mengambil ruang separuh ( bahagian atas) dari ruang aras utama, iaitu separuh dari bahagian belakang bagi  aras utama yang terletak di bawah aras ini ruang solat aras utama bahagian belakang dan bahagian tandas dan kawasan wudhu` kiri dan kanan yang dibelah pada bahagian tengahnya ialah jalan masuk ke ruang utama. Untuk naik ke aras satu ini ialah melalui tangga sisi kiri dan kanan yang mempunyai dua kelok yang setiap satu bermata tangga ialah 13 x2 mata tangga. Pada bahagian kiri juga disediakan perkhidmatan lif bagi kemudahan OKU naik, atau bertujuan untuk membawa naik dan turun barang-barang.


Aras satu ini juga boleh dibahagi kepada dua. Separuh pertama ialah bahagian muslimat pada bahagian hadapan yang untuk sampai kepadanya melalui tangga sisi kiri atau kanan yang disebutkan, kemudian melalui lorong kiri atau kanan untuk ke ruang solat muslimat. Disebelah lorong (di belakang ruang muslimat) ialah kawasan kosong satu sebelah kanan dan satu sebelah kiri yang di bawahnya ruang taman berfungsi sebagai ruang masuk keluar udara dan cahaya, juga menyejukkan jika hujan. Paling kanan dan juga kiri ialah ruangan untuk mengambil wudhu` dan tandas. Ruang muslimat dijangka boleh memuatkan 500 muslimat secara serentak. Kini sebahagian ruang muslimat telah ditailkan, tetapi sebahagian dari bahagian depan masih digunakan sebagai ruang dari atas (di samping dari ruang utama) bagi tiang-tiang menungkat ruang kubah yang memerlukan masa bagi kemantapannya. Apabila batang-batang besi penungkat ini ditiadakan, maka pada bahagian hadapan muslimat akan dipasang dengan railing yang menghadang dari jatuh, tetapi tidak menghalang muslimat dari melihat aktiviti solat berjamaah yang dipimpin imam pada bahagian hadapan di aras utama. Pada bahagian dinding bahagian atas berdepan dengan ruang muslimat akan diisi dengan ayat Al-Qur`an yang  ada hubungan dengan muslimat dan kehidupn berkeluarga sebagaimana telah diperkatakan.
Walau bagaimana, jika ruang aras utama masih kurang dari jamaah, terutama pada waktu-waktu solat fardhu lain dari Juma`at, maka kemungkinan kalangan muslimat akan menggunakan ruang sebelah kiri, bahagian belakang untuk ruang solat muslimat. Di sini agak bersesuaian kerana ruang wudhu` dan tandas sebelah kiri pada aras utama ini memang disediakan untuk muslimat. DI samping wujudnya ruang mengambil wudhu` dan tandas bagi muslimat pada aras pertama.
Pada bahagian belakang dari kawasan muslimat dipisahkan lorong dari tangga kiri ke kanan dan dipisahkan oleh dua ruang kosong belakang muslimat, maka separuh bahagian belakang adalah bilik-bilik bagi berbagai fungsi. Antara tangga kiri ke kanan terdapat 4 bilik yang sama luas yang antara dua bilik terdapat anjung – ruang kosong yang di bawahnya ialah ruangan masuk ke ruang aras utama.


Keempat-empat bilik ini memang diwujudkan bagi program dan kegiatan masjid. Bilik yang berbentuk empat segi, maka bilik pertamanya ialah untuk bilik mesyuarat rasmi pihak AJK masjid dalam hubungan dengan pentadbiran masjid dan kegiatan-kegiatan yang berhubung dengannya. Walaupun ada beberapa ruang dapat dijadikan bilik mesyuarat seperti pada ruang bawah tanah dan pada bahagian belakang aras utama, tetapi itu bukan bilik mesyuarat rasmi yang dapat diguna bagi berbagai tujuan. Bilik mesyuarat ini dapat memuat antara 60 – 80 orang secara serentak. Dari segi perspektif bilik ini disediakan dengan perabut kerusi meja yang canggih. Turut disediakan audio-visual di samping papan putih untuk ditulis atau dilayari penerangan.
Bilik kedua dengan keluasan yang sama ialah bilik seminar yang dapat memuatkan dalam jumlah yang sederhana dalam lengkungan 80 orang. Kelainan dalaman tidak disediakan meja bundur, sebaliknya dengan kerusi-kerusi bermeja dengan bahagian hadapan papan putih bagi tulisan dan penayangan. Jika seminar dalam jumlah yang ramai, maka ruang bawah tanah adalah digunakan. Sebenarnya untuk seminar dalam jumlah yang kecil, bilik mesyuarat dapat digunakan sebagai bilik seminar. Dengan itu ruang dapat digunakan dengan kerap dan tidak sekali sekala sahaja dari segi penggunaan. Dipisah oleh anjung kosong, pada sebelah bahagian lagi ialah terdapat dua bilik yang sama luas. Bilik ketiga ialah Bilik Tahfiz. Bilik ini diwujudkan oleh kerana pihak masjid bercadang untuk mengadakan kelas tahfiz yang mengambil pelajar dalam lingkungan belasan orang setiap kali keluaran. Ini ialah kerana selama ini surau-surau di Bandar Baru Bangi sering mendapatkan tenaga tahfiz dari luar untuk memimpin solat, terutama pada bulan Ramadhan. Adalah sepatutnya BBB yang menghantar tenaga-tenaga tahfiz ke luar dari BBB. Kurikulum dan tenaga pengajar akan diusahakan bagi menjadi kelas tahfiz di Masjid Al-Umm kelas tahfiz yang standard yang tak kurang mutunya dengan tahfiz-tahfiz yang lain. Kerjasama dengan kelas-kelas dan pengajian tahfiz tempat yang lain akan diadakan bagi menjamin pengajian tahfiz Masjid Al-Umm bermutu. Keutamaan pengambilan pelajar ialah dari anak-anak dari penduduk BBB di samping dari luar. Asrama akan disediakan bagi yang memerlukan penginapan. Khususnya bukan dari anak-anak penduduk setempat.
Bilik terakhir (keempat), ialah bilik sumber atau perpustakaan. Adalah penting bagi masjid yang mengendalikan pengajian berbagai peringkat dan tahfiz menyediakan perpustkaan yang dapat menyediakan bahan-bahan pengajian dan buku-buku rujukan yang dapat digunakan oleh guru-guru dan pelajart-pelajar, bahkan penduduk dan mereka yang mengikuti pengajian untuk mendapat sumber bacaan dan bahan-bahan rujukan. Keutamaan penyediaan buku-buku ialah buku-buku yang ada hubungan dengan pengajaran-pengajaran yang diadakan di masjid, di samping buku buku umum. Buku-buku yang disedia dan menjadi koleksi perpustakaan ialah bidang keislaman dan keperluan masyarakat semasa. Adalah dicadang sama pada bilik perpustakaan ini disediakan kemudahan IT & komputer bagi penggunaan dan pembelajaran lantaran pengkatelogan buku-buku adalah melalui komputer, sebab itu perlu diadakan sudut komputer untuk dipelajari oleh pelajar-pelajar seperti tahfiz dan juga bagi bahan maklumat yang berhubung dengan perpustakaan dan rujukan umum dan segala kemudahan yang dapat diekses melalui kemudahan IT.


Dengan kedudukan di atas, maka dapat dikenalpasti, bahawa aras utama masjid adalah aras terpenting yang digunakan bagi tujuan ibadat. Pada aras ini juga diadakan pengajaran terbuka seperti pengajian mengiringi solat-solat terutama selepas maghrib dan isya`, pengajian hujung minggu, pada hari Sabtu dan Ahad, pengajian berpekej dan sebagainya. Aras pertama dikenali sebagai aras muslimat yang selain dari solat dapat diadakan kegiatan-kegiatan khusus bagi muslimat. Di samping itu aras satu ini juga adalah untuk tahfiz, mesyuarat dan seminar dalam jumlah yang kecil, manakala aras bawah tanah dikenali sebagai aras untuk kegiatan kemasyarakatan di samping kegiatan ilmu dalam jumlah yang lebih ramai.
Kemudahan-kemudahan yang disediakan ialah bagi menjadikan Masjid Al-Umm sebagai tempat ibadat dan mempunyai kemudahan pengajian dan pembelajaran sesuai dengan keperluan dan kehidupan semasa. Diharap kegiatan yang berlaku di Masjid Al-Umm di Wadi Ilmu menyemarakkan lagi Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment