BBB, 07
Ramadhan 1436 = 24 Jun 2015 (Rabu):
Sebagaimana telah dibincangkan, bahawa kawasan
bagi Masjid Al-Umm adalah sempit (1.9 ekar), hampir keseluruhan ruang adalah
dipenuhi bangunan fizikal masjid. Yang tinggal sedikit tanah berbentuk U
sekeliling masjid. Yang kosong adalah pada bahagian permulaan masuk antara
pagar dan pintu gerbang masjid dan baki adalah jalan susur keluar kiri kanan ke
jalan depan medan parkir Jalan ¼ BBB. Sedikit tambahan ialah tanah sempit
antara mihrab ke tepi tembok berdepan masjid. Inilah tanah dan ruang luar dari
binaan masjid yang ada yang melibatkan landskap dan seni taman masjid. Boleh
dimasukkan bagi landskap ialah jalan masuk dari Jalan Dua ke Sekolah Kebangsaan
dan Jalan berhadapan dan bersebelah medan parkir ¼. Sebenarnya dengan
kerja-kerja pembangunan dan melibatkan kawasan dan kerja-kerja tanah oleh pihak
kontrektor dengan sendiri telah melibatkan landskap kawasan tanah masjid. Apa
lagi dapat dikreatifkan dari segi landskap tanah selain dari tanah di hadapan
pintu gerbang masjid yang sedang diratakan bagi membuat tembok bersempadan
dengan jalan ke Dewan Orang Ramai dan jalan kiri kanan turun ke jalan dari
hadapan masjid bersebelahan dengan medan parkir 1/4 ? Yang perlu dilakukan
selepas meratakan medan depan pintu gerbang masjid dan memastikan kecerunan dan
kemampatan terbaik bagi jalan kiri kanan keluar ke hadapan Jalan ¼, ialah
merata dan mengetarkan keseluruhan permukaan ruang tersebut, kecuali bagi
penanaman pokok, tetapi bagi setengah tanaman lebih sesuai di dalam bekas (pasu
atau tempayang besar) dan mudahalih, sesuai dengan kawasan ruang yang sempit.
Cuma bagi jalan turun bersebelahan rumah sub-station TNB perlu dibina benteng
rendah antara tebing jalan dengan sub station ini, supaya elak dari runtuhan
dan hakisan. Ada cadangan jalan ini ditutup bagi kenderaan, tetapi wajar dibuka
sebagai jalan pejalan kaki bagi mengatasi kesesakan keluar-masuk apabila ada
majlis-majlis keraian, perkahwinan dan persidangan. Adalah dicadangkan, jalan
masuk utama ke Masjid dari Jalan Dua ke Sekolah Kebangsaan, perlu dilebar dan
dinaiktaraf, iaitu bermula dari mula permukaan masuk ke pintu masuk utama
Masjid. Pembaikan, perluasan dan penaikan taraf juga perlu dilakukan jalan
hadapan masjid bersempadan dengan kawasan parkir Jalan ¼. Tempat parking di
bawah cable TNB di hadapan jalan masuk utama juga hendaklah dirata dan ditarkan
sebagai tempat parkir yang standard.
Dari segi seni taman, sebagaimana dikatakan
tidak banyak ruang yang dapat dihijaukan dengan pokok-pokok bunga dan perlu diingat
format seni taman ini dapat diubah kedudukan dan jenis tanaman dari satu masa
ke satu masa, jika diperlukan bagi mengubah suasana dan pandangan. Ada beberapa
pendekatan yang boleh diambil, iaitu:
Kalau mau dilihat dari segi keharmonian
berdasarkan konsep seni bina Masjid Al-Umm yang antaranya menggunakan pendekatan
yang kita istilah `Belah Dua` di mana dengan melalui bahagian tengah bahawa
bahagian kiri dan kanan mempunyai persamaan. Apa yang ada pada sebelah kiri ada
sebelah kanan, contoh bilik wudhu` dan tandas ada pada bahagian kiri dan kanan
di aras utama dan aras pertama, pada aras utama ada bahagian lempah pada
sebelah kiri dan kanan, juga bilik-bilik pada aras pertama ada dua buah
bahagian kiri dan kanan. Demikian juga dengan jendela dan pintu berjumlah sama
pada sebelah menyebelah, maka konsep
bersamaan dengan sebelahan ini dapat diaplikasikan juga pada seni taman kawasan
Masjid Al-Umm, misalnya pada bahagian masuk dari jalan Dua ke Sekolah
Kebangsaan, maka pada permulaan jalan yang harus dinaiktaraf itu ditanam
misalnya dengan jenis pokok palma, pada bahagian pintu masuk utama ke masjid
juga ditanam dengan pokok dua serupa kiri kanan menurut kesesuaian. Pada kiri
kanan jalan masuk ini ditanam dengan pokok-pokok bersesuaian. Begitu juga Konsep
dua pokok sama sebelah menyebelah ini juga ditanam di hadapan pintu masuk sebelah
kanan dan kiri berdepan dengan jalan ¼ ke jalan sekolah. Paling penting dua
pokok bersamaan kiri kanan ini ialah pokok yang ditanam sebelah menyebelah di
hadapan mihrab. Adapun pada lokasi-lokasi yang lain di mana bersesuaian ditanam
dengan pokok-pokok yang munasabah dan menarik pandangan.
Kewujudan tembok yang agak tinggi dapat dikira
sebagai satu aset kepada masjid. Sebahagian dari tembok ini, katakan sebahagian
dari sebelah kiri dan kanan atau sebelah sahaja dapat dijadikan ruang bagi iklan bersopan yang
dikenakan bayaran kepada pengguna sebagai sebahagian dari punca kewangan
masjid. Adapun bahagian tembok utama dapat diharmonikan dengan suasana
keliling. Misalnya dapat menghijaukan pandangan dalam mana di hadapan tembok
ini ditanam dengan pokok-pokok – termasuk pokok bunga renik, manakala pada
tembok pada bahagian belakang dilukis dengan pandangan taman yang teratur
seolah-olah bersambung dengan taman bunga pada bahagian depan. Begitu juga
ianya seolah-olah bersatu dengan taman bahagian atas dari tembok yang menampakkan
sebagai benar-benar taman. Boleh juga digambarkan di dalam lukisan anak-anak
sedang membaca di bawah rimbunan pokok-pokok yang dengannya bersesuaian
dinamakan `Taman Ilmu`, maka ianya bersesuaian dengan antara kegiatan di masjid
ialah menyebarkan ilmu pengetahuan keislaman. Secara tidak langsung gambaran
taman ilmu, sesuai dengan maksud Hadith yang menyatakan kegiatan mengajar ilmu
seperti di masjid adalah merupakan sebagai salah satu daripada taman-taman
syurga. Hadith berkenaan dapat dijadikan latar pada papan iklan pada bahagian
atas kawasan bertembok sebagai iklan
yang mengajak orang menghayati pengajaran yang disampaikan di masjid. Selain
dari gambaran taman – taman ilmu pada
tembok dapat diubah dari masa ke semasa gambaran, misalnya bangunan masjid
ditepi tanah tinggi merupakan sebagai bahtera yang sedang berlabuh di dermaga.
Untuk diubah sekali sekala mungkin tembok dilukis sebagai gambaran lautan
dengan kepal sedang membelah lautan. Gambaran melambangkan kehidupan yang fana
ini sebagai pelayaran menuju destinasi – Akhirat. Ayat Qur`an dan Hadith yang
menggambarkan kehidupan adalah sementara dan menuju kepada kefanaan dipaparkan
pada papan iklan di atas yang dapat memberi keinsafan kepada yang
menghayatinya. Demikianlah dengan gambaran-gambaran yang lain yang dapat diubah
dari masa ke semasa.
Ladskap dan seni taman yang diwujudkan di
kawasan Masjid Al-Umm tidak berkemampuan mewujudkan sebuah seni taman yang
canggih dengan kawasan terhad. Perhatian terhadap landskap dan seni taman ialah
bagi mewujudkan satu suasana yang indah, aman dan tenteram bagi jamaah yang
datang dan yang mengunjungi, sehingga ianya tidaklah merupakan tempat yang
kering dan tidak menarik yang menyebabkan kering dari jamaah dan pengunjung.
Landskap dan seni taman bukan satu kemestian, tetapi dapat membantu dari segi
mewujudkan suasana tenteram dan menarik bagi kawasan masjid. Oleh kerana
kawasan yang melibatkan seni taman adalah terhad dan kecil, maka keperluan
kepada penjagaan dan maintenance hendaklah diamanahkan kepada pekerja-pekerja
masjid seperti siak dan bilal atau dijadikan taman angkat yang dijaga oleh
pihak-pihak tertentu yang memberi perhatian bukan setakat menjaga landskap dan
seni taman, tetapi membaiki dan menaiktaraf dari masa ke semasa. Pendek kata
tidak memerlukan kepada tukang kebun khusus atau paling tidak membayar upah
kepada pekerja-pekerja pembersih mengikut masa dan kerja yang dikehendaki
mereka lakukan bagi meningkatkan mutu seni taman di Masjid Al-Umm.
Sekian.
No comments:
Post a Comment