BBB, 18 Sya`ban 1436 = 05 Jun 2015 (Jumaat):
Salah satu binaan fizikal yang telah siap
ialah `Pintu Gerbang` yang posisinya berada pada bahagian hadapan di
tengah-tengah permukaan masuk ke Masjid Al-Umm. Pintu Gerbang yang kedudukannya
bersendirian dari struktur binaan yang lain dan pembinaannya sekitar Februari
2015 setelah semua struktur asas bagi masjid siap iaitu pada akhir Disember
2014. Tapak baginya dibina selari dengan dua buah menara pada akhir tahun
tersebut, namun walaupun kedua menara tersebut masih belum siap – pada bahagian
puncak, tetapi pintu gerbang telah siap.
Apakah fungsi pintu gerbang ini ? Pintu
gerbang ialah pintu besar yang menjadi laluan masuk bagi kawasan tertutup bagi
kawasan sesuatu kota. Ianya lebih merujuk kepada zaman tradisi bagi tujuan
keselamatan dan pertahanan. Di dalam kota ini yang dikelilingi tembok yang di
dalamnya beradanya kediaman dan kependudukan. Keluar masuk adalah melalui pintu
gerbang yang lebih dari satu. Di dalam keadaan kritikal bila musuh menyerang,
maka pintu gerbang ditutup agar musuh tidak dapat menceroboh masuk. Tenteranya
mempertahankan kota dari luar dan dalam dari pencerobohan musuh. Sebagai contoh
Kota Konstantinepol bertahan dari serangan tentera Islam yang dipimpin oleh Abu
Ayyub al-Ansari, namun tak dapat menakluki, tetapi akhirnya dapat dibuka pada
zaman Sultan Muhammad Al-Fatih. Demikian juga dengan kota Melaka yang dibina
oleh Portugis bagi mempertahankan kota itu dari serangan dan pintu gerbang bagi
kota itu masih kedapatan hingga kini sebagai monumen sejarah.
Pintu gerbang masih digunakan bagi
kawasan-kawasan kawalan seperti kawasan istana, jabatan-jabatan kerajaan, kem
tentera dan sebagainya, tujuannya adalah untuk menjaga keselamatan. Walau bagaimana
pintu gerbang digunakan bagi fungsi kehebatan dan juga daya estetika. Bukan
sebagai kawasan sekatan, kerana ianya boleh dilalui dari jalan-jalan masuk yang
lain seperti Kota Dar al-Ehsan yang menandakan sempadan antara negeri Selangor
dan Wilayah Persekutuan. Kadang-kadang pintu gerbang semata-mata sebagai
perhiasan bagi sesuatu sambutan dan keramaian sebagai tanda selamat datang.
Apa yang dapat dikatakan bahawa, konsep pintu
gerbang adalah bersifat universal, diguna sejak zaman dahulu kala. Konsep ini
juga turut digunakan sebagai seni bina masjid-masjid. Contoh penggunaannya pada
Masjid Isfahan. Masjid Nabawi kini dikelilingi pagar dan mempunyai beberapa
pintu gerbang bagi memasuki kawasan masjid, selain dari Masjid Nabawi ini
mempunyai lebih kurang seratus buah pintu. Begitu juga Masjid Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah juga mempunyai pintu-pintu gerbang bagi keluar masuk
pengunjung. Ianya bukan sebagai sekatan, kerana pengunjung bebas keluar masuk
pada bila-bila masa. Selain dari kawasan mempunyai pintu-pintu terdapat pintu
gerbang bagi masjid itu sendiri contoh sepert Masjid Al-Hasanah Bandar Baru
Bangi yang terletak terkedepan bagi jalan masuk ke masjid berkenaan. Ianya
sebagai kesengajaan, kerana untuk jangka panjang bahagian kosong antara pintu
gerbang dengan bangunan masjid dapat digunakan sebagai perlusan bagi masjid.
Pada hakikatnya ruang tengah kosong untuk taman itu telah digunakan kerana kekurangan ruang,
khususnya bagi solat Jumaat.
Sebagaimana disebut, bahawa masjid mempunyai
ciri-ciri yang identik dengan masjid seperti kubah, menara dan mihrab. Dalam
membina masjid berlaku ambilan atau tiruan elemen-elemen tertentu dari masjid
dan digunakan bagi masjid yang baru dibina. Contoh penggunaan pintu gerbang
yang digunakan oleh Masjid Al-Hasanah. Yang pasti ianya bukan asli penggunaan
pada Masjid Al-Hasanah. Keadaan ini juga berlaku bagi Masjid Al-Umm, sedar atau
tidak pihak arkitek terpengaruh dengan elemen pintu gerbang yang mirip dengan
gerbang Masjid Al-Hasanah dan pintu gerbang menjadi salah satu elemen dalam
senibina Masjid Al-Umm. Walau bagaimana sebagaimana disebutkan sewajarnya
sesebuah masjid seharusnya tidak meniru sesuatu elemen itu secara seratus
peratus, sehingga tiada identiti bagi masjid yang baru dibina itu. Dalam hal
ini Masjid Al-Umm juga menggunakan pintu gerbang bagi hadapan bangunan masjid,
tetapi ada kelainan posisi dan bentuk. Pintu gerbang yang rangka kasarnya siap
sejak awal 2015 ke dalam bahagian bangunan hingga tiada ruang kosong selepasnya
seperti Masjid Al-Hasanah, oleh kerana Masjid Al-Umm kekurangan tanah dan kiri
kanan bagi pintu gerbang Masjid Al-Umm ada kelek bangunan kecil yang boleh
dimasuki melalui pintu kecil. Ruang masuk pintu gerbang Masjid Al-Umm tidak
bersifat lengkung bujur dengan agak meluas dan tidak seperti pintu gerbang
Masjid Al-Hasanah yang ruangnya luas, sebaliknya pintu gerbang Masjid Al-Umm
pintunya bersifat empat segi dengan di atas mempunyai lengkung yang bersifat
kubah – Kubah seperti pada Masjid Nabawi.
Sesuatu pintu gerbang seharusnya mempunyai
jalan langsung dari luar menuju ke dalam yang membolehkan pengunjung masuk
secara terus ke dalam ruang masjid. Masjid Al-Umm tidak mempunyai ruang bagi
jalan terus dari luar - terus ke pintu gerbang, sekali lagi ini ialah kerana
halangan kekurangan ruang. Jika dibuat jalan terus, maka ianya bertembung
dengan perumahan pada bahagian hadapannya. Dalam keadaan sekarang, terpaksa
melalui sisi perumahan ke hadapan dan membelok masuk ke kiri dan tidak berdepan
dengan pintu gerbang yang mengadap ke pagar. Kemungkinan dapat difikirkan bagi membuat
jalan masuk pada bahagian tengah berdepan dengan pintu gerbang, di samping
jalan masuk melalui sisi kanan.
Walau bagaimana, pintu gerbang bagi masjid
Al-Umm dan juga bagi Masjid Al-Hasanah tidak sepenuhnya menjadi jalan masuk
bagi jamaah dan pengunjung-pengunjung, fungsinya sebagai daya estetik yang
menjadi elemen takmilah bagi pembinaan masjid, lantaran jalan masuk ke masjid,
contoh Masjid Al-Hasanah boleh dimasuki melalui berbagai ruang kiri, kanan dan
hadapan. Keadaan seperti ini juga bagi Masjid Al-Umm, ianya lebih merupakan
elemen estetik yang menyempurnakan bangunan Masjid Al-Umm itu sendiri, sedang
jalan masuk boleh dimasuki dari jalan kiri kanan dari kawasan parkir hadapoan
masjid. Manakala dari satu segi terdapat sebuah lagi pintu gerbang kecil yang
memberi ruang jamaah dan pengunjung datang memasuki masjid dari sisi sebelah
kanan. Ini tidak termasuk ruang masuk melalui tangga-tangga kiri kanan dan
bahagian hadapan, termasuk melalui lif.
Pintu gerbang adalah merupakan ruang masuk
bagi sesuatu kawasan yang dikawal, atau kawasan larangan. Ianya lebih
mencerminkan kehebatan bagi sesuatu kawasan berkenan. Bagi kawasan-kawasan
kecil tiada pintu gerbang contoh kawasan perumahan kampung atau surau masjid di
kampung. Walau bagaimana konsep pintu gerbang dalam setengah hal telah bertukar
sebagai hiasan bagi majlis keramaian dan bagi kawasan dan bangunan yang hebat,
termasuk masjid fungsinya telah bertukar menjadi elemen estetik bagi masjid,
walaupun tidak sangat bersifat kudus.
Sekian.
No comments:
Post a Comment