June 26, 2015

Perlu Berjimat Cermat Bagi Perbelanjaan Masjid Al-Umm


BBB, 08 Ramadhan 1436 = 25 Jun 2015 (Khamis):
Dalam apa keadaan, walaupun tidak dalam kesempitan, apa lagi jika dalam kesempitan amalan berjimat cermat adalah sikap yang baik dan dipuji. Di dalam konteks pembinaan Masjid Al-Umm, pada peringkat permulaan keputusan membina Masjid Al-Umm (2010) dianggarkan kos bagi pembinaan Masjid berkenaan RM10 juta. Apabila pembinaan bermula (2013) kos adalah naik kepada RM12 juta. Atas dasar kos inilah apabila Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibarahim Menteri Besar Selangor pada masa itu melawat tapak Masjid Al-Umm pada 6 Januari 2013 menjanjikan bahawa kerajaan Negeri Selangor akan menampung perbelanjaan pembinaan Masjid Al-Umm atas dasar dapatan RM1.00 akan disumbang RM1.00 sehingga jumlah sebanyak RM6 juta (sumbangan). Janji ini memberi semangat kepada AJK Pembinaan Masjid Al-Umm bekerja keras mencari dana hingga melebihi dapatan bagi jumlah yang dijanjikan.


Kita bersyukur kepada Allah dengan keyakinan masyarakat kepada AJK Pembinaan dan mereka terus menderma sehingga hampir kepada jumlah target pembinaan dan melihat kepada kemajuan pembinaan fizikal, maka bentuk fizikal bangunan kini mencapai 75% siap. Namun hingga ke akhir Jun 2015 dalam mana dua bulan lagi seharusnya bangunan siap setelah tertangguh dari Mei 2015, maka ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian oleh Masjid Al-Umm.
Pertama sekali ialah dari segi peruntukan bagi pembinaan dalam keadaan semua barang naik harga dan kena cukai GST adakah jangkaan peruntukan mencukupi. Kita berterima kasih kepada masyarakat, khususnya kepada penderma-penderma yang menderma sehingga menghampiri jumlah target asal RM12 juta (hingga akhir April 2015 berjumlah RM10,519.076.97) dan kita yakin mereka terus menderma sehingga kepada jumlah yang ditargetkan. Di atas keyakinan inilah kita mampu meneruskan pembinaan sambil menunggu janji pemberian kerajaan negeri diperturunkan. Namun dalam keadaan sekarang, progres pembinaan terus berjalan dengan harga barangan makin meningkat dan kewangan makin berkurang, maka dalam kita berharap kepada penerusan sumbangan, maka untuk mengelak dari kekeringan (perbelanjaan telah dibuat hingga akhir April 2015 ialah RM7,238,089.10), maka tindakan yang harus diambil tidak lain dari langkah berjimat cermat sebelum benar-benar berlaku kegawatan dan kesempitan.


Antara tindakan yang harus diambil ialah menilai kembali cadangan-cadangan yang dibuat oleh syarikat-syarikat melalui recommend pihak perunding Masjid Al-Umm agar  harga-harga dapat dikurangkan. Contoh kos bagi pemasangan pendingin udara yang dicadang oleh syarikat baru yang nampaknya tidak begitu faham dengan situasi masjid. Jika pihak consultan menampilkan syarikat yang kurang meyakinkan, maka adalah lebih baik kembali kepada cadangan asal yang memasang sistem tersebut pada bahagian-bahagian lain. Sudah tentulah dengan datang syarikat baru dan penawaran baru, biasanya makin meningkatkan kos. Sebenarnya tawaran-tawaran baru yang mendatang satu demi satu yang sepatutnya sudah ditetapkan pada peringkat awal pembinaan, pada umumnya akan meningkatkan kos. Pihak kosultan seharusnya selalu berusaha dan seharusnya dari awal memastikan pihak Masjid Al-Umm mendapat faedah, khususnya dari segi pengurangan kos. Barangkali akan ada lagi syarikat-syarikat datang menawarkan kepakaran mereka di dalam berbagai perkara yang seharusnya tidak terus dibawa kepada pembentangan tanpa perundingan terlebih dahulu sebelum mereka dibawa bagi pembentangan.
Langkah kedua ialah memberi prioriti terhadap mana yang lebih penting bagi mengejar masa perlu siap dan dapat digunakan pada Ogos 2015. Sebenarnya kegiatan dan pengimarahan masjid tidak dapat dilakukan dengan serentak dan seharusnya memberi priority kepada yang penting, maka kegiatan yang patut diawalkan diberi keutamaan dan yang mana patut ditakkhirkan diakhirkan. Dalam hal ini banyak bahagian yang tidak memerlukan kepada kesegeraan dan dapat ditangguh dan dapat diselamatkan peruntukan dari dibelanjakan, khususnya dalam keadaan kesempitan kewangan. Sebagai contoh alat-alat perabut di dalam bilik akad nikah, bilik mesyuarat dan bilik tahfiz boleh dikemudiankan, bahkan dapat dikurangkan dari segi kemewahan kepada perabut-perabut jenis sederhana. Begitu juga kerusi meja di tingkat bawah tanah. Mereka yang menyewakan boleh diminta menyewakannya dari luar. Begitu juga bagi ruang permainan dan rehat tidak perlu diutamakan. Kita melihat bahawa landskap dan seni taman sepatutnya tidak perlu kepada perunding luar. Keperluan yang begitu kecil dengan ruang yang terhad sebenarnya dapat dipenuhi cadangan dan keperluan dalam mesyuarat-mesyuarat yang diadakan. Begitu juga jalan dan kawasan depan pintu gerbang masjid tidak perlu dipasang dengan tile, kerana dengan masuknya kenderaan akan cepat rosak, tidakkah memadai dengan tar biasa yang tahan dan mudah dari segi maintenance ?
Adalah diharapkan dengan langkah berjimat cermat dan tidak untuk menunjukkan kehebatan dan kecanggihan kita dapat mengawal sebahagian dari kos yang meningkat sehingga dijangka naik kepada lebih RM18 juta itu. Sesungguhnya ada kalangan masyarakat yang mempersoalkan dengan kos mendadak naik dan kos item-item yang dipamerkan dan derma yang terus diharapkan. Kita seharusnya menghormati mereka yang terus menderma dan membelanjakan dengan secara sederhana dan  berjimat cermat. Kita memahami dengan peningkatan kos, tapi seharusnya lebih bercermat. Mungkin wajar jika kos naik, seharusnya dalam lingkungan RM15 juta, tetapi tidak melonjak kepada pertambahan satu pertiga lagi dari kos asal. Kita tidak mau dipersoalkan hasil yang dapat disaksi dengan kos yang dianggap tinggi.


Perlu diingat kita membina masjid bukan setakat bangunan fizikal yang dapat disaksi, tetapi ada yang lebih penting dan memerlukan peruntukan yang lebih bersifat berterusan dan harus juga disediakan ialah berhubung dengan pengisian dan pengimarahan. Jika dua bulan lagi tempoh berbaki untuk digunakan Masjid Al-Umm, maka persediaan dari segi tenaga yang menggerakkan pengimarahan, imam-imam, guru-guru, kurikulum pengajaran, kursus tahfiz dan berbagai persediaan yang lain seharusnya sudah berada di dalam persediaan. Semuanya ini memerlukan peruntukan yang berterusan dan seharusnya diberi keutamaan.
Sebenarnya dengan tempoh masa berbaki dua bulan lagi, dengan bahagian-bahagian utama dari pembinaan masjid masih belum disentuh apa lagi untuk disiapkan, dengan lonjakan keperluan kepada tambahan kewangan dan keperluan kepada pengisian dan pengimarahan meletakkan kita dalam keadaan kritikal. Walau apa pun kita perlu atasi semua ini. Pihak yang terlibat dengan pembinaan perlu menjadualkerja agar dapat disiapkan keperluan-keperluan dalam tempoh yang ditetapkan. Pengisian dan pengimarahan sebagaimana pernah dibincangkan  hendaklah mampu diterjemahkan kepada realiti apabila tempohnya tiba nanti. Bahagian kewangan di samping mengharapkan terus sumbangan dari orang ramai seharusnya menyusun plan berjimat cermat, memotong mana yang tidak perlu, mengurangkan mana yang patut dikurangkan, meninggalkan mana yang tidak diperlukan dan berjimat cermat dari segi perbelanjaan dan mengutamakan kesederhanaan dari memperlihatkan kemewahan yang sebenarnya tidak dituntut oleh Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment